MAJLIS PELANCARAN OPERASI 24 JAM PERPUSTAKAAN DIGITAL PULAU PINANG

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN OPERASI 24 JAM PERPUSTAKAAN DIGITAL PULAU PINANG

(PENANG DIGITAL LIBRARY)

1 MEI 2017 (ISNIN), JAM 8.00 MALAM

 

 

Salam sejahtera kepada semua,

Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang sudi hadir pada malam ini bagi bersama-sama menyaksikan Pelancaran Operasi 24 Jam Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL).

Seperti yang sedia maklum, pada 20 April 2017 yang lalu Kerajaan Negeri telah mengumumkan bahawa Perpustakaan Digital Pulau Pinang (Penang Digital Library) akan memulakan waktu operasi barunya iaitu 24 jam sehari termasuk cuti umum Negeri dan Persekutuan mulai 1 Mei 2017 (Hari ini). Operasi 24 Jam ini tercetus susulan daripada maklumbalas yang positif daripada golongan masyarakat mengenai kemudahan yang telah disediakan di PDL.

Secara ringkasnya, Perpustakaan Digital Pulau Pinang (Penang Digital Library) atau PDL telah dibuka secara rasmi pada 8 Oktober 2016 yang lalu melalui Public-Private Partnership (PPP) antara Kerajaan Negeri bersama Eastern & Oriental Group (E&O), Keysight Technologies dan TIME Dotcom. Untuk itu, Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) telahpun dipertanggungjawabkan dalam pengurusan PDL. Pembangunan PDL telah melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2.5 juta bagi pembaikan dan pengubahsuaian semula bangunan warisan ini dan dilengkapi peranti elektronik untuk mengakses maklumat secara digital serta lain-lain kemudahan untuk keselesaan pengguna.

Perpustakaan merupakan salah satu institusi yang menyokong kepada budaya membaca di kalangan masyarakat dan sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan kepada masyarakat pada setiap masa. Perpustakaan adalah ruang mudah dan selamat, memberikan akses kepada sumber besar maklumat dan pengetahuan.

Kini, perpustakaan awam telah berada pada titik perubahan yang ketara. Ini dapat dilihat kepada cara kita mengakses, memperoleh dan menggunakan maklumat yang telah berubah secara mendadak pada abad ke-21, dan ini memberikan cabaran dan peluang untuk sistem perpustakaan awam di seluruh dunia. Kemunculan teknologi baru telah mengubah beberapa tabiat membaca masyarakat pada masa kini.

STATISTIK PENGGUNAAN PDL

Melalui statistik yang telah direkodkan sejak dibuka pada 8 Oktober 2016 lalu, statistik pengunjung bulanan telah mencecah antara 1,800 hingga 2,000 pengunjung setiap bulan terutama bila berada musim peperiksaan yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi. Seterusnya, keadaan jumlah pengguna yang berada di PDL adalah seramai 90 orang dalam satu-satu masa dengan purata 50 pengguna setiap jam.

Jika dilihat dari segi masa yang diperuntukkan oleh pengguna di PDL, didapati seseorang pengguna berada di PDL antara 2 hingga 3 jam. Ini juga bergantung kepada musim tertentu seperti minggu peperiksaan yang mana pengguna akan memperuntukkan masa yang lebih daripada sedia ada.

Selain itu, muat turun aplikasi mudahalih (mobile app) iaitu 'Readcasa' juga telah mencecah 2,000 muat turun iaitu iOS sebanyak 700 dan Android 1,300. Ini satu perkembangan yang baik kerana pengguna dapat mengakses bahan-bahan digital melalui aplikasi yang telah dibangunkan. Statistik yang diperolehi dalam carian PDL melalui laman web Google.com telah menunjukkan 28,000 carian berkaitan PDL selama tempoh 180 hari sejak PDL dibuka dan mendapat kedudukan 4.3 bintang daripada 5 bintang dalam Google.com dan laman sosial Facebook.

Dari segi statistik pinjaman e-book pula telah merekodkan sebanyak 1,900 aktiviti pinjaman yang berdaftar sejak 8 Oktober 2016 hingga 27 April 2017 dengan 739 pengguna yang aktif menggunakan bahan bacaan yang disediakan. Antara e-book yang mendapatkan perhatian pengguna ialah (Mostly) Wordless, The 7 Habits of Highly Effective Network Marketing Professionals, The 7 Laws of Magical Thinking, 101 Things Everyone Should Know About Science dan 13 Things That Don't Make Sense: The Most Intriguing Scientific Mysteries of Our Time. Manakala, majalah elektronik (e-magazine) pula terdiri daripada Astronomy, Designlines, MacWorld, T3, Business Traveller, Science illustrated dan beberapa lagi subjek.

PELAKSANAAN OPERASI 24 JAM

Dengan pelaksanaan waktu operasi 24 Jam, ianya memberi peluang dan manfaat kepada pengguna terutama melibatkan multi-national company (MNC) untuk berhubung dengan Negara-Negara luar yang melibatkan perbezaan waktu.

Sebagai langkah keselamatan tambahan, kawalan keselamatan 24 jam oleh syarikat penyedia Perkhidmatan Keselamatan dipertingkatkan dalam memastikan keselamatan pengguna dan harta benda yang terdapat di dalam bangunan ini terjaga dan selamat. Ini dengan penambahan kepada 2 anggota pengawal keselamatan pada sebelah malam.

Walau bagaimanapun, kakitangan PDL akan memaklumkan kepada pengguna mengenai peraturan tambahan yang perlu dipatuhi oleh pengguna dari semasa ke semasa dalam menggunakan perkhidmatan dan kemudahan PDL sebagai langkah keselamatan tambahan kepada waktu operasi 24 jam terutama semasa jam 10.00 malam hingga 7 pagi.

Antaranya, setiap pengguna perlu merekodkan nama di Kaunter Pertanyaan sebelum menggunakan kemudahan di PDL. Ini bagi memastikan pengguna menggunakan peluang yang diberikan ini dengan baik serta aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Operasi 24 jam akan dikaji semula selepas 3 bulan untuk penambahbaikan atau perubahan waktu operasi berdasarkan pandangan pengguna melalui kajiselidik (survey) yang telah dilancarkan pada 20 April 2017 lalu. Pengguna juga boleh mengakses kajiselidik berkenaan melalui laman web www.penangdigitallibrary.com.

Terima kasih juga kepada pengguna yang selama ini memberikan sokongan kepada perkhidmatan digital yang disediakan di PDL. Saya mengharapkan agar masyarakat dapat menggunakan peluang yang disediakan ini sebaiknya.

Akhir kata, saya dengan ini melancarkan Waktu Operasi 24 Jam Perpustakaan Digital Pulau Pinang (Penang Digital Library).

Sekian, terima kasih.