MAJLIS PEMBERIAN INSENTIF PERKHIDMATAN KEPADA PEMANDU TEKSI DAN OPERATOR BAS SEKOLAH DI PULAU PINANG BIL 2/2017 (BAHAGIAN SEBERANG PERAI)

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PEMBERIAN INSENTIF PERKHIDMATAN KEPADA PEMANDU TEKSI DAN OPERATOR BAS SEKOLAH
DI PULAU PINANG BIL 2/2017
(BAHAGIAN SEBERANG PERAI)

PADA 13 MEI 2017
SP ARENA


Salam Sejahtera dan Salam Bersih.

Terlebih dahulu, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Bahagian Kerajaan Tempatan kerana telah berjaya memastikan Majlis Pemberian Insentif Perkhidmatan Kepada Pemandu Teksi & Operator Bas Sekolah kali kedua pada tahun 2017 ini dapat diberikan mengikut jadual. Seperti mana yang kita semua sedia maklum, pemberian pertama pada tahun ini telah dijalankan pada awal Januari yang lalu.

Kerajaan Negeri mengiktiraf sumbangan dan khidmat bakti pemandu-pemandu teksi kepada perkhidmatan pengangkutan awam di Pulau Pinang selama ini juga khidmat bakti operator-operator bas sekolah dalam mengambil dan mengangkut para pelajar setiap hari.

Terima kasih saya ucapkan kepada Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Negeri Pulau Pinang dan Persatuan Operator Bas Sekolah Pulau Pinang yang telah bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk merealisasikan komitmen perkhidmatan selamat dan cemerlang kepada rakyat negeri Pulau Pinang.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi mendapatkan senarai nama pemandu teksi dan operator bas sekolah yang sah berdaftar dan menjalankan perkhidmatan di seluruh negeri Pulau Pinang.

Pada hari yang bersejarah ini, semua pemandu teksi dan operator bas sekolah yang sah berdaftar akan menerima RM300 setiap seorang. Jumlah keseluruhan pemandu teksi yang layak pada kali ini ialah seramai 1545 orang pemandu (1119 orang pemandu di bahagian Pulau dan 426 orang pemandu di bahagian Seberang Perai).

Manakala bagi operator bas sekolah, seramai 665 operator bas sekolah dengan permit yang sah layak menerima insentif pada hari ini (308 operator bas sekolah di Bahagian Pulau dan 357 operator bas di Seberang Perai).

Jumlah keseluruhan insentif pada kali ini ialah sebanyak RM663,000 (Ringgit Malaysia Enam Ratus Enam Puluh Tiga Ribu Sahaja).

Untuk makluman, insentif teksi telah mula diberikan sejak tahun 2013 manakala kepada operator bas baru sahaja mula diberikan pada tahun lepas. Kerajaan Negeri membuat bayaran kali kedua ini lebih awal menjelang sambutan bulan suci Ramadan Al-Mubarak tidak lama lagi.

Tujuan Kerajaan Negeri supaya semua pemandu teksi, kereta sewa dan operator bas sekolah di Pulau Pinang dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada setiap penumpang tanpa mengambil kira bangsa, agama mahupun latar belakang politik.

Tiada negeri lain di Malaysia yang menyediakan bayaran insentif RM600 setahun seperti ini kecuali di Pulau Pinang sahaja. Kerajaan Negeri mampu berbuat demikian kerana kita berjaya mencatatkan lebihan Belanjawan setiap tahun, bukan seperti Belanjawan Kerajaan Persekutuan yang kerugian/defisit setiap tahun.

Kerajaan Negeri dapat wang kerana kita tidak makan wang! Sejak tahun 2008-2015, Kerajaan Negeri telah mencatatkan lebihan Belanjawan sebanyak RM574 juta, iaitu jauh lebih besar daripada lebihan Belanjawan oleh Kerajaan lama dalam 50 tahun memerintah iaitu hanya sebanyak RM373 juta di antara tahun 1957-2007.

Pastikan Kerajaan Negeri Pakatan terus memerintah di Pulau Pinang agar prestasi cemerlang ini boleh diteruskan. Saya memberi jaminan bahawa bantuan ini juga akan dikekalkan kepada tuan-tuan dan puan-puan selagi Kerajaan Negeri ada kerana kita mengamalkan pentadbiran CAT yang bersih.

Selamat Menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak dan Selamat Berpuasa.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang