SAMBUTAN HARI MAJLIS 2017

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA SAMBUTAN HARI MAJLIS 2017

23 JULAI 2017 (AHAD), JAM 9:00 PAGI

DI AUDITORIUM, IBU PEJABAT MPSP

..........................................................................................

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kerana menjemput saya untuk merasmikan sambutan Hari Majlis 2017 pada pagi yang mulia ini.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada kepada Tuan Sr Hj Rozali bin Hj Mohamud yang telah dilantik oleh Kerajaan Negeri sebagai Yang Dipertua MPSP. Sebagai Yang Dipertua baru, Tuan Sr Haji Rozali bin Haji Mohamud mempunyai tanggungjawab berat dalam memberi perkhidmatan dalam pelbagai aspek untuk menjadikan Seberang Perai yang lebih bersih, hijau, sihat dan selamat.

Di sini, saya turut ucapkan tahniah atas pelantikan Setiausaha Perbandaran iaitu Puan Ir Hajah Rosnani binti Haji Mahmod.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat menghargai jasa dan sumbangan yang diberikan oleh Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang dalam melancarkan urus tadbir negeri. Justeru, Kerajaan Negeri telah meluluskan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini sebanyak 0.75 bulan atau minimum RM1,000 kepada semua Anggota Perkhidmatan Awam Negeri tertakluk kepada syarat prestasi yang baik.

Walau bagaimanapun, pemberian BKK ini hanya diberi kepada 3,741 Anggota Perkhidmatan Awam Negeri di Pentadbiran Kerajaan Negeri dengan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM7,551,028.94 berbanding dengan RM6,945,034.67 yang dibayar pada pertengahan tahun 2016. Pemberian BKK tahun 2017 ini juga turut dipanjangkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun Negeri.

Saya berharap MPSP sentiasa memberi perkhidmatan yang terbaik untuk warga Seberang Perai dalam meningkatkan hasil Majlis. Kerajaan Negeri serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah berjaya melaksanakan perubahan besar dengan menjadikan Pulau Pinang yang dahulunya begitu kotor sehingga digelar sebagai Pulau Pinang Darul Sampah kini telah menjadi negeri yang ketiga bersih di Malaysia. Marilah kita berusaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang terbersih di Malaysia.

Akhir kata, tidak lewat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang beragama Islam. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Sambutan Hari Majlis 2017 Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang