MAJLIS PERASMIAN SEBERANG PERAI FIESTA 2017

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang
Sempena Majlis Perasmian Seberang Perai Fiesta 2017

25 Ogos 2017

 

Selamat Malam dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan jutaan terima kasih khasnya kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abas atas kesudian untuk hadir ke Majlis Perasmian Seberang Perai Fiesta 2017 daripada 24 hingga 27 Ogos 2017.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Seberang Perai Fiesta 2017 merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, MARDI, Jabatan Perhutanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan juga syarikat serta usahawan tempatan.

Bagi penganjuran Seberang Perai Fiesta 2017 pada kali ini, program ini terbahagi kepada tiga (3) komponen utama iaitu Agrofest, Food Mega Festival dan Nusantara Artwave.

Inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi penganjuran program berskala besar seumpama ini adalah bertujuan bagi mempromosikan industri asas tani dan perikanan sebagai salah satu industri penting di Pulau Pinang. Selain itu juga, melalui penganjuran program ini jelas menunjukkan penghargaan dan pengiktirafan Kerajaan Negeri Pulau Pinang di atas sumbangan petani, penternak dan nelayan dalam pembangunan Negeri Pulau Pinang. Ini sejajar dengan hasrat kerajaan mewujudkan industri pertanian yang lestari pemangkin kemajuan ekonomi, serta untuk kesejahteraan rakyat Pulau Pinang.

Untuk rekod, sektor pertanian, veterinar dan perikanan, ia terus mencatatkan pertumbuhan positif di Pulau Pinang. Sektor pertanian terus mencatatkan pertumbuhan yang signifikan bagi negeri Pulau Pinang. Untuk tahun 2015, sektor pertanian telah mencatatkan peningkatan hasil sebanyak RM48 juta kepada RM477 juta berbanding RM429 juta hasil pada tahun 2014. Kerajaan Negeri juga meluluskan skim mikrokredit Tabung Usahawan Tani Muda di mana setiap usahawan menerima pinjaman sebanyak RM5 000 dan hanya perlu membayar dalam tempoh 2 tahun tanpa faedah.

Selain itu, dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, usahawan dapat dilatih dengan pelbagai 14 kursus pertanian dan industri asas tani sepanjang tahun ini. Ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri bagi memperkasakan sektor pertanian dan membuktikan “Pertanian Adalah Perniagaan” sekaligus menjadi engin pemangkin kemajuan ekonomi negeri Pulau Pinang selain daripada sektor perindustrian.

Bagi sektor perikanan, pada tahun 2015, pendaratan sumber laut telah mencatatkan nilai sebanyak RM484 juta dengan 49.8 tan metrik. Ini jelas menunjukkan peningkatan nilai sebanyak RM19 juta berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya bernilai RM463 juta dengan 45.9 tan metrik. Sejak 4 tahun lepas, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan bantuan pukat pantai percuma dua kali setahun kepada nelayan-nelayan pesisiran pantai. Sejumlah RM2.88 juta telahpun dibelanjakan untuk nelayan pesisir pantai dalam meningkatkan hasil tangkapan mereka.

Bagi sektor penternakan, nilai hasil ternakan yang dicatatkan pada 2015 adalah RM827.96 juta. Sebagai contoh, pengeluaran ternakan bagi daging ayam dan itik telah meningkat RM20 juta daripada RM415 juta berbanding RM395 juta pada tahun 2014. Hasil ternakan utama pada tahun 2016 adalah berjumlah RM847.07 juta berbanding RM832.11 pada tahun 2015. Ini merupakan peningkatan sebanyak RM14.96 juta.

Bagi penganjuran kali ini lebih daripada 100 peniaga dan food truck dari seluruh negara telah berkumpul di Tapak Ekspo Seberang Jaya untuk memberikan pengunjung suatu pengalaman menikmati makanan dan buah-buahan tempatan.

Dalam aspek kesenian, Nusantara Art Wave turut akan menampilkan penggiat seni terkenal tanah air dan ada di antara penggiat seni tersebut yang telah dijemput bagi membuat seni mural di luar negara.

Dalam kesempatan ini juga, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada YB Dr. Afif bin Bahardin dan agensi-agensi kerajaan lain yang telah berusaha keras dalam merealisasikan program ini dengan jayanya.

Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi menjemput semua pengunjung khasnya rakyat Negeri Pulau Pinang untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan program Seberang Perai Fiesta 2017.

Sekian, terima kasih.