MAJLIS PENGUNDIAN UNIT RUMAH KOS SEDERHANA RENDAH (LMC) SELASIH COURT

UCAPAN KETUA MENTERI NEGERI PULAU PINANG 
SEMPENA MAJLIS PENGUNDIAN UNIT RUMAH KOS SEDERHANA RENDAH (LMC) SELASIH COURT

25 SEPTEMBER 2017 (ISNIN)
SERI TANJUNG PINANG, TANJUNG TOKONG

 

Terlebih dahulu, saya ingin menyampaikan tahniah kepada Eastern & Oriental Berhad atas kejayaan menyempurnakan satu lagi projek perumahan kos sederhana rendah untuk golongan yang kurang berkemampuan.

Saya difahamkan bahawa pihak pemaju E&O bukan sahaja telah memenuhi syarat yang ditentukan dalam konsesi perjanjian dengan menyediakan 1,194 unit rumah mampu milik yang diwajibkan malahan mereka telah mengambil inisiatif untuk menawarkan 142 unit tambahan lagi di kawasan Seri Tanjung Pinang. Kesemua 1,336 unit rumah ini memerlukan kos pembinaan sebanyak RM125.8 juta.

Untuk pengetahuan semua, E&O Property (Penang) Sdn Bhd telah menyiapkan 692 unit rumah Kos Sederhana Rendah (LMC) di Palm Court dan Nipah Court pada tahun 2009 serta 644 unit rumah Kos Sederhana Rendah di Selasih Court pada tahun ini. Mngambil kira ketiga-tiga projek tersebut, E&O telah menyempurnakan sebanyak 1,336 unit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah sejak 2009.

Pemaju-pemaju seperti E&O yang memenuhi tanggungjawab mereka untuk membina unit-unit rumah mampu milik sememangnya menyumbang kepada objektif kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menangani isu pemilikan rumah demi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sememangnya mengutamakan pembekalan pelbagai jenis perumahan mampu milik untuk rakyat Negeri Pulau Pinang, di mana Kerajaan Negeri Pulau Pinang sendiri mempunyai 17 projek yang bakal membekalkan 27,230 unit pelbagai jenis perumahan mampu milik di kelima-lima daerah di Pulau Pinang, di mana harganya adalah dalam lingkungan RM42,000 (867 unit); RM72,500 (9,283 unit) dan RM150,000 sehingga RM300,000 (17,080 unit).

Selain itu, sejak pengenalan Garispanduan Perumahan Mampu Milik 100% untuk pihak swasta, saya begitu gembira untuk menyatakan bahawasanya sebanyak 18,387 unit telahpun diluluskan untuk dibina oleh pihak swasta di Negeri Pulau Pinang. Ini adalah tidak termasuk Rumah Mampu Milik Jenis A dan B (Kos Rendah dan Sederhana Rendah) yang telah dibina sejak kita mengambil alih Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu 21,535 unit.

Untuk makluman semua, jumlah 21,535 unit ini adalah 4 kali ganda jumlah 5,154 unit yang telahpun dibina pada 7 tahun yang sama sebelum kita mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan telahpun menunjukkan satu prestasi pencapaian dari segi pembekalan perumahan mampu milik yang jauh lebih baik daripada Kerajaan Barisan Nasional yang terdahulu.

Baru-baru ini Negeri Pulau Pinang telah dipilih oleh sebuah kajian bebas sebagai negeri yang paling bahagia – Happiest State – di Malaysia1 manakala ada pula kajian lain yang menilai Negeri Pulau Pinang antara bandar di dunia yang mempunyai nilai taraf kehidupan atau liveability yang tinggi2. Ini adalah kerana Pulau Pinan adalah bersih, hijau, sihat dan selamat. Itulah sebabnya kita boleh bahagia.

Saya berharap kedudukan Pulau Pinang sebagai sebagai tempat yang unggul dan terpilih akan terus maju dengan adanya projek perumahan mampu milik seperti Selasih Court.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang berjaya menerima tawaran untuk Selasih Court.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang