Majlis Penerimaan Jawatan Yang Dipertua dan Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Seberang Perai

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang

Di Majlis Penerimaan Jawatan Yang Dipertua dan Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Seberang Perai

pada hari Isnin, 3 Julai 2017

 

Pertama sekali bersyukur kepada tuhan kerana memberi kita semua kesihatan dan juga kekuatan untuk sama-sama menghadiri Majlis Penerimaan Jawatan Yang Dipertua dan Tuan Setiausaha Perbandaran, MPSP di Dewan Kenanga hari ini.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Sr Hj Rozali Bin Hj Mohamud kerana dipilih menjadi Yang Dipertua MPSP yang ke 15. Kerajaan Negeri sebulat suara melantik beliau menjadi YDP MPSP ke 15. Beliau memiliki kelayakan profesional Fellow of The Royal Institution of Surveyors Malaysia. Beliau adalah satu-satunya pegawai kerajaan yang memiliki kelayakan ini di sektor kerajaan di Pulau Pinang malahan beliau adalah satu-satu pegawai kerajaan di PBT seluruh Malaysia yang memiliki kelayakan Fellow dalam bidang professional.

YB/Tuan-Tuan/Puan-Puan

Saya telah membaca CV (lampiran) yang dihantar oleh beliau dan amat bersetuju dengan prinsip “MPSP BY DESIGN NOT BY CHANCE” selaras dengan latihan beliau sebagai juru ukur. Akan tetapi seorang YDP juga perlu arif dalam perkara teknikal, kewangan, perundangan, pengurusan modal insan dan pentadbiran. Bukan mudah menguasai segala ilmu pengetahuan ini tetapi sekiranya anda ada kewibawaan, kepimpiman, keinginan belajar, integriti dan sifat rela belajar, memupuk semangat pasukan yang kental, pasti anda lakukannya. Justeru, demi mencapai negeri bertaraf antarabangsa dan pintar kita harus merancang, memilih strategi yang betul dan bertindak pantas.

Kerajaan Negeri berharap Ahli Majlis, Pegawai -pegawai serta kakitangan MPSP dan penduduk Seberang Perai memberi sokongan sepenuhnya kepada beliau untuk menjalakan tugas dengan penuh dedikasi.

YB/Tuan-Tuan/Puan-puan

Tahniah juga saya ucapkan kepada Ir Hajah Rosnani Bt Hj Mahmud yang telah dilantik sebagai Setiausaha Perbandaran MPSP yang baru. Beliau mempunyai kelayakan Jurutera Awam profesional dan telah mempunyai 26 tahun pengalaman kerja. Beliau bertanggungjawab merangka pengambilalihan kerja–kerja pembersihan sepenuhnya di seluruh Seberang Perai. Beliau juga berpengalaman mengurus projek-projek pembangunan majlis disamping memantau projek pembangunan swasta.

YB/Tuan-Tuan/Puan-puan

Saya juga ingin mengambil kesempatan disini untuk mengucapkan tahniah kepada YBhg. Dato’ Maimunah Mohd Sharif yang telah dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandar Raya Pulau Pinang. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih di atas sumbangan beliau sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai selama enam (6) tahun..

Ada empat kriteria yang harus diberikan perhatian sekiranya MPSP ingin berjaya mencapai tahap bertaraf antarabangsa dan pintar yakni jadi lebih bersih, hijau ,sihat dan selamat.

Bila kita sebut bersih , bukan sahaja bersih dalam aspek fizikal tetapi juga dalam urusan kewangan. Kerajaan Negeri tidak akan kompromi dalam melawani amalan rasuah. Itulah sebabnya Kerajaan Negeri memperkenalkan pentadbiran CAT- Cekap, Akauntabel dan Telus. Kerajaan Negeri melaksanakan tender terbuka , audit kawalan dan pemeriksaan oleh syarikat perakaunan, mengambil tindakan ke atas pegawai yang terlibat dalam salah laku dan memastikan Belanjawan Berimbang. Kita masih ingat semasa tahun 2008, kita dikejutkan dengan matlumat MPSP bahawa RM230 juta telah disia-siakan dalam tempoh 7 tahun. 7 tahun MPSP mengalami defisit dan jadi bankrap. Hanya bila Pakatan mengambilalih tampuk pemerintahan, barulah ada lebihan surplus atau untung dalam tempoh 1 tahun sahaja pada tahun 2008. Mujurlah kita berjaya selamatkan MPSP daripada jadi bankrap dalam tempoh setahun sahaja.

Selain daripada pengurusan kewangan yang bersih, MPSP mesti menjadikan Seberang Perai bersih. Usaha MPSP membersihkan Seberang Perai mendapat hasil apabila seluruh Pulau Pinang dipilih sebagai Negeri yang ke-tiga bersih di Malaysia selepas Terengganu dan Perak. Daripada negeri kotor sehingga digelar sebagai Pulau Pinang Darul Sampah kepada negeri yang ketiga bersih memang menunjukkan kerjasama daripada semua pihak termasuk rakyat.

Seberang Perai mesti selamat sekiranya Pulau Pinang ingin jadi negeri selamat. Kini, Pulau Pinang merupakan negeri yang mempunyai penurunan indeks jenayah yang ketiga besar di Malaysia. MPSP akan bekerjasama dengan pihak polis dalam pemasangan CCTV. Setakat kini, MPSP sudah ada 106 CCTV yang dipasang dan 300 yang akan dipasang lagi. Kerajaan negeri juga akan menghadkan lesen simulator kepada kompleks beli-belah, hotel 4 bintang atau 5 bintang sahaja mulai 1 Januari 2018 dan seterusnya dihentikan mulai 2019.

Selain daripada aktiviti sukan yang sihat, Seberang Perai boleh menekankan budaya yang sihat dengan anjuran aktiviti dalam sebuah kerajaan tempatan yang mempunyai kawasan yang paling besar di Malaysia. Buat kali pertama, program seni pertunjukan dan budaya dianjurkan dalam kawasan Butterworth Art Walk. Kerajaan negeri juga menggalakkan pameran “Little Minion” di Padang Pahlawan Pemuda, Dewan Hj Badawi, Butterworth yang banyak menggalakkan aktiviti yang sihat, termasuk aktiviti yang sesuai untuk seisi keluarga.

YB/Tuan-Tuan/Puan-puan

Untuk Pulau Pinang hijau, perlu kita melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa di Punca (Segregation At Source) bermula 1 Jun 2016 dan saya percaya Seberang Perai telah melaksanakannya dengan baik di mana kadar kitar semula MPSP sehingga Disember 2016 adalah 42.6%, iaitu yang tertinggi di Malaysia.

Menurut kajian oleh Penang Institute, penduduk Seberang Perai telah dapat menurunkan beratan pengeluaran sisa perkapita dari 1.6kg/orang/hari kepada 1.3kg/orang/hari (penurunan 19%) pada tahun 2016 berbanding dengan tahun 2015.

Peningkatan kadar kitar semula dan penurunan penghasilan sampah per kapita sehari hasil dari kajian bebas dari Penang Institute adalah menunjukkan kejayaan pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Dipunca. Walau bagaimanapun saya mengharapkan semua penduduk memberi sokongan menjaga kebersihan, tidak membuang bara api ke dalam tong komunal, tidak membuang sampah di luar tong supaya kita sama-sama dapat menduduki bandar yang bersih.

Seberang Perai dijangka menjadi pemangkin pembangunan ekonomi Pulau Pinang. Tapak Industri Batu Kawan kian dipenuhi oleh jenama-jenama terkemuka dalam bidang universiti, hospital, syarikat kilang dan pusat beli-belah (Penang Design Village dan IKEA). Oleh itu, Seberang Perai mestilah berjaya sekiranya Pulau Pinang mahu berjaya

Akhir sekali, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir ke Majlis Penerimaan Jawatan Yang Dipertua dan Setiausaha Perbandaran, MPSP pada pagi ini dan berharap semoga Yang Dipertua dan Setiausaha Perbandaran, MPSP yang dilantik ini, akan bekerjasama dan memberi sokongan yang padu kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Sekian, Terima Kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang