MAJLIS PERASMIAN PROJEK MENAIKTARAF LORONG BELAKANG YANG MENGHUBUNGKAN JALAN MAGAZINE KE JALAN GURDWARA

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, 
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROJEK MENAIKTARAF LORONG BELAKANG YANG MENGHUBUNGKAN JALAN MAGAZINE KE JALAN GURDWARA
PADA 20HB OKTOBER2017 (JUMAAT) 5.45 PETANG

 

Selamat petang dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MBPP dan hadirin-hadirin yang dihormati sekalian kerana sudi meluangkan masa untuk menghadiri Majlis Perasmian Projek Menaiktaraf Lorong Belakang Yang Menghubungkan Jalan Magazine ke Jalan Gurdwara pada petang ini.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Projek menaiktaraf lorong belakang di Pulau Pinang merupakan initiatif Kerajaan Negeri bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). Objektif utama projek mentransformasikan lorong belakang ini adalah untuk mengubah perspesi negatif masyarakat terhadap lorong belakang yang gelap, berbahaya, terbiar dan kotor kepada suasana lorong yang lebih selamat, hijau dan bersih. Projek ini bukan sahaja mengindahkan lorong belakang, tetapi mewujudkan laluan alternatif yang lebih selamat kepada pejalan kaki dan penunggang basikal.

Untuk makluman Tuan-Tuan dan Puan-Puan, projek ini merupakan projek Corporate Social Resposibilty (CSR). Kerja naiktaraf Lorong Belakang yang menghubungkan Jalan Magazine ke Jalan Gurdwara ini disumbang sepenuhnya oleh M Summit Group dan World Class Global yang mahu membantu Kerajaan Negeri menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang lebih baik, 'Cleaner, Greener, Safer and Healtier Penang'.

Jumlah kos keseluruhan kerja-kerja menaiktaraf lorong belakang ini adalah sebanyak RM 840,000.00. RM800,000.00 adalah sumbangan daripada M Summit Group manakala RM 40,000.00 adalah daripada World Class Global. Jumlah panjang lorong belakang yang terlibat dalam kerja penaiktarafan ini adalah sebanyak 135m, dengan keluasan sebanyak 870m2 . Antara kerja-kerja yang terlibat dalam projek CSR ini termasuklah menaiktaraf lorong belakang, membina semula longkang, kerja-kerja landskap , memasang lampu, papan tanda , kerja-kerja utiliti dan kerja-kerja pengindahan lain.

Antara elemen-elemen penting yang diaplikasikan dalam projek ini termasuklah penglibatan komuniti; projek ini menggiatkan penyertaan komuniti dalam mengindahkan lorong belakang. Penduduk-penduduk berpeluang menanam pelbagai jenis tumbuhan herba pilihan sendiri di lorong belakang, permainan tradisional Teng-Teng disediakan dan elemen-elemen rekabentuk lain yang bersifat interaktif turut diaplikasikan.

Projek ini pasti dapat menjadi mercu tanda baharu di bandar George Town. Rekabentuk canvas yang berwarna-warni disediakan di pintu masuk bagi menarik perhatian orang awam dan mewujudkan suasana mengalu-alukan (sense of welcoming). Manakala gaya rekabentuk di lorong belakang pula mengadaptasikan ‘raw design’ bagi menggekalkan identiti dan ciri-ciri senibina sediada. Bahan binaan mentah seperti ‘recycled wood’, simen mentah dan batu-batu digunakan supaya rekabentuk lorong belakang berharmoni dengan bangunan lama yang memiliki ciri-ciri khas yang menjadi daya tarikan di mata pengunjung.

Para hadirin yang saya hormati,

Projek menaiktaraf lorong belakang ini merupakan projek contoh yang baik dan kami berharap banyak lagi lorong bekalang di Pulau Pinang boleh dinaiktarafkan. Kerajaan negeri berharap bahawa tempat cantik ini boleh digunakan dan diduduki oleh orang tempatan dan bukannya orang asing sahaja.

Sebelum saya menamatkan ucapan saya hari ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan sekali lagi terima kasih dan syabas kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang, M Summit Group, World Class Global dan pihak-pihak terlibat bagi berjaya merealisasikan projek naiktaraf lorong belakang ini.

Sekian, terima kasih.