MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI PDC 2017

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI PDC 2017

6 JULAI 2017 (KHAMIS)
ATRIUM PDC

 

Selamat tengahari dan salam sejahtera.

‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’ kepada semua warga kerja PDC dan semua jemputan yang hadir.

PDC telah mengadakan dua program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang telah dianjurkan oleh PDC dengan mengadakan Program Pembelian Baju Raya Bersama Anak-Anak Yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Kesayangan, Pulau Pinang di Mydin, Bukit Jambul.

Para hadirin yang dihormati,

Saya berbangga untuk memaklumkan bahawa Pulau Pinang merupakan negeri yang mempunyai prestasi yang terbaik di Malaysia dari segi pengurusan kewangan.

Dalam industri pembuatan, Pulau Pinang terus menerajui sebagai tempat yang terbaik untuk pelaburan. Ini terbukti dengan FDI sebanyak RM39.7 bilion dan RM19.5 bilion untuk pelaburan domestik, yang memberi jumlah pelaburan sebanyak RM59.2 bilion dari tahun 2008 sehingga 2016, iaitu peningkatan sebanyak 73% daripada jumlah pelaburan sebanyak RM34.2 bilion yang dicatatkan bagi sama tempoh 9 tahun dari tahun 1999 sehingga 2007. Peluang pekerjaan baru juga naik 15% daripada 121,511 pekerjaan baru untuk tempoh 1999-2007 kepada 139,133 pekerjaan baru untuk tempoh 2008-2016.

PDC juga giat dalam membangunkan projek-projek pembangunan dan baru-baru ini pihak PDC bersama Kerajaan Negeri telah melancarkan beberapa projek antaranya ialah :-

-Pelancaran Bagi Projek Jalan & Parit di Utara Penang Science Park (PSP), Seberang Perai Tengah, yang menghubungi Utara PSP kepada Juru dengan kos perbelanjaan sebanyak RM7,832,128.
-Perasmian Global Business Services (GBS) @ Mayang berjumlah RM10 juta dan Pengumuman projek GBS By The Sea (Innoplex 2) di Bayan Lepas yang berjumlah RM200 juta akan menggalakkan industri global business services, selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri, PDC dan Invest Penang untuk menuju ke ambang Revolusi Industri 4.0 yang membabitkan Big Data Analytics, Cloud Computing, E-Commerce, Crowd Sourcing dan Internet of Things.
-Majlis Pelancaran Mula Kerja-Kerja Pegecatan Semula Blok D1-D9, D0-D21 di Bandar Seberang Jaya dan Majlis Penyerahan Rasmi Penyiapan Kerja-Kerja Pengecatan Semula dan Pembaikan Kritikal Blok 74, Jalan Tengah, Bandar Bayan Baru. Sehingga sekarang, sebanyak RM580,249 telah dibelanjakan untuk memperbaiki blok-blok ini.
-Majlis Pelancaran Jambatan Baru Merentasi Sungai Kerian, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan yang merupakan ‘economic game changer’ yang akan menghubungi Taman Victoria dengan Tanjung Berembang dengan kos projek sebanyak RM25.8 juta.

Keseluruhan projek-projek ini juga adalah untuk kepentingan rakyat mahupun di kawasan pulau ataupun Seberang.

Saya dengan sukacitanya juga ingin memaklumkan bahawa fasa pertama Perumahan Mampu Milik PDC di Bandar Cassia Batu Kawan, iaitu Suria 1 yang mengandungi 520 unit rumah sebanyak RM130 juta akan di siapkan dengan CCC mulai tahun hadapan.

Projek perumahan untuk rakyat ini akan melengkapkan pembangunan terkini untuk komersil dan runcit termasuk kedai berjenama, Design Village Penang dan IKEA (yang akan buka pada 2019), sebagai pemangkin untuk pembangunan Batu Kawan. Saya yakin dengan pembukaan IKEA ini, ia akan dapat memenangi keyakinan penduduk Pulau Pinang selain menjadikan Seberang Perai sebagai destinasi komersil dan pelancongan.

Saya dengan ini, sekali lagi ingin mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’ kepada semua muslimin dan muslimat yang hadir pada hari ini dan seterusnya dengan penuh rasa kesyukuran, dengan ini merasmikan ‘MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI PDC 2016’.

Maaf Zahir dan Batin!

Sekian, terima kasih.