TAKLIMAT LATIHAN INDUSTRIAL REVOLUTION 4.0

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA TAKLIMAT LATIHAN INDUSTRIAL REVOLUTION 4.0

AUDITORIUM IBU PEJABAT MPSP
9 OKTOBER 2017, 9 PAGI
 -----------------------------------------------------------------------------

 

Terlebih dahulu, saya mengucapkan tahniah atas kejayaan menganjurkan Taklimat Latihan Industrial Revolution 4.0 (IR 4.0) pada hari ini.

Saya difahamkan taklimat pada hari ini merupakan taklimat untuk memberi pengenalan dan gambaran yang jelas kepada pelaksanaan Industrial Revolution 4.0 agar ianya dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan di Seberang Perai. Taklimat ini merangkumi penglibatan Ahli Majlis, Pegawai Pengurusan Atasan dan pegawai-pegawai MPSP. 
Sebelum ini revolusi perindustrian pertama bergantung kepada penggunaan mesin berkuasa wap. Revolusi perindustrian kedua pula melibatkan kuasa elektrik. Diikuti revolusi perindustrian ketiga berasaskan teknologi maklumat dan komputer sebagai tonggaknya. Gelombang keempat atau industri 4.0 didorong oleh revolusi digital atau internet melalui aplikasi sistem siber fizikal yang bukan hanya tertumpu pada sektor pembuatan malah akan turut melibatkan sektor perkhidmatan. Gelombang ini merupakan kesinambungan daripada gelombang perindustrian ketiga yang berteraskan sistem elektronik dan teknologi maklumat.

Sejajar dengan perkembangan teknologi yang menggalakkan penggunaan internet secara maksima, Pulau Pinang akan menguasai gelombang Industrial Revolution 4.0 yang merangkumi Big Data Analytics, Cloud Computing, E-Commerce, Crowd Sourcing dan Internet of Things. Pulau Pinang tidak mempunyai sumber asli lain, justeru Kerajaan Negeri komited untuk membangunkan modal insan demi menjamin pembangunan ekonomi yang mampan.

Bak kata pepatah di Silicon Valley “Data Is King” tetapi saya mahu menambah “ Talent is everything”. Itulah sebabnya kami harus didedahkan dengan teknologi terkini serta membina modal insan yang celik atau berpengetahuan tentang ilmu ini. Kerajaan Negeri telah mengambil initiatif mendalami pendidikan STEM (Science, Technology, English and Mathematic) dengan pelbagai projek yang berharga RM68 juta.

Akhir sekali, adalah baik MPSP memberikan perhatian kepada industri 4.0 menerusi taklimat hari ini dan diharapkan anda dapat lebih memahami tentang teknologi asas dan semua yang digunakan dan yang perlu disediakan oleh MPSP bagi melaksanakan Industrial Revolution 4.0 di Seberang Perai.

Dengan itu, saya merasmikan Taklimat Latihan Industrial Revolution 4.0 pada hari ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang