MAJLIS ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG SPM TAHUN 2016 NEGERI PULAU PINANG

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI
SEMPENA MAJLIS ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG SPM TAHUN 2016 NEGERI PULAU PINANG

16 MEI 2017 (SELASA)
KOMPLEKS MASYARAKAT PENYAYANG

 

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur iaitu YB Timbalan Ketua Menteri (II), Profesor Dr. P. Ramasamy, YB Wong Hon Wai dan juga Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana berjaya mengadakan majlis ini saban tahun demi memberi pengiktirafan kepada anak-anak negeri Pulau Pinang yang telah membuktikan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik. Tahniah, syabas dan terima kasih kepada semua ibu bapa, guru-guru serta barisan pentadbir.

Sejajar dengan perkembangan teknologi yang menggalakkan penggunaan internet secara maksima, Pulau Pinang tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menguasai gelombang Revolusi Industri 4.0 (Industrial Revolution 4.0) yang merangkumi Big Data Analytics, Cloud Computing, E-Commerce, Crowd Sourcing dan Internet of Things. Pulau Pinang tidak mempunyai sumber asli lain, justeru Kerajaan Negeri komited untuk membangunkan modal insan demi menjamin pembangunan ekonomi yang mampan.

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri terus mengorak langkah membina jambatan bagi memudahkan para pelajar terus memperolehi pendidikan tambahan yang sewajarnya. Hasrat Kerajaan Negeri untuk memacu pendidikan ke arah era digital yang berasaskan konsep STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics) telah pun direalisasikan dengan mewujudkan Karpal Singh Learning Centre (KSLC) sebanyak RM6 juta dan Penang Digital Library (PDL) sebanyak RM3 juta iaitu perpustakaan digital pertama di Malaysia yang beroperasi selama 24 jam sejak 1 Mei 2017 yang lalu.

Selain daripada itu juga, Kerajaan Negeri melalui Penang Skills Development Centre (PSDC) telah memperkenalkan program German Dual Vocational Training (GDVT) di mana para pelajar yang terpilih akan bekerja sambil belajar di syarikat-syarikat yang berpengkalan di Pulau Pinang sebelum diserap bekerja setelah tamat tempoh yang ditetapkan.

Seiring dengan perkembangan sains dan teknologi, Kerajaan Negeri juga membuat pelaburan seperti pembinaan Pusat Sains Pulau Pinang (Tech Dome Penang) bernilai RM28 juta yang mempamerkan lebih 120 pameran interaktif bertaraf antarabangsa dan juga Penang Science Cafe iaitu pusat komuniti yang berkaitan dengan sains dan robotik yang kini mempunyai 3 buah cawangan iaitu di Wisma Yeap Chor Ee, Krystal Point dan Alma.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

Pada tahun ini, Kerajaan Negeri sekali lagi amat berbesar hari untuk menyampaikan insentif tambahan sebanyak RM150 daripada RM350 sebelum ini kepada pelajar-pelajar cemerlang SPM Tahun 2016, yang menjadikan jumlah insentif kewangan yang akan diterima oleh setiap pelajar berjumlah RM500 dan sijil.

Pada hari ini, insentif tersebut akan diberikan kepada seramai 189 orang pelajar cemerlang yang telah mendapat keputusan sekurang-kurangnya 7A+ dan insentif ini turut diberikan kepada 5 orang pelajar istimewa cemerlang. Selain itu, 4 buah sekolah yang telah mendapat keputusan keseluruhan terbaik juga akan turut dihargai dan akan menerima anugerah berbentuk trofi dan sijil.

Sebagai makluman semua, Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan Penang Future Foundation (PFF) yang merupakan satu program biasiswa yang ditawarkan kepada semua pelajar seluruh Malaysia yang cemerlang dan berkelayakan dan keutamaan adalah diberikan kepada Anak Negeri Pulau Pinang untuk belajar di Institusi Pengajian Tinggi di dalam Malaysia sahaja. Syarat yang dikenakan adalah mudah iaitu mereka perlu bekerja di Pulau Pinang tidak kira dengan pihak Kerajaan mahupun swasta untuk satu tempoh masa yang tertentu selepas menerima ijazah.

Terdapat dua (2) jenis biasiswa iaitu Biasiswa Mutiara yang melayakkan pelajar menikmati biasiswa sehingga RM60,000 dan Biasiswa Pulau Pinang iaitu maksima sehingga RM100,000. Ini adalah salah satu usaha Kerajaan Negeri dalam mengawal pengaliran keluar bakat-bakat anak Negeri Pulau Pinang.

Selepas ini, para pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat diploma/ijazah di mana-mana Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan IPTS yang terpilih sahaja layak mendapat sumbangan RM1,000 oleh Kerajaan Negeri sebagai bantuan awal untuk para pelajar dalam persediaan melanjutkan pelajaran di peringkat universiti. Ini merupakan sumbangan yang paling besar diberikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih atas kehadiran semua dan dengan ini, saya merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM Tahun 2016.

Sekian, terima kasih.