UPACARA PENGAKUAN PENERIMAAN JAWATAN DATUK BANDAR MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG

TEKS UCAPAN YAB TUAN LIM GUAN ENG, KETUA MENTERI PULAU PINANG

DI UPACARA PENGAKUAN PENERIMAAN JAWATAN DATUK BANDAR

MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG

PADA 4 JULAI 2017 (HARI SELASA) JAM 9:00 PAGI

BERTEMPAT DI DEWAN PERSIDANGAN MAJLIS, DEWAN BANDARAYA,

JALAN PADANG KOTA LAMA

********************************

1. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat, tuan-tuan dan puan-puan sekalian kerana sudi meluangkan masa untuk menghadiri upacara pada pagi ini.

2. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Berbahagia Dato' Maimunah binti Sharif atas perlantikan beliau sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang ke dua (ke 2) menggantikan Yang Berbahagia Dato' Patahiyah binti Ismail yang telahpun menamatkan kontrak perkhidmatan beliau sebagai Datuk Bandar yang pertama di Majlis Bandaraya Pulau Pinang. Di kesempatan ini juga saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan penghargaan saya kepada Yang Berbahagia Dato' Patahiyah binti Ismail di atas perkhidmatan cemerlang beliau di sepanjang beliau berkhidmat selama lebih 7 tahun bermula 1 Mac 2010 dengan Majlis Perbandaran Pulau Pinang sehingga ia diisytiharkan sebagai Majlis Bandaraya Pulau Pinang pada 1 Januari 2015 dan terus menjadi Dato Bandar yang pertama.

3. Saya yakin dengan pengalaman yang luas serta pencapaian dan pengiktirafan yang telah dimenangi oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai, Yang Berbahagia Dato' Maimunah binti Sharif mampu menerajui Majlis Bandaraya Pulau Pinang untuk terus mencapai kecemerlangan di masa masa akan datang. Tambahan pula beliau juga adalah seorang wanita yang berkebolehan. Ini membolehkan Kerajaan Negeri tidak mengamalkan diskriminasi jantina dan akan bertindak adil kepada semuan wanita yang berkebolehan.

 

4. MBPP mengamalkan perbelanjaan berhemah dan urus tadbir berasaskan prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus). Ini bermakna segala hasil yang dikutip daripada rakyat akan digunakan untuk membiayai perkhidmatan yang terbaik dan pembangunan kepada pembayar cukai. Majlis telah berjaya mencatatkan prestasi kewangan yang membanggakan dengan mencatatkan lebihan dalam penyata kewangan untuk dua tahun berturut-turut iaitu sebanyak RM177.95 juta untuk 2014, RM145.61 juta untuk 2015 manakala untuk tahun 2016, MBPP mengalami defisit sebanyak RM1.41 juta. Defisit ini adalah disebabkan oleh pengecualian cukai taksiran untuk perumahan Low Cost (LC) dan Low Medium Cost (LMC) serta pemberian diskaun 6% untuk hartanah lain demi membolehkan rakyat meringankan beban kewangan rakyat yang bertambah sejak pelaksanaan GST.

 

5. MBPP bertuah kerana setakat April 2017, ada lebihan Belanjawan terkumpul sebanyak RM42,499,776 mampu menangani cabaran kewangan berdasarkan pentadbiran CAT – Cekap, Akauntabel dan Telus. Dana kewangan daripada lebihan Belanjawan ini membolehkan kerajaan negeri menjalankan program pembangunan seperti menaiktaraf pasar-pasar awam, kompleks makanan dan tapak penjaja, dewan orang ramai, kompleks sukan, jalanraya seperti daripada Bulatan Udini ke Jalan Masjid Negeri atau lebuhraya 4 lorong di Projek Jalan Berkembar, Jalan Paya Terubong sebanyak RM 275 juta, serta projek pengairan dan longkang. Pegurusan sisa pepejal, pembersihan awam, perkhidmatan pungutan dan pembuangan sampah perlu dipertingkatkan lagi demi memastikan Pulau Pinang terus bersih. Program-program penghijauan dan keceriaan bandar seperti penanaman pokok, kerja-kerja landskap, menaiktaraf taman dan kawasan permainan kanak-kanak serta pemasangan lampu hiasan juga diteruskan.

6. Projek membina dan menaiktaraf laluan basikal dari Tanjung Tokong ke Jambatan Sultan Abdul Halim dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas sedang rancak dilaksanakan termasuk pembinaan "spiral bicycle" dan "pedestrian bridge". Kesemua kos laluan khusus basikal sebanyak RM 34.8 juta sepanjang 40 km akan ditaja oleh MBPP dan pihak swasta. Laluan basikal inilah di antara ciri-ciri membezakan sebuah bandaraya dengan majlis perbandaran.

 

7. Dalam usaha untuk mengurangkan kadar jenayah di kawasan perumahan dan perniagaan, MBPP menambah lagi pemasangan 150 buah CCTV pada masa depan di kawasan Pulau, Pulau Pinang dengan kos RM8.2 juta. Jumlah CCTV yang sudah dipasang ialah sebanyak 528 buah dengan kos RM38.3 juta untuk kerja-kerja pembinaan di tapak serta penyelenggaraan komprehensif selama 5 tahun. Manakala pada tahun ini 200 kamera akan dipasang dengan anggaran kos RM11 juta. Ini bermakna pada akhir 2018, MBPP akan memasang 878 CCTV dengan kos RM 57.5 juta untuk menjadikan Pulau Pinang lebih selamat.

8. Dengan pengiktirafan Bandar Raya George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, George Town dan Pulau Pinang telah menjadi satu lagi tarikan bagi destinasi pelancongan warisan seperti yang disiarkan oleh media antarabangsa baru-baru ini. CNN dalam senarai 17 tempat yang paling baik dilawati di dunia dan Pulau Pinang muncul No 2. Time Magazine telah memilih Pulau Pinang sebagai 10 "Amazing Asian Vacations that won't cost a fortune" daripada 50 destinasi popular yang lain. Kerajaan Negeri juga bangga bahawa kita menjurus ke arah negeri hijau yang pertama di Malaysia yang menjalankan kempen pemuliharaan alam sekitar seperti Hari Tanpa Beg Plastik. Mengikut rekod yang diperolehi, Kerajaan Negeri telah menjalankan tanggungjawab dengan menanam 271,000 pokok baru di Pulau Pinang sejak tahun 2008. Di samping itu, Pulau Pinang harus bangga ialah kerana menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak sentuh atau kurangkan seinci pun hutan simpan kekal, tidak seperti negeri-negeri lain seperti Kedah atau Kelantan. Pahang dan Kelantan menebang masing-masing 30% daripada hutan simpan kekal yang dihapuskan di Malaysia iaitu sebanyak 161,000 hektar dan 158,000 hektar. Malah negeri paling kecil iaitu Perlis turut menebang sebanyak 167 hektar hutan simpan kekal.

9. Sektor perumahan adalah salah satu penggerak utama ekonomi. Statistik sektor pembinaan, di Pulau Pinang menunjukkan projek pembinaan berkurangan sebanyak 28 projek bagi tempoh 2015 dan 2016. Pada tahun 2015, sebanyak 540 projek telah dilaksanakan berbanding 512 projek bagi tahun 2016 di mana nilai projek juga telah menurun dari RM8.3 bilion pada tahun 2015 kepada RM8.2 bilion pada tahun 2016. Sungguhpun tidak banyak perbezaan dari segi nilai, penurunan adalah lebih ketara untuk sub-sektor kediaman dan bukan kediaman yang jatuh dengan mendadak. Hanya suntikan dana daripada Kerajaan dalam sub-sektor kemudahan sosial dan infrastruktur dapat menyelamatkan keadaan (lihat rajah di bawah)

 

 

Kategori

2015

2016

Bil

Nilai (RM b)

Bil

Nilai (RM b)

Kediaman

164

4.4

164

2.9

Bukan Kediaman

195

2.4

162

1.9

Kemudahan Sosial

52

0.1

41

0.7

Infrastruktur

129

1.4

145

2.7

Jumlah

540

8.3

512

8.2

 

(Statistik CIDB [Construction Industry Development Board] jumlah dan nilai projek di Pulau Pinang)

 

10. Nilai projek kediaman telah kurang sebanyak 51% atau RM1.5 bilion di mana pada tahun 2015 nilai projek pembinaan yang dicatatkan adalah RM4.4 bilion berbanding dengan tahun 2016 sebanyak RM2.9 bilion. Pada masa yang sama, pengurangan juga turut berlaku bagi projek bukan kediaman di mana bagi tahun 2015 nilai projek yang direkodkan adalah RM2.4 bilion yang jatuh 20% atau RM0.5 bilion pada tahun 2016 kepada RM 1.9 bilion. Hanya pelaburan tambahan oleh kerajaan dalam sub-sektor kemudahan sosial, yang naik 6 kali ganda daripada 0.1 bilion dalam 2015 kepada 0.7 bilion pada 2016, dan untuk sub-sektor infrastruktur yang naik 92% daripada RM1.4 bilion pada 2015 kepada RM2.7 bilion pada 2016, telah berjaya menyelamatkan keadaan.

11. Ini boleh dicerminkan dalam kelulusan projek perumahan oleh MBPP yang jatuh daripada RM 3.3 billion pada 2014 sebelum GST dikenakan pada 1 April 2015 kepada RM 2.7 billion pada 2016.

12. Segala agenda ini akan hanya dapat dilaksanakan dengan jayanya jika Ahli majlis, Ketua Jabatan, Pegawai dan kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang dari semua peringkat dapat memberikan kerjasama sebagai satu pasukan. Kesungguhan dan komitmen tuan-tuan dan puan-puan akan menghasilkan kecemerlangan ke arah mewujudkan sebuah bandar raya yang bersih, ceria dan indah demi kesejahteraan dan keselesaan semua penduduk di kawasan pentadbiran MBPP.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang