PESTA GAWAI - KAAMATAN 2017 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

PESTA GAWAI - KAAMATAN 2017 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

13 Mei 2017

 

Selamat datang ke Pesta Gawai & Kaamatan Peringkat Negeri 2017.

Terima kasih diucapkan kepada Pastor Joe Nyuin selaku pengerusi Pesta Gawai & Kaamatan peringkat Negeri 2017, Pr Jebon selaku timbalan pengerusi, Rev Sam Surendran selaku penasihat dan penyelaras dan saudari Irene Jala selaku setiausaha acara istimewa ini.

Pertama sekali, Tahniah kepada AJK dan semua yang menjayakan acara ini dengan berjayanya buat kali keempat sejak tahun 2014. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada AJK Pesta Gawai & Kaamatan daripada gereja-gereja setempat serta komuniti Sabah dan Sarawak kerana sekali lagi dapat berkerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menganjurkan acara Pesta Gawai & Kaamatan kali keempat pada tahun ini.

Tema “Keunikan Pencetus Keharmonian” adalah satu harapan, visi dan cita-cita kami di Pulau Pinang yang mahu melihat keharmonian diantara semua kaum di negara ini. Kita kena hormati Sabah dan Sarawak sebagai batu asas penubuhan Malaysia dengan memberikan kuasa autonomi dalam bidang pendidikan, kesihatan dan meningkatkan royalti kepada minyak 20%.

Pesta Gawai dan Kaamatan adalah perayaan Pesta Menuai yang dirayakan oleh masyarakat Sarawak dan Sabah. Hari Gawai disambut dengan sangat meriah oleh suku kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu di Sarawak. Ia adalah perayaan kesyukuran selepas musim menuai padi. Sambutan Pesta Gawai dirayakan selama satu bulan dan negeri Sarawak telah menetapkan bahawa 1 dan 2 Jun sebagai hari cuti umum untuk perayaan tersebut. Di Sabah pula, Pesta Kaamatan atau Tadau Kaamatan disambut oleh suku kaum Kadazan-Dusun, dan juga masyarakat peribumi yang lain seperti Murut, Rungus, Lundayeh dan lain-lain. 30 dan 31 Mei merupakan cuti umum di Sabah bagi tujuan merayakan Hari Kaamatan.

Kerajaan negeri Pulau Pinang mengenali keperluan memupuk kesepakatan masyarakat berbilang bangsa di negara kita, terutamanya masyarakat Sabah dan Sarawak yang membentuk sebahagian besar dari keunikan budaya Malaysia yang kaya dan terbilang.

Saya tahu ramai orang daripada Sabah dan Sarawak yang kini berkerja mahupun bersekolah di Pulau Pinang. Tidak kurang juga ada diantara mereka telah mengambil keputusan untuk menetap di Pulau Pinang. Ini adalah salah satu cara Kerajaan Negeri Pulau Pinang menunjukkan rasa penghargaan kepada komuniti Sabah dan Sarawak yang turut serta menyumbang kepada kemajuan sosial dan ekonomi di Pulau Pinang.

Selamat Hari Gawai dan Kaamatan kepada semua!!

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang