MAJLIS PERASMIAN GELANGGANG FUTSAL & PERTANDINGAN FUTSAL PIALA TERTUTUP YB ADUN SUNGAI PINANG

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang

Majlis Perasmian Gelanggang Futsal & Pertandingan Futsal Piala Tertutup YB ADUN Sungai Pinang

Sempena Sambutan Kemerdekaan Ke-60
25 Ogos 2017, 6.45pm

 

Bersyukur kita kerana dapat bersama pada petang ini bersama-sama merasmikan Gelanggang Futsal serta melancarkan Pertandingan Futsal Tertutup Piala YB ADUN Sungai Pinang.

Terlebih dahulu, saya ingin merakam ribuan terima kasih kepada semua kerana sudi bersama pada pagi ini. Ini adalah petunjuk tuan-tuan dan puan-puan ambil berat tentang kemudahan asas sedia ada serta kesihatan dan rekreasi anak-anak muda kami.

Seperti mana yang semua sedia maklum, bermula Oktober 2015, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan polisi baru iaitu mengadakan “Satu DUN Satu Futsal”. Pejabat YB Lim Siew Khim telah memohon membina satu gelanggang futsal seluas 495.75 meter persegi di Bandar Sri Pinang. Selepas dikenalpasti tapak yang paling sesuai, futsal ini bernilai sebanyak RM134,170.38 yang merupakan peruntukan khas Jabatan Kewangan Negeri di bawah program Satu KADUN Satu Gelanggang Futsal.

Saya difahamkan bahawa gelanggang futsal ini di bawah pengelolaan JKKK Bandar Baru Jelutong, Pulau Pinang. Projek gelanggang futsal ini telah dimulakan pada Jun tahun lepas dan telah siap dalam tempoh 7 bulan iaitu pada Januari 2017. Namun atas sebab-sebab tertentu, kontraktor telah diarahkan melakukan kerja-kerja tambahan dan disiapkan sepenuhnya pada Jun 2017.

Saya difahamkan kontraktor yang dipilih pada mulanya gagal untuk memberikan hasil kerja yang terbaik. Atas ketegasan YB Lim Siew Khim dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik, beliau telah mengarahkan supaya pihak kontraktor menambahbaik gelanggang futsal tersebut sehingga mencapai tahap yang memuaskan.

Saya juga mengalu-alukan wakil-wakil daripada jabatan-jabatan Kerajaan Tempatan dan JKKK KADUN Sungai Pinang yang mengambil bahagian dalam pertandingan malam ini iaitu Pertandingan Futsal Piala Tertutup ADUN Sungai Pinang.

Para hadirin yang dihormati,

Negara kita akan menyambut Hari Kemerdekaan Ke-60 pada 31 Ogos. Saya sangat gembira DUN Sungai Pinang telah bermula sambutan Hari Kemerdekaan Ke-60 malam ini.

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pejabat YB Lim Siew Khim, dan Pejabat Daerah Timur Laut Pulau Pinang kerana telah bertungkus lumus dan telah berjaya menjalankan program pada malam ini.

Akhir sekali, Saya dengan rasa bangga dan gembira, mengumumkan Perasmian Gelanggang Futsal serta merasmikan Pertandingan Futsal Piala Tertutup YB ADUN Sungai Pinang.