TAPAK PROJEK “SPIRAL BICYCLE AND PEDESTRIAN BRIDGE”

LAWATAN KERJA KETUA MENTERI PULAU PINANG
KE TAPAK PROJEK “SPIRAL BICYCLE AND PEDESTRIAN BRIDGE”
DI QUEENSBAY, BAYAN BARU
PADA 29 JUN 2017 (KHAMIS) 10.00 PAGI

"Spiral Bicycle and Pedestrian Bridge" Yang Pertama di Malaysia yang bernilai RM 8.9 juta
___________________________________________________________________

Kerajaan Negeri berhasrat untuk menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berbasikal. Sejak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dinaiktaraf ke status bandaraya pada 1 Januari 2015, salah satu sifat penting yang dapat membezakan bandaraya dengan perbandaran adalah terdapatnya lorong basikal khusus dan basikal awam berkongsi, sepertimana menjadi amalan di banyak bandaraya antarabangsa.

MBPP telah menggariskan Pelan Induk Laluan Basikal yang merangkumi ‘Coastal Cyling Route’ dari Tanjong Tokong ke Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. Perancangan laluan ini telah diperluaskan untuk menghubungkannya ke kawasan Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang melalui Bayan Baru.

Sebahagian besar laluan berkenaan adalah laluan basikal kategori satu (1), iaitu laluan basikal yang disediakan secara berasingan dengan jalan raya dan adalah lebih selamat serta selesa digunakan oleh penunggang basikal dan pejalan kaki. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menetapkan sasaran bahawa laluan basikal sepanjang 39.3 km ini disiapkan menjelang tahun 2020.

Setakat ini, sepanjang 18.5 km laluan basikal dari Tanjong Tokong ke Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang telah disiapkan. Manakala 11.6 km adalah dalam peringkat pembinaan pada masa sekarang dan dijangka dapat disiapkan pada tahun 2018. Seterusnya, tindakan-tindakan akan diambil untuk melengkapkan keseluruhan laluan basikal ini pada tahun 2020. Spiral bicycle and pedestrian bridge di Queensbay, Bayan Baru ini adalah satu komponen untuk merealisasikan ‘Coastal Cyling Route’ di persisiran pantai timur pulau.

Spiral bicycle and pedestrian bridge ini adalah yang pertama dibina di negara ini. Kekangan ruang tanah di tapak serta usaha untuk menggalakkan lebih ramai orang berbasikal dan menikmati pandangan indah dari Spiral Bridge telah membuahkan idea dalam perancangan bentuk jambatan ini. Spiral bridge merentangi Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu di depan kilang Intel berserta 2 buah jambatan yang sedang dibina merentangi Sungai Nibong Kecil dan Sungai Ara adalah bernilai RM8.9 juta yang dibiayai oleh MBPP . Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan pada Julai 2016 dan dijangka siap pada Januari 2018. Pada masa akan datang, penunggang basikal akan menunggang dengan lebih selamat di mana mereka tidak perlu lagi berkongsi lalulintas yang sibuk dengan kenderaan lain di bulatan Bayan Lepas.

Laluan-laluan basikal dibina dan dinaiktaraf secara berterusan untuk kemudahan, keselesaan dan keselamatan penunggang basikal. Kerajaan Negeri berhasrat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri basikal yang pertama di Malaysia, dan dengan adanya Pelan Induk Laluan Basikal yang bernilai RM 34.8 juta yang ditaja oleh kerajaan negeri dan pihak swasta, dapat merealisasikan matlamat ini.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang