PROGRAM NEGARAKU SEHATI SEJIWA PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2017

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA PROGRAM NEGARAKU SEHATI SEJIWA
PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2017

16 OGOS 2017
QUEENSBAY MALL, BAYAN LEPAS

 

Terlebih dahulu sekalung ucapan tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada Jawatankuasa Penganjur iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang di atas penganjuran Program Negaraku Sehati Sejiwa Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2017 sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-60 pada petang ini.

Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pulau Pinang akan bermula secara rasminya pada hari ini 16 Ogos 2017 di seluruh pelusuk Negeri Pulau Pinang. Pelbagai program telah diatur bagi memupuk semangat kebangsaan cintakan negara dan patriotisme di kalangan masyarakat di negeri ini. Antaranya adalah Perarakan Hari Kebangsaan yang akan diadakan pada 31 Ogos 2017 bertempat di Padang Kota Lama (Jalan Lebuh Light) dan Sambutan Hari Malaysia yang akan disambut pada 16 September 2017 bertempat di SP Arena Seberang Jaya.

Negeri Pulau Pinang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan bangsa serta agama. Kita bangga bahawa masyarakat majmuk ini dapat hidup dengan aman, toleransi dan harmoni kerana sifat perpaduan yang utuh dan saling menghormati di kalangan rakyat Pulau Pinang. Syabas kepada rakyat Pulau Pinang yang masih bersatu dan menolak anasir-anasir jahat yang berniat mahu menanam sifat kebencian, keganasan, penganiayaan dan diskriminasi serta fitnah jahat untuk mencapai kepentingan peribadi tertentu. Marilah kita bersatu, berlawan bukan di antara satu sama lain tetapi melawan kemiskinan, rasuah, ekstremisme, perkauman dan kejahilan. Barulah perayaan Hari Kemerdekaan ini benar-benar bermakna.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Kita sering mendengar kata-kata hikmah seperti 'bersatu kita teguh, bercerai kita roboh'. Namun itulah realitinya dalam permuafakatan rakyat jelatanya yang mampu menjadi tiang utama tonggak kekuatan negara, tidak harus sekadar menanam tebu di bibir. Siapa tidak boleh berpidato dengan hebat atau berucap dengan lantang mengenai sesuatu perkara yang mereka tidak mempunyai rekod pencapaian langsung?

Permuafakatan rakyat hanya bermakna sekiranya ia disusuli dengan pencapaian kemajuan ekonomi untuk semua, masyarakat berpendidikan dan pintar, insan yang hidup bermaruah, infrastruktur dan kemudahan asas yang mencapai taraf antarabangsa, penyampaian perkhidmatan dan tata kelola kerajaan yang baik. Inilah inspirasi rakyat Pulau Pinang bagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-60, menuju ke arah negeri keusahawanan dan kebajikan dalam negeri yang bersih, sihat, hijau dan selamat.

Akhir kata, saya menyeru kepada semua rakyat di Pulau Pinang supaya kibarlah Jalur Gemilang di mana-mana sahaja tidak kira pada kenderaan, rumah atau pejabat serta premis perniagaan bagi meraikan kejayaan merdeka membebaskan kita daripada cengkaman penjajah dan menjadi negara bebas yang berdaulat untuk rakyat, demi rakyat dan bagi rakyat.

Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-60.

Sekian, terima kasih.