MAJLIS PELANCARAN "DOME DESPICABLE ME 3" & MAJLIS PERASMIAN BUTTERWORTH ART WALK

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN "DOME DESPICABLE ME 3"

DAN MAJLIS PERASMIAN BUTTERWORTH ART WALK, PELAN BUTTERWORTH BAHARU

PADA 1 JULAI 2017 (SABTU), JAM 9.30 AM,
BERTEMPAT DI DATARAN PEMUDA MERDEKA B'WORTH

 


Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada rakan-rakan muslim kita. Saya yakin bahawa bahang suasana Hari Raya masih panas dan semua masih dalam "mood" cuti lagi.

Sepertimana yang sering saya maklumkan kepada umum, Kerajaan Negeri mampu mencatat lebihan Belanjawan setiap tahun yang kini terkumpul sebanyak RM578 juta dalam tempoh lapan (8) tahun pemerintahan (2008-2015) berbanding dengan lebihan RM373 juta sepanjang 50 tahun (1957-2007) di bawah Kerajaan Negeri terdahulu. Hasil lebihan Belanjawan ini, Kerajaan Negeri kongsikan bersama rakyat Pulau Pinang sebagai dividen anti-rasuah di mana pelbagai manfaat telah dinikmati.

Antaranya, bantuan kewangan sebanyak RM412.63 juta yang telah diagihkan terus kepada rakyat sejak tahun 2008 menerusi Program Emas Kerajaan Negeri. Kita juga memberikan pengecualian cukai pintu melalui Pihak Berkuasa Tempatan Negeri iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bermula tahun 2016 kepada semua penghuni rumah kos rendah, rumah sederhana rendah dan rumah kampung/bertanah. Tambahan, kita juga memberikan potongan cukai pintu sebanyak 6% untuk semua hartanah lain termasuk hartanah komersil. Sebagai tanda penghargaan kepada khidmat bakti Anggota Perkhidmatan Awam Negeri, baru-baru ini Kerajaan Negeri telah memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) atau Bonus Raya sebanyak 0.75 bulan atau minimum RM1,000.00.

Hadirin sekalian.

Sekali lagi kita kongsikan hasil urus tadbir yang Cekap, Akauntabel dan Telus dengan rakyat Pulau Pinang di mana anda semua telah menjadi saksi majlis pelancaran program "Berhibur Bersama Despicable Me 3 Di Pulau Pinang" pada 22 Jun 2017 yang lalu. Pelbagai acara menarik telah disajikan secara percuma kepada anda semua menerusi program ini di Dataran Pemuda Merdeka Butterwoth dan ianya akan berakhir pada 3 September 2017. Program ini dianjurkan oleh JWL Events, disokong oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Penang Global Tourism, dengan kerjasama Majlis Perbandaran Seberang Perai. Kos keseluruhan program ini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri dengan jumlah RM900,000.00. Ini diadakan khas sempena Hari Raya dan Hari Kebangsaan kepada rakyat Pulau Pinang khususnya.

Saya difahamkan oleh pihak penganjur bahawa sejak program ini dibuka kepada umum pada 22 Jun 2017 yang lalu, lebih 50,000 orang termasuk pelancong asing serta tempatan telah berkunjung dan berhibur dengan pelbagai pameran dan acara menarik yang disediakan.

Para hadirin yang dihormati sekalian.

Pada hari ini, saya berbesar hati untuk melancarkan "Dome Despicable Me 3" yang merupakan highlight bagi majlis pagi ini. Saya turut dimaklumkan bahawa walaupun sebelum dome ini dilancarkan, "Dome Despicable Me 3" ini telah berjaya mendapat tempat di dalam Malaysia Book of Records dengan keseluruhan saiznya merangkumi 4600 kaki dengan boleh memuatkan kapasiti 200 orang pada satu-satu masa. Pada hari ini, kita juga akan dapat menyaksikan acara menandatangani Malaysia Book of Records bagi dome ini. Ini menunjukkan bahawa acara Despicable Me 3 ini merupakan acara paling besar di Malaysia. Pameran gergasi ini merupakan pameran yang julung-julung kalinya diadakan di Seberang Perai. Ini juga membuktikan bahawa tomahan ke atas Kerajaan Negeri menganaktirikan Seberang Perai adalah amat salah sama sekali. Tambahan, sebanyak 77% daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM3,077,152,950.39 sejak 2008 oleh Kerajaan Negeri sekarang telah dibelanjakan untuk pembangunan di bahagian Seberang Perai melibatkan Peruntukan Pembangunan Negeri, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Perbadanan Pembangunan Negeri Pulau Pinang (PDC). Jelas sekali Kerajaan Negeri Kerajaan Negeri senantiasa memberikan tumpuan kepada pembangunan seimbang di antara kawasan Pulau dan Seberang Perai.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

Sepertimana bahagian Pulau, Butterworth juga merupakan tempat yang perlu anda jelajahi ketika berada di Pulau Pinang. Antara tarikan menarik ialah Butterworth Art Walk yang merupakan program pengindahan Lorong Bagan Luar 1 serta sebagai pengisian program di bawah Intervensi Pelan Tindakan Pekan Lama, Pelan Butterworth Baharu yang mana selaras dengan inisiatif Kerajaan Negeri untuk mewujudkan persekitaran yang hijau dan indah.

Butterworth Art Walk merupakan program kolaborasi di antara arkitek kelahiran Butterworth, Zaini Zainul dengan MPSP dan Think City yang membabitkan tiga (3) fasa. Ketiga-tiga fasa ini merangkumi jarak 400 meter akan menghasilkan sebanyak 45 mural serta sepuluh (10) arca dan dijangka siap sepenuhnya dalam bulan Julai 2017. Fasa pertama sejauh 150 meter telah diperakui untuk diluluskan sebagai laluan bebas kenderaan.

Projek ini dipilih sebagai satu inisiatif untuk menghidupkan lorong-lorong bangunan yang tidak terjaga tetapi selamat dan strategik. Ia juga mempunyai impak yang positif dalam memberi mesej melalui kaedah pendidikan yang disampaikan secara lukisan. Konsep yang diketengahkan dalam lukisan mural itu memaparkan sejarah Butterworth. Kerja-kerja penghasilan lukisan mural yang dimulakan sejak Disember 2016 iaitu bagi fasa pertama, diketuai oleh Zaini, telah dijayakan oleh tujuh (7) orang pelukis iaitu Shazwan Jalil; Syamsul Addenno; Suhaimi Ali; Hadi Ramli; Nazmi Jamarudin; Shahidan Muhamad; Amir Andha dan Azmi Husin. Sebanyak sembilan (9) lukisan mural telah dihasilkan di dinding lorong belakang Lorong Bagan Luar 1.

Untuk makluman semua, kos keseluruhan bagi fasa pertama dan fasa kedua Butterworth Art Walk ini membabitkan jumlah RM85,000.00 yang dibiayai sepenuhnya oleh Think City.

Para hadirin yang dihormati.

Maka, dengan itu sukacitanya saya melancarkan "Dome Despicable Me 3" sempena program "Berhibur Bersama Despicable Me 3 Di Pulau Pinang" dan merasmikan Butterworth Art Walk, Pelan Butterworth Baharu.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang