MAJLIS ISTIADAT PENGANUGERAHAN DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT KEHORMATAN NEGERI PULAU PINANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS ISTIADAT PENGANUGERAHAN DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT KEHORMATAN

NEGERI PULAU PINANG

PADA 22 JULAI 2017, JAM 9.00 PAGI

BERTEMPAT DI DEWAN SRI PINANG

_________________________________________________

KE ARAH NEGERI BEBAS RASUAH


Selamat pagi dan salam sejahtera.

1. Sempena majlis yang indah dan penuh bermakna ini, saya bagi pihak Anggota Pentadbiran Negeri, Anggota Perkhidmatan Awam serta seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Tuan Yang Terutama Tun sempena sambutan Hari Ulang tahun yang ke-79. Kami mendoakan agar Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan serta keluarga terus berada dalam kesihatan yang baik.

2. Saya beserta anggota Pentadbiran Kerajaan Negeri, Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang dan rakyat negeri Pulau Pinang seluruhnya membulatkan ikrar dan taat setia kami yang tidak berbelah bahagi kepada Tuan Yang Terutama Tun. Semoga negeri dan rakyat yang berada di bawah pemerintahan Tuan Yang Terutama Tun akan terus bersatu-padu serta dilimpahkan segala kerahmatan, keberkatan dan kesejahteraan jua hendakNya.

NEGERI PALING BAHAGIA DAN KURANG TEKANAN

3. Ini jelas dicerminkan dalam tinjauan indeks kebahagian bandar EdgeProperty.com-Lafarge 2017 seperti yang telah dibuat dan disiarkan di akhbar TheEdgeProperty.com baru-baru ini, Pulau Pinang mempunyai tahap kebahagian tertinggi dan tahap tekanan yang terendah berbanding Lembah Klang dan Johor Bahru.

4. Daripada tinjauan yang dibuat, 77% daripada responden dari Pulau Pinang mengatakan mereka gembira berbanding 61% responden daripada Johor Bahru dan 39% responden di Lembah Klang. Tinjauan ini turut mendapati bahawa Pulau Pinang hanya mencatatkan 7% responden yang tertekan tinggal di bandar ini berbanding 17% responden di Johor Bahru dan 54% responden di Lembah Klang.

5. Sememangnya konsep negeri keusahawanan dan kebajikan telah membawa perubahan kepada rakyat Pulau Pinang.

Tuan Yang Terutama Tun,

KESTABILAN EKONOMI NEGERI

6. Seperti di seluruh negara, Pulau Pinang menghadapi cabaran ekonomi ekoran kesan negatif daripada pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan penurunan nilai mata wang ringgit. Akan tetapi ekonomi negeri masih mampu bertahan dengan pertumbuhan menggalakkan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan. Baru-baru ini, Pulau Pinang menerima satu pelaburan besar sebanyak RM1 bilion daripada sebuah syarikat elektronik Taiwan iaitu Hotayi Sdn Bhd yang akan menjanakan 1,500 peluang pekerjaan baru. Pulau Pinang telah mencatatkan pertumbuhan peluang pekerjaan sebanyak 15% daripada 121,511 pekerjaan bagi tempoh dari 1999 hingga 2007 kepada 139,133 pekerjaan untuk tempoh yang sama mulai 2008 hingga 2016. Tidak ada masalah pengangguran yang ketara di Pulau Pinang.

7. Sektor pembuatan memainkan peranan penting bagi pertumbuhan ekonomi negeri dengan sumbangan sebanyak 45% kepada GDP negeri. Di samping itu, sektor perkhidmatan menyumbang 50% kepada GDP negeri. Bidang baru termasuk pelbagai jenis perkhidmatan perkongsian dan sumber luaran (shared services dan outsourcing), pembangunan perisian, multimedia kreatif, teknologi maklumat dan industri pengetahuan. Sektor ini telah mewujudkan lebih 8,000 pekerjaan bernilai tinggi di negeri Pulau Pinang.

8. Malahan, menurut MIDA, Pulau Pinang menjadi destinasi pelaburan kedua terbesar selepas Kuala Lumpur pada tahun 2016 untuk hub global bagi perkhidmatan (global establishments for services/principal hub) dengan jumlah pelaburan sebanyak RM4.1 bilion. Antara kesan positifnya adalah Citigroup yang telah mendirikan “Global Financial Credit Hub” di Pulau Pinang dengan 1,400 peluang pekerjaan bernilai tinggi yang berjaya menguruskan 50 juta transaksi di seluruh dunia dengan nilai USD50 trilion.

Tuan Yang Terutama Tun,

PERKEMBANGAN SEKTOR PELANCONGAN DAN WARISAN

9. Dalam sektor pelancongan, Pulau Pinang semakin dikenali di seluruh dunia sehingga menjadi salah satu destinasi pilihan utama pelancong. Ini terbukti apabila CNN menyenaraikan Pulau Pinang di tempat kedua daripada 17 tempat yang paling baik dilawati.

10. Pertambahan kapasiti penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) kepada 6.7 juta orang pada tahun 2016 melebihi kapasiti 6.5 juta orang, dan ia dicapai dalam 4 tahun lebih awal daripada jangkaan 2020. Oleh itu, projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) amat diperlukan. Adalah diharapkan agar Kerajaan Persekutuan boleh membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dengan segera memandangkan pada tahun ini juga memperlihatkan pertambahan penumpang sebanyak 8%.

11. Di sebalik kepesatan pembangunan di Pulau Pinang, tersimpan warisan yang tidak ternilai harganya. Selain pengiktirafan UNESCO sebagai bandar warisan, penemuan arkeologi penting di Guar Kepah, Kepala Batas, Seberang Perai Utara membuka satu lagi lembaran sejarah. Rangka wanita purba berusia 5,710 tahun, menunjukkan bumi bertuah ini telah dihuni sejak zaman Neolitik. Rangka manusia purba yang digelarkan sebagai Penang Woman ini akan ditempatkan di Pusat Arkeologi bertaraf antarabangsa yang akan dibina oleh Kerajaan Negeri di atas tapak tapak asal penemuan seluas dua (2) ekar di Guar Kepah.

Tuan Yang Terutama Tun,

PROGRAM KEBAJIKAN

12. Sebagai sebuah negeri berkebajikan, kesejahteraan rakyat Pulau Pinang menjadi keutamaan Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 lagi. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap kepayahan rakyat yang berpendapatan rendah mengharungi kehidupan dalam keadaan ekonomi yang mencabar. Potongan cukai taksiran atau cukai pintu sebanyak 6% telah diberikan untuk semua hartanah tahun ini.

13. Lebih istimewa pengecualian cukai taksiran sepenuhnya bagi rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah dan rumah kampung/bertanah diberikan untuk tahun 2017. Pengecualian bayaran ini melibatkan RM55 juta yang perlu ditanggung oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai demi manfaat rakyat.

14. Program i-Sejahtera yang bermula sejak tahun 2008 telah memberi manfaat kepada 1.6 juta rakyat Pulau Pinang melalui bantuan kewangan secara tunai berjumlah RM412.63 juta. Program 'emas' ini merangkumi segenap lapisan masyarakat di mana lebih 210,000 rakyat Pulau Pinang telah menerima wang secara langsung yang terdiri daripada warga emas, bayi, OKU, ibu tunggal, ibu yang tidak bekerja, pelajar, pemandu teksi, operator bas sekolah berdaftar dan penarik beca. Selain itu, Kerajaan Negeri juga memberi bantuan pukat pantai kepada nelayan dan bantuan RM1,000 kepada mahasiswa dan mahasiswi tempatan yang mendapat tempat di universiti.

15. Sebagai tambahan, program Agenda Ekonomi Saksama (AES) telah berjaya membasmi miskin tegar di negeri ini dengan menjadikan pendapatan isi rumah di Pulau Pinang ditetapkan sekurang-kurangnya RM790 sebulan. Bagi isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM790 sebulan, Kerajaan Negeri akan menambah bakinya sehingga cukup genap mencapai RM790 setiap bulan. Untuk tujuan itu, hampir RM25 juta telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri menerusi program AES ini sejak dilaksanakan pada tahun 2014.

16. Semua ini dapat dilaksanakan hasil daripada tadbir urus Kerajaan Negeri yang telus dan bersih sehingga menyumbang lebihan kepada perbelanjaan terkumpul sebanyak RM578 juta dalam tempoh lapan tahun bermula 2008 hingga 2016 berbanding RM373 juta yang dicapai untuk tempoh 50 tahun dari tahun 1957 hingga 2007. Aset negeri juga hampir digandakan dalam tempoh lapan tahun tersebut dari RM850 juta kepada RM1.6 bilion. Jumlah hutang negeri juga menurun sebanyak 90% sejak tahun 2008 dan berada pada tahap paling rendah dalam negara, iaitu RM65 juta pada akhir tahun 2016. Jumlah hutang ini adalah yang terendah berbanding kesemua 13 negeri lain yang jumlah keseluruhannya mencecah RM17.7 bilion.

17. Kedudukan kewangan negeri yang kukuh ini juga membolehkan Kerajaan Negeri meluluskan bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri berjumlah 0.75 bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang.
Tuan Yang Terutama Tun,

18. Kerajaan Negeri berasa megah bahawa pentadbiran kewangan yang baik dipuji setiap tahun dalam Laporan Ketua Audit Negara malah merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang dipuji oleh Transparency International menjurus ke arah negeri yang bebas rasuah. Sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri telah menerima pakai 10 langkah integriti yang mencerminkan komitmen untuk menjadi negeri yang bebas rasuah seperti berikut:
i. Amalan Pentadbiran yang berlandaskan Prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti & Telus)

ii. Menginstitusikan pengisytiharan harta secara terbuka oleh Ketua Menteri, barisan EXCO dan ADUN

iii. Melaksanakan tender terbuka yang kompetitifi

v. Tidak membenarkan ahli keluarga untuk melibatkan diri dalam kontrak Kerajaan atau berurusniaga dengan Kerajaan Neger

iv. Melarang ADUN dan ahli pentadbiran daripada diluluskan permohonan tanah Kerajaan Negeri

vi. Melindungi pemberi maklumat atau peniup wisel yang tulen

vii. Mengambil tindakan ke atas pemimpin yang hidup mewah melebihi pendapatan rasminya

viii. Telus dalam sumbangan politik

ix. Tidak menerima ‘donation’ peribadi

x. Mengambil tindakan ke atas pegawai yang melanggari kesemua di atas

PEMULIHARAAN AIR

19. Rakyat Negeri Pulau Pinang seharusnya bersyukur apabila dapat menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini dengan keadaan yang aman damai dan selesa khususnya tanpa sebarang catuan air. Pulau Pinang sememangnya bangga apabila menjadi satu-satunya negeri dalam sejarah di Malaysia yang tidak mengenakan catuan air sungguhpun kita semua menghadapi perubahan cuaca yang tidak menentu dan telah menyaksikan sesetengah negeri terpaksa mengenakan catuan air ke atas rakyatnya. Kejayaan tanpa catuan air ini adalah kerana komitmen Kerajaan Negeri yang mengekalkan kehijauan negeri ini dengan menanam hampir 300,000 pokok sejak tahun 2008 di samping mengekalkan kawasan hutan simpan kekal tanpa menebangnya walau seinci pun.

20. Akan tetapi Kerajaan Negeri mengakui bekalan air yang mencukupi, hasil dasar hijau Kerajaan Negeri dan pengurusan yang cekap oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), membolehkan rakyat Pulau Pinang menikmati tarif air sehingga 4 kali ganda lebih rendah berbanding negeri-negeri lain di Malaysia. Malangnya, tarif air yang rendah ini telah membawa kesan negatif dengan pembaziran air sehingga Pulau Pinang merupakan negeri yang mencatatkan penggunaan air yang paling tinggi di Malaysia iaitu sebanyak 300 liter per kapita sehari (l/c/d) berbanding purata kebangsaan yang hanya 211 liter per kapita sehari (l/c/d).

21. Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa langkah dalam mengurangkan pembaziran air di kalangan rakyat negeri ini dengan memperkenalkan Surcaj Pemuliharaan Air (SPA) sebagai penalti kepada mereka yang membazirkan air. Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk menaikkan tarif air seperti yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan berharap agar SPAN meluluskan permohonan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan SPA ini dan bukannya juga menaikkan tarif air. Kita tidak harus membebankan rakyat Pulau Pinang dengan kenaikan tarif air tetapi hanya menghukum mereka yang membazirkan air dengan SPA. Biarkan Kerajaan Negeri cuba langkah ini dahulu dan sekiranya tidak berjaya mengurangkan pembaziran air, barulah kenaikan tarif air boleh dipertimbangkan.

22. Kerajaan Negeri bersyukur bahawa Pulau Pinang dalam keadaan yang aman damai dan tenteram hasil usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat yang berjaya menjadikan Pulau Pinang di antara negeri yang terselamat di Malaysia. Kerajaan Negeri ingin menyampaikan penghargaan atas sumbangan dan pengorbanan angkatan tentera, polis dan pasukan keselamatan.

23. Sebagai akhir kata, sekali lagi, sempena hari yang bersejarah dan mulia ini, saya mewakili kepimpinan negeri, anggota perkhidmatan awam dan seluruh rakyat negeri Pulau Pinang mengucapkan Selamat Hari Ulangtahun yang ke-79 kepada Tuan Yang Terutama Tun. Kami mendoakan semoga Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan akan terus menaungi negeri ini dengan penuh adil dan bijaksana. Semoga Tuhan Yang Maha Esa melanjutkan usia Tuan Yang Terutama Tun berdua dan melimpahkan rahmat senantiasa secara berterusan.

24. Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai harapan menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang bertaraf antarabangsa dan pintar.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang