MAJLIS PEMBAYARAN PROGRAM AGENDA EKONOMI DAN SAKSAMA (AES) DAN iSEJAHTERA

TEKS UCAPAN PERASMIAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

MAJLIS PEMBAYARAN PROGRAM AGENDA EKONOMI DAN SAKSAMA (AES) DAN iSEJAHTERA

29 April 2017

 

Selamat pagi, Salam Bersih dan Selamat Sejahtera.

Pertama sekali saya bersyukur kepada Tuhan kerana telah memberikan kita kesihatan dan kekuatan untuk bertemu di dalam majlis yang penuh bermakna iaitu Majlis Pembayaran Program Agenda Ekonomi Saksama (AES) dan iSejahtera bagi bulan April 2017. Kerajaan Negeri dalam rangka untuk menjayakan kempen “Negeri Keusahawanan dan Negeri Berkebajikan” sentiasa prihatin akan perkembangan hal-hal kebajikan khususnya Rakyat Pulau Pinang.

Sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri telah berjaya mentadbir Negeri Pulau Pinang dengan Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) dalam memikul amanah rakyat. Bukan sahaja Cekap, Akauntabel dan Telus dalam mentadbir, malah kepada hal-hal berkaitan kebajikan juga.

AGENDA EKONOMI SAKSAMA

Hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai negeri pertama yang bebas daripada kemiskinan tegar sebelum tahun 2015 telah dicapai dengan adanya pelancaran Program Agenda Ekonomi Saksama (AES) bagi membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang disamping pelbagai kejayaan-kejayaan lain yang telah ditunjukkan sepanjang pemerintahan Kerajaan Negeri.

Program pembasmian kemiskinan ini bertujuan untuk meningkatkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) daripada RM600 sebulan kepada RM770 sebulan pada tahun 2013. Pada tahun 2014, Kerajaan Negeri telah meningkatkan PGK kepada RM790 sebulan dan pendapatan seisi rumah tidak kurang daripada RM220.00. Mana-mana keluarga yang berpendapatan per kapita kurang daripada jumlah RM220, Kerajaan Negeri akan "tambah nilai" (top-up) sehingga genap RM220. Contohnya, sekiranya sebuah keluarga mempunyai 5 orang ahli isi rumah dan pendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan yakni pendapatan perkapita keluarga tersebut kurang daripada RM220, Kerajaan Negeri akan memberikan "tambah nilai" RM100 setiap bulan.

Para Hadirin Yang Dikasihi,

Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM23,215,968.00 sejak 2009 hingga Mac 2017. Sehingga Mac 2017, secara keseluruhannya seramai 1,411 individu dan keluarga yang telah menerima bantuan ini. Seramai 694 penerima bantuan di Daerah Seberang Perai Utara (SPU), 193 penerima bagi Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), 228 penerima bagi Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), 162 penerima bagi Daerah Barat Daya dan 134 penerima bagi Daerah Timur Laut. Jumlah penerima dan perbelanjaan AES (sehingga Mac 2017 mengikut daerah adalah seperti berikut:-

DAERAH

JUMLAH

PENERIMA

JUMLAH PERBELANJAAN (RM)

DTL

134

1,186,140.00

DBD

162

3,701,630.00

SPU

694

11,869,174.00

SPT

228

4,146,993.00

SPS

193

231,031.00

JUMLAH

1,411

23,215,968.00

 

PROGRAM iSEJAHTERA

Secara tahunan, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan telah memberikan sumbangan kepada rakyat melalui program-program emas seperti Program Penghargaan Warga Emas, Program Bantuan OKU, Program Bantuan Ibu Tunggal, Program Ibu Emas dan Program Skim Pelajar Emas dengan sumbangan sebanyak RM100. Dalam pada itu, bagi meringankan beban ibu bapa, Kerajaan Negeri turut memberikan bayaran secara one-off RM100 kepada Pelajar Tahun 1 & 4 dan Tingkatan 1 & 4 di bawah Skim Pelajar Emas; RM200 (one-off) melalui Program Anak Emas serta RM1,000 (one-off) kepada mahasiswa. Bagi meringankan beban waris warga emas, ibu tunggal dan OKU dalam pengurusan jenazah, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan akan memberikan bantuan secara one-off RM1,000. Malah, Kerajaan Negeri juga memberi bayaran tahunan RM600 kepada pemandu teksi serta operator bas sekolah berdaftar, bantuan pukat kepada nelayan dan RM1,200 setahun kepada penarik beca.

Keseluruhan perbelanjaan yang telah dibelanjakan bagi Program iSejahtera dan bantuan kewangan kepada 1.6 juta rakyat Pulau Pinang sejak tahun 2008 hingga kini adalah sebanyak RM 412.63 juta. Kesemua ini dapat dilaksanakan kerana pentadbiran CAT dan kepimpinan bersih yang membolehkan Kerajaan Negeri yang sentiasa mencatatkan lebihan Belanjawan tanpa perlu mengenakan GST. Bagi Majlis Pembayaran Program AES dan iSejahtera Bagi Bulan April 2017, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM799,600.00 kepada 3287 orang penerima. Majlis pembayaran ini tidak terhenti setakat bulan April sahaja malah akan dilaksanakan secara bulanan mengikut KADUN sehingga bulan September 2017.

Ini bagi memastikan usaha Kerajaan Negeri untuk menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai negeri berkeusahawanan dan negeri berkebajikan yang pertama di Malaysia sudah semestinya memerlukan penglibatan dan sokongan padu rakyat Negeri Pulau Pinang yang sentiasa bersama-sama Kerajaan Negeri memperjuangkan hasrat murni ini.

Akhir kata, marilah kita bersama-sama menggenggam erat tali silaturrahim, menghulurkan salam perpaduan, menjaga keamanan sejagat agar negeri yang kita cintai ini senantiasa harmoni, bersih, hijau dan selamat.

“Saya Sayang Pulau Pinang”.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang