MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN PENDAFTARAN PELAJAR KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI (IPT) TAHUN 2017 (BAHAGIAN SEBERANG PERAI)

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN PENDAFTARAN PELAJAR KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI (IPT) TAHUN 2017

24 OGOS 2016 (KHAMIS),
DEWAN BESAR, DEWAN MILLENIUM, KEPALA BATAS

 

Selamat pagi dan salam sejahtera kepada semua,

1. Bersyukur kita kepada Tuhan kerana memberi peluang dan ruang untuk kita semua bertemu pada hari ini, bersempena dengan Majlis Penyerahan Bantuan Pendaftaran Pelajar ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) Bagi Sesi Akademik Kedua 2016/2017 bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda dan Bagi Sesi Akademik Pertama 2017/2018 untuk pengajian Diploma.

2. Selamat datang dan tahniah diucapkan kepada 576 orang pelajar yang akan menerima cek bantuan pendaftaran pelajar ke IPT. Sejumlah RM1,000.00 akan diberikan bagi para pelajar yang akan mengikuti pengajian di Semananjung Malaysia dalam majlis pada hari ini. Pada kali ini juga, selepas mengambilkira perbelanjaan tambahan yang akan ditanggung oleh para pelajar yang akan mengikuti pengajian di Sabah dan Sarawak, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberikan RM1,200.00 (bagi pelajar yang mendapat tawaran belajar di universiti di Sabah dan Sarawak) bagi para pelajar ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk meringankan beban rakyat. Wang bantuan ini diberikan tanpa mengira kaum, agama dan yang penting sekali latar belakang politik. Asalkan anda adalah anak Negeri Pulau Pinang, bantuan ini tetap akan diberikan.

3. Turut dirakamkan ucapan tahniah kepada ibu bapa penerima yang telah memainkan peranan yang cemerlang dalam memastikan kejayaan anak masing-masing. Kita berasa amat bersyukur kerana program bantuan ini dapat diteruskan pada setiap tahun dan statistik penerima juga telah bertambah dari tahun ke tahun. Untuk pengetahuan semua, sejak program ini diperkenalkan pada tahun 2008 hingga sekarang, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM17,480,400.00 yang melibatkan 17,761 orang pelajar yang telah berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA.

4. Pada kali ini, seramai 806 telah berjaya mendapat bantuan pendaftaran pelajar ke IPT dan daripada jumlah tersebut, 126 adalah dari Daerah Timur Laut dan 104 pula adalah dari Daerah Barat Daya. Terdapat 2 pelajar dari Daerah Barat Daya yang berjaya mendapat RM1,200.00 kerana berjaya mendapat tawaran ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

5. Kerajaan Negeri mampu untuk melakukan pembayaran ini kerana menjalankan pentadbiran yang bersih. Kerajaan Negeri telah mencatat lebihan bajet dengan jumlah lebihan sebanyak RM574 juta bagi tempoh 8 tahun dari 2008-2015. Jumlah ini lebih daripada jumlah lebihan di bawah pentadbiran dahulu sepanjang 50 tahun pentadbiran iaitu dari 1957-2007, iaitu RM373 juta. Dalam erti kata lain, kita mengambil masa hanya 8 tahun untuk mengatasi prestasi 50 tahun sebelum ini.

6. Program pemberian bantuan pendaftaran pelajar ini bermula pada tahun 2008 dengan bantuan sebanyak RM500.00 kemudian ditingkatkan kepada RM1,000.00 bermula pada tahun 2011.Pada tahun ini, ditingkatkan lagi kepada RM1,200.00 bagi para pelajar yang menyambung pelajaran ke Universiti di Sabah dan Sarawak. Ini adalah bayaran Kerajaan Negeri yang tertinggi kepada mahasiswa di Malaysia.

7. Seperti di seluruh negara, Pulau Pinang menghadapi cabaran ekonomi ekoran kesan negatif daripada pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan penurunan nilai mata wang ringgit. Akan tetapi ekonomi negeri masih mampu bertahan dengan pertumbuhan menggalakkan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

8. Dalam keadaan ekonomi yang kurang stabil ini, universiti awam juga tidak diberikan pelepasan, malah telah diberikan potongan besar bajet operasi di Universiti-Universiti awam Malaysia. Secara keseluruhannya, peruntukan keseluruhan bagi 20 universiti awam pada tahun 2017 jatuh sebanyak 19.23%, iaitu daripada RM7.57 bilion kepada RM6.12 bilion dan Universiti Malaya (UM) mengalami paling banyak potongan iaitu 27.3 peratus atau RM175 juta. Pendidikan universiti adalah sektor yang kritikal untuk memacukan masa depan anak muda dan negara bagi mencapai status negara maju. Kerajaan Persekutuan tidak haruslah memotong bajet IPTA semata-mata kerana gagal menangani masalah rasuah dan pembaziran dalam pengurusan bajet.

9. Baru-baru ini, Pulau Pinang menerima satu pelaburan besar sebanyak RM1 bilion daripada sebuah syarikat elektronik Taiwan iaitu Hotayi Sdn Bhd yang akan menjanakan 1,500 peluang pekerjaan baru. Pulau Pinang telah mencatatkan pertumbuhan peluang pekerjaan sebanyak 15% daripada 121,511 pekerjaan bagi tempoh dari 1999 hingga 2007 kepada 139,133 pekerjaan untuk tempoh yang sama mulai 2008 hingga 2016. Tidak ada masalah pengangguran yang ketara di Pulau Pinang. Dengan perancangan yang bijak, Kerajaan Negeri akan sentiasa mampu memberikan yang terbaik kepada rakyat Pulau Pinang termasuklah bantuan kewangan IPT ini.

10. Akhir sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada warga kerja Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Pejabat Daerah dan Tanah di atas kerjasama yang telah diberikan dalam menjayakan majlis ini. Saya, berserta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada ibu bapa, waris dan kesemua pelajar kerana terpilih untuk melanjutkan pelajaran dan bertuah kerana turut menerima bantuan kewangan ini bagi meringankan bebanan kewangan yang dihadapi oleh ibu bapa serta waris para pelajar yang terlibat.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang