Pelancaran Pengecatan Logo I Love Penang

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang

Di Program Pelancaran Pengecatan Logo I Love Penang

pada 20 Mei 2017 (Sabtu) di Taman Free School:

 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melancarkan kempen "I Love Penang - Saya Sayang Pulau Pinang; 我爱槟城; நான் பெனாங் நேசிக்கிறேன்" pada 9 Februari 2017. Beberapa program untuk menyemarakan kempen ini telahpun dianjurkan sempena dengan pelancaran kempen tersebut, antaranya adalah beberapa acara larian I Love Penang di bahagian Pulau dan bahagian Seberang Perai dan baru-baru ini di Bukit Bendera.

Selaras dengan kempen tersebut, Bahagian Perumahan Negeri Pulau Pinang berpendapat bahawa untuk menyemarakan lagi dan memupukkan semangat cinta rakyat terhadap Negeri Pulau Pinang, maka kempen ini juga perlu dipanjangkan kepada skim-skim perumahan awam di Negeri Pulau Pinang.

Dalam pada ini pada 3 Mac 2017, Majlis Mesyuarat Kerajaan telah bersetuju dengan cadangan YB Jagdeep Singh Deo agar logo "I Love Penang" ataupun "Saya Sayang Pulau Pinang", "我爱槟城" dan "நான் பெனாங் நேசிக்கிறேன்" dicat pada skim-skim perumahan awam di seluruh Negeri Pulau Pinang. Dalam pada itu, Bahagian Perumahan Negeri Pulau Pinang telah mengenal pasti 45 blok skim perumahan awam di kelima-lima daerah Negeri Pulau Pinang untuk ditandakan logo tersebut.

Kos keseluruhan projek ini adalah dijangkakan dalam RM222,590.20 dan tempoh penyiapan keseluruhan projek adalah dijangka siap sepenuhnya pada Oktober, 2017. Saya berasa gembira kerana dapat hadir ke Taman Free School yang merupakan printis kempen pengecatan logo "I Love Penang", "Saya Sayang Pulau Pinang", "我爱槟城" dan "நான் பெனாங் நேசிக்கிறேன்" untuk Negeri Pulau Pinang dan dengan ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengharapkan agar seluruh rakyat negeri Pulau Pinang senantiasa berada dalam keadaan selesa, sihat dan harmoni.

Hendaklah rakyat Negeri Pulau Pinang senantiasa diperingati tanah bumi Negeri Pulau Pinang adalah kepunyaan kita selama-lamanya dan sebarang cadangan daripada mana-mana pihak seperti Kerajaan Persekutuan baru-baru ini untuk mengambil alihnya melalui cara menjadikannya satu Wilayah Persekutuan akan langsung tidak diterima oleh pihak rakyat jelata Negeri Pulau Pinang.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang