MAJLIS PENGUMUMAN PELANCARAN PROJEK PELEBARAN JAMBATAN BATU KAWAN, SEBERANG PERAI SELATAN

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PENGUMUMAN PELANCARAN PROJEK PELEBARAN JAMBATAN BATU KAWAN, SEBERANG PERAI SELATAN, PULAU PINANG

PADA 7 JULAI 2017 JAM 9.30 PAGI

 

Saya berasa amat bersyukur untuk bersama-sama dengan anda semua untuk majlis pengumuman projek infrastruktur PDC iaitu pelancaran projek pelebaran jambatan di Batu Kawan.

Projek pelebaran jambatan Batu Kawan yang bernilai RM33.5 juta (RM33,497,238.93) merupakan satu projek Kerajaan Negeri dan PDC untuk tujuan meningkatkan aliran trafik kerana jambatan sekarang semakin sesak terutamanya dengan perkembangan pesat di Batu Kawan.

Tarikh mula kerja bagi kontrak ini adalah pada 3hb Mei 2017 dan tarikh siap kerja dijangka pada 2hb Mei 2019. Kerja awalan pembersihan tapak, pemasangan papan tanda projek dan pemasangan pagar sedang dijalankan di tapak ini. Kemajuan kerja buat masa ini adalah 4%.

Dengan projek pelebaran ini, jambatan sedia ada yang berukuran 220m panjang akan dilebarkan dari 2 lorong (11m) lebar kepada 6 lorong (40m). Pelebaran jambatan ini akan menyediakan akses yang lebih cekap, selamat dan lebih baik bagi pengguna jalan raya termasuk pekerja-pekerja, pelawat-pelawat dan peniaga-peniaga di kawasan itu. Projek prasarana ini juga akan memudahkan lagi rangkaian dan sinergi antara Taman Perindustrian Batu Kawan dengan hub pembuatan di Penang Science Park.

Baru-baru ini saya juga telah melancarkan dua buah projek infrastruktur iaitu:-
a. Pembinaan jalan berharga RM7.8 juta, yang menghubungkan Penang Science Park dan Juru demi meningkatkan dan mempercepatkan pembangunan infrastruktur di Negeri Pulau Pinang, terutamanya di bahagian Seberang Pulau Pinang.

b Pembinaan Jambatan Baru Merentasi Sungai Kerian, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan yang akan menghubungi Taman Victoria dengan Tanjung Berembang dengan kos projek sebanyak RM25.8 juta.

Kerajaan Negeri dan PDC berhasrat untuk melaksanakan pembangunan seimbang di antara bahagian Pulau dan Seberang Perai di mana sebanyak 77% daripada keseluruhan peruntukan RM3,077,152,950.39 sejak 2008 telah dibelanjakan sehingga kini untuk pembangunan di bahagian Seberang Perai melibatkan Peruntukan Pembangunan Negeri, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Projek pelebaran jambatan adalah tepat pada masanya. Ini adalah kerana Bandar Cassia Batu Kawan, yang berkonsepkan Eco City sedang membangun dengan begitu pesatnya. Penang Design Village yang bernilai RM250 juta telah membawa pelbagai jenama terkemuka seperti Ralph Lauren, Adidas, Coach dan Clarks; KDU Penang University College telah melabur RM220 juta untuk membina sebuah kampus baru dengan keluasan 10 ekar dan IKEA Store bernilai RM600 juta merupakan satu lagi economic game changer akan dibuka dalam tahun 2019.

Sehubungan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PDC atas sumbangan yang proaktif dan perancangan untuk masa hadapan dalam menyediakan infrastruktur dan ‘connectivity’ untuk memudahkan keperluan pembangunan perniagaan di Pulau Pinang. Dengan ini, saya dengan sukacitanya ingin merasmikan pelancaran projek pelebaran jambatan di Batu Kawan, Seberang Perai Selatan.

Sekian terima kasih.