MAJLIS PECAH TANAH MEMBINA BANGUNAN BARU PASUKAN BOMBA SUKARELA NIBONG TEBAL

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

MAJLIS PECAH TANAH MEMBINA BANGUNAN BARU

PASUKAN BOMBA SUKARELA NIBONG TEBAL, SEBERANG PERAI SELATAN

28 / 05 / 2017 ( AHAD )

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

Terima kasih, kerana menjemput saya datang pada tengahari ini untuk majlis pecah tanah membina bangunan baru Pasukan Bomba Sukarela Nibong Tebal ini.

Terima kasih juga kepada Pasukan Bomba Sukarela Nibong Tebal yang banyak membantu pasukan Bomba dan Penyelamat Maysia ( BOMBA ).Saya telah diberitahu oleh YB Soon Lip Chee ADUN Jawi. Pasukan Bomba Sukarela Nibong Tebal ini adalah antara pasukan yang sangat aktif membantu jika berlakunya kebakaran, bencana banjir, ribut dan lain-lain lagi. Dengan keanggotaan seramai 113 orang termasuk pengurusan, pasukan ini mampu menjalankan tugas-tugas mereka tanpa batas masa dan cuaca secara sukarela demi menjaga rakyat yang tinggal dalam kawasan Nibong Tebal ini khususnya dan Daerah Seberang Perai ini juga amnya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya telah dimaklumkan, pada awal penubuhan Pasukan Bomba Sukarela Nibong Tebal ini, pasukan bomba sukerala ini tidak ada bangunan sendiri kerana pada masa itu tidak ada tapak yang kosong dan sesuai untuk dijadikan pejabat operasi mereka. Oleh kerana, pasukan ini ditubuhkan semata-mata untuk berkhidmat kepada masyarakat, mereka telah diberi satu ruang oleh pihak pengurusan tokong Kuang Fu Kong Nibong Tebal ini membina bilik operasi pasukan ini di dewan terbuka mereka sehingga hari ini tanpa sebarang bayaran. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan tokong ini yang sangat perihatin.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Hasil daripada kesabaran pengurusan Pasukan Bomba Sukarela Nibong Tebal yang telah ditubuhkan pada 14 Mac 2013 ( 4 Tahun lalu ), kini mereka boleh menarik nafas lega kerana dengan sokongan daripada YB Soon Lip Chee ADUN Jawi, Pasukan Bomba Sukarela Nibong Tebal ini telah dapat memiliki satu lot tanah Kerajaan Negeri Pulau Pinang secara TOL. Tapak ini bersempadanan lot 999 seluas 1254 meter persegi di Jalan Chanda Shariff, Nibong Tebal ini. Ini adalah usaha daripada YB. Soon Lip Chee ADUN Jawi untuk melihat Pasukan Bomba Sukarela Nibong Tebal ini dapat beroperasi dengan lebih cekap lagi.

Saya percaya, jika niat ikhlas Pasukan Bomba Sukarela Nibong Tebal ini untuk membantu rakyat, saya yakin banyak tokoh-tokoh korporat dan badan-badan NGO akan membantu pasukan ini menyediakan peralatan-peralatan dan juga lain-lain lagi. Saya juga percaya kos untuk membina bangunan pejabat operasi ini juga memerlukan kos yang agak tinggi disamping kos operasi. Saya amat mengharapkan semua pihak sentiasa peka dengan keadaan sekeliling supaya dapat membantu antara satu sama lain jika berlaku sesuatu bencana seperti cepat-cepat menghubungi pasukan bomba yang berdekatan dan juga pasukan bomba sukarela.

Akhir sekali, saya harap dengan terdirinya bangunan pejabat operasi Pasukan Bomba Sukarela Nibong Tebal ini nanti, perkhidmatan kepada orang ramai jika berlaku kebakaran akan dapat dilakukan dengan lebih cepat lagi. Saya mengesa syarikat-syarikat yang berkemampuan dapat membantu Pasukan Bomba Sukarela Nibong Tebal dengan menambah lagi peralatan-peralatan selengkapnya kerana kita perlu mengikut peraturan-peraturan semasa kerja-kerja menyelamat dijalankan.

Dengan ini, saya merasmikan Majlis Pecah Tanah Membina Bangunan Baru Pasukan Bomba Sukarela Nibong Tebal ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang