MAJLIS PELANCARAN DASAR PENGASINGAN SISA DI PUNCA KADUN PENGKALAN KOTA

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN DASAR PENGASINGAN SISA DI PUNCA KADUN PENGKALAN KOTA
DI GAT LEBUH MACALLUM

PADA 1 JUN 2017

Bersyukur kita kerana dengan limpah dan kurnia-Nya dapat kita bersama-sama berhimpun pada hari yang mulia ini untuk perasmian Majlis Pelancaran Dasar Pengasingan Sisa Di Punca di Kawasan ADUN Pengkalan Kota. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada YB Chow Kon Yeow, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu lintas dan Tebatan Banjir yang mengetuai Pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca di negeri Pulau Pinang. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada YB Lau Keng Ee kerana telah menganjurkan Majlis Pelancaran Dasar Pengasingan Sisa Di Punca di KADUN Pengkalan Kota serta membuka Pusat Kitar Semula untuk mengalakkan aktiviti kitar semula di kalangan penduduk kawasan ini. Tidak dilupakan adalah Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, bersama MBPP dan MPSP yang telah berusaha dengan gigih dalam perancangan, pelaksanaan dan penguatkuasaan dasar ini di seluruh negeri.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

Pelaksanaan Dasar Kitar Semula Sisa Di Punca oleh Kerajaan Negeri telah berjaya mempertingkatkan sistem dan kaedah pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam negeri kepada satu sistem yang lebih teratur, mampan dan maju dan setanding dengan bandar-bandar antarabangsa maju lain.

Setiap hari, sejumlah 1,700 hingga 1,800 tan sampah di seluruh negeri dikutip dan dilupus di tapak Pelupusan Pulau Burung. MBPP dan MPSP telah melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca sejak 1 tahun yang lepas untuk mengurangkan sisa yang dihantar ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung. Aktiviti seperti 3R, kompos dan pelbagai kaedah hijau digalakkan untuk mewujudkan persekitaran yang bersih, hijau dan mampan. Pihak Kerajaan Negeri serius dalam menguruskan sisa pepejal dengan sempurna dan telah mengambil langkah-langkah proaktif seperti pelaksanaan dasar pengasingan sisa di punca. Dasar ini telah bantu dalam meningkatkan lagi kadar kitar semula negeri Pulau Pinang yang telah mencatat 38% pada tahun 2016 dan merupakan kadar tertinggi di Malaysia berbanding kadar kitar semula kebangsaan pada 20.9 % dalam tahun yang sama.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

Pendidikan merupakan agenda penting dalam mengerakkan dan menjayakan dasar ini. Publisiti secara meluas telahpun diadakan. Sebanyak 43 Majlis Pelancaran Dasar Pengasingan Sisa Di Punca dan sejumlah 387 taklimat dan pameran dan roadshow dasar ini melibatkan institusi, hotel, kampung, kediaman bertingkat, kilang, pasaraya, sekolah, taman perumahan, projek perumahan rakyat dan lain-lain telah dianjurkan oleh MBPP, MPSP, Bahagian Kerajaan Tempatan dan Penang Green Council setakat ini.

Penduduk dapat menjual barang kitar semula di Pusat Kitar Semula secara mudah dengan menggunakan kad elektronik yang disediakan oleh Pusat Kitar Semula. Nilai barang kitar semula akan dikreditkan ke dalam akaun kad elektronik penduduk setiap kali barang kitar semula diserahkan kepada Pusat Kitar Semula oleh penduduk. Saya berharap lebih banyak Pusat Kitar Semula dapat ditubuhkan supaya sistem kutipan barang kitar semula ini dapat menggalakkan lebih ramai penduduk untuk mengasingkan sampah dan seterusnya dijual ataupun diderma seterusnya membantu Kerajaan Negeri dalam menjayakan dasar ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

Dasar ini telah dilaksanakan selama 1 tahun semenjak dilancarkan pada 1 Jun 2016. Kerajaan Negeri telah memberikan penduduk satu tahun untuk menyesuaikan diri dengan dasar ini. Hari ini menandakan hari pertama penguatkuasaan dasar pengasingan sisa di punca oleh MBPP dan MPSP. Undang-undang Kecil Pengasingan Sampah dan Pelesenan Perkhidmatan Pemungutan Sampah Yang Boleh Dikitar Semula (MBPP/MPSP) 2016 memperuntukan hukuman kesalahan di bawah Undang-undang Kecil ini adalah denda tidak melebihi RM2,000.00 atau 1 tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Walau bagaimanapun kesalahan di bawah Undang-undang Kecil ini boleh dikompaun dengan bayaran denda tidak melebihi RM250.00

Para hadiran yang dihormati,

Kerajaan Negeri Pulau Pinang bangga dengan kejayaan membersihkan Pulau Pinang yang dulunya kotor sehingga digelar Pulau Pinang Darul Sampah. Demi mengekalkan matlamat sebuah negeri yang bersih, hijau, sihat dan selamat, Pulau Pinang harus melonjak ke tahap yang lebih tinggi, yakni menjayakan program pengasingan sisa di punca.

Pelaksanaan, penguatkuasaan dan kejayaan sesuatu yang telah dirancangkan tidak akan dapat dicapai tanpa penglibatan dari semua pihak. Pihak media juga turut memainkan peranan yang penting bagi membantu mendidik masyarakat untuk mengasingkan sisa di punca melalui liputan khabar seterusnya menjadikan Negeri Pulau Pinang sebuah negeri yang bersih, indah dan sejahtera.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang