MAJLIS PERASMIAN SUMBANGAN EHYA' RAMADAN MASJID-MASJID NEGERI PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN SUMBANGAN EHYA' RAMADAN
MASJID-MASJID NEGERI PULAU PINANG
TAHUN 1438H/2017M

7 MEI 2017
MASJID MERBAU KUDUNG, SUNGAI DUA

 

1. Pertamanya, bersyukurlah kita kerana berpeluang untuk berkumpul di perkarangan Masjid Merbau Kudung, Sungai Dua, Butterworth ini bagi meraikan majlis yang cukup bermakna iaitu Majlis Penyampaian Sumbangan Ehya’ Ramadan Masjid-masjid di Negeri Pulau Pinang pada tahun ini.

2. Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' Haji Abdul Malik bin Abul Kassim, EXCO Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang dan juga Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang yang telah berusaha mengatur dan menjayakan program pada hari ini.

3. Kerajaan Negeri dengan mengambil kira bulan Ramadan yang begitu terserlah kepentingannya, maka inisiatif diambil bagi melaksanakan Program Penyampaian Sumbangan Ehya' Ramadan kepada masjid-masjid sebagai salah satu usaha yang penting dan perlu bagi membangunkan rakyat Pulau Pinang secara fizikal mahupun spiritual.

4. Kita amat bersyukur kerana berpeluang untuk bersama-sama merasai nikmat kehidupan yang aman dan tenteram dalam sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian agama, bangsa dan budaya. Perbezaan yang kita kecapi ini tidak sewajarnya menjadi sebagai satu titik tolak kepada perpecahan dan rasa tidak percaya kepada satu sama lain. Kita sepatutnya menjadikan perbezaan yang ada pada kita sebagai satu usaha untuk lebih mengukuhkan perpaduan dan juga sebagai pelengkap antara satu sama lain.

5. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memulakan inisiatif selepas mengambil tampuk pemerintahan pada tahun 2008, bagi menghulurkan bantuan kepada masjid-masjid di negeri ini dalam bersama-sama meraikan kedatangan bulan Ramadan.

6. Pada tahun 2017 ini, Kerajaan Negeri telah menyalurkan sebanyak RM235,000 kepada masjid-masjid dan juga surau Jumaat yang jumlah keseluruhannya ialah 226 buah untuk menganjurkan program di bulan Ramadan. Pemberian sumbangan ini adalah melibatkan Masjid Negeri sebanyak RM5,000, 5 buah Masjid Daerah dengan sumbangan RM2,000 setiap masjid manakala RM1,000 untuk 220 buah Masjid Kariah, Masjid Biasa dan juga Surau Jumaat di seluruh Negeri Pulau Pinang.

7. Kerajaan Negeri bangga sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini pada tahun 2008, jumlah peruntukan untuk Hal Ehwal Agama Islam telah naik hampir 100% kepada RM457 juta untuk tempoh 2008-2016. Malangnya kenaikan 100% oleh Kerajaan Negeri Pakatan ini untuk Hal Ehwal Agama Islam telah dikritik oleh Pengerusi MCA Negeri Pulau Pinang sebagai anti-Cina kerana mendapat undi kaum Cina tetapi membantu orang Melayu. Akan tetapi kami di Kerajaan Negeri akan meneruskan sumbangan tanpa mengambil peduli sikap cauvinis dan rasis daripada Barisan Nasional (BN) ini.

8. Kerajaan Negeri mengharapkan semoga sumbangan yang diberikan ini akan dibelanjakan kepada program termasuk majlis berbuka puasa, ceramah agama, bayaran elaun Imam Hafiz, majlis bacaan Al-Quran dan sebagainya.

9. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudi hadir untuk menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Ehya' Ramadan kepada masjid-masjid Negeri Pulau Pinang ini dan seterusnya menjayakan program ini. Akhir kata, saya dengan ini merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Ehya' Ramadan Kepada Masjid-masjid di Pulau Pinang bagi tahun 2017M /1438H.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang