Majlis Rumah Terbuka Deepavali Kerajaan Negeri Pulau Pinang 2017

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang

Sempena Majlis Rumah Terbuka Deepavali Kerajaan Negeri Pulau Pinang 2017

29 Oktober 2017 
Di Dewan Serbaguna Jawi

Selamat petang dan selamat datang ke Rumah Terbuka Deepavali Kerajaan Negeri Pulau Pinang tahun 2017.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan Yang Bahagia Toh Puan kerana sudi menghadiri majlis sebagai tetamu kehormat. Saya juga turut mengucapkan selamat menyambut perayaan Deepavali kepada seluruh rakyat Pulau Pinang yang beragama Hindu. DEEPAVALI NAL VALTHUKAL.

Saya amat gembira untuk melihat kehadiran dari semua kaum dan lapisan masyarakat bagi menyerikan lagi majlis kita pada hari ini. Saya juga terharu dengan semangat muhibah dan perpaduan yang ditunjukkan oleh rakyat Pulau Pinang. Ekstremisme perkauman dan keagamaan tidak boleh bertapak di Pulau Pinang kerana kita Kerajaan Negeri dan rakyat enggan membenci antara satu sama lain serta enggan membiarkan pelampau untuk menguburkan kebenaran. Keselamatan kita juga dilindungi dengan cekap oleh Polis DiRaja Malaysia Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri menegakkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan kebebasan untuk agama-agama lain di bahawa perlembagaan persekutuan. Di samping meningkatkan peruntukkan untuk keagamaan Islam sebanyak 84% dari tempoh 2008 hingga 2016, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukan hampir RM 30 juta untuk keagamaan bukan Islam dalam tempoh yang sama. Kerajaan Negeri turut memperuntukan tapak tanah secara percuma atau pada kos bersubsidi kepada kedua-dua keagamaan Islam dan bukan Islam. Saya dengan bangganya boleh menyatakan bahawa Negeri Pulau Pinang adalah merupakan model toleransi dan keharmonian bagi negeri-negeri lain di Malaysia.

Di sini, saya juga mengambil kesempatan untuk memuji kejayaan Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang dalam mengamalkan urustadbir yang cekap dan menjaga pengurusan serta pembangunan fizikal Kuil-Kuil Hindu di Pulau Pinang. Model Lembaga Wakaf Hindu Negeri ini harus menjadi contoh bagi penubuhan badan-badan yang serupa di negeri-negeri lain di Malaysia.

Tuan Yang Terutama Tun,

Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) giat menerajui pembangunan di kawasan Seberang Perai. Projek Jambatan dan Jalan Menyeberangi Sungai Tengah serta Sambungan Jalan Sedia Ada, Batu Kawan kini telah disiapkan ke tahap 41%. Projek yang bernilai 22.13 juta ini akan mengurangkan masa perjalanan dari Jawi dan Valdor ke kawasan Batu Kawan yang ekonominya sedang berkembang pesat pada masa kini. Sukacitanya juga saya menyatakan bahawa projek ini apabila disiapkan adalah bebas tol. PDC turut membangunkan empat lagi projek infrastruktur yang dilihat sebagai pemangkin pertumbuhan kawasan Seberang Perai Selatan iaitu pembinaan jalan dari Penang Science Park ke Juru, pembinaan jambatan baru di Sungai Kerian, Nibong Tebal, menaiktaraf Jalan Bukit Tambun dan projek pelebaran jambatan sedia ada di Batu Kawan. Keseluruhan kos projek-projek ini adalah 91 juta.

Kerajaan Negeri mempromosikan Seberang Perai sebagai penggerak ekonomi utama masa depan demi mewujudkan keseimbangan pembangunan dengan bahagian Pulau. Dari tempoh 2008 hingga 2016, Kerajaan Negeri telah mengagihkan 77% daripada perbelanjaan pembangunan iaitu sebanyak RM 2,379 juta kepada Seberang Perai. PDC giat mengambilalih tanah di Batu Kawan, Bukit Tambun dan kawasan Perindustrian Sungai Baong, Daerah Seberang Perai Selatan demi meningkatkan pelaburan. Usaha-usaha ini telah membuktikan kecekapan Kerajaan Negeri apabila berjaya menarik pembukaan flagship store IKEA, Penang Design Village, Taman Perindustrian Teknologi Tinggi oleh Temasak Holdings, kilang Boston Scientific dan pelaburan-pelaburan bernilai tinggi yang lain di Batu Kawan.

Di sini, sempena perayaan Deepavali yang mulia ini saya ingin menyeru kepada masyarakat India di Seberang Perai agar jangan ketinggalan untuk merebut peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan yang akan diwujudkan melalui pembangunan pesat kawasan Seberang Perai. Kerajaan Negeri telah lama sedar bahawa pendidikan adalah tunggak utama pembangunan masyarakat India. Disebabkan itulah dari 2008 hingga 2017, Kerajaan Negeri telah memberi peruntukkan berjumlah lebih RM 15 juta bagi Sekolah-Sekolah Tamil dan peruntukan berjumlah RM 500 ribu untuk Tadika-Tadika Tamil di Pulau Pinang demi menyediakan suasana pembelajaran yang lebih kondusif bagi para pelajar. Ini tidak termasuk peruntukan sebanyak RM 100 ribu yang telah saya hulurkan kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Mak Mandin dan RM 10 ribu untuk Tadika Mak Mandin ada bulan Oktober 2017 ini.

Walaupun demikian, cita-cita Kerajaan Negeri belum tercapai lagi. Kami telah lama berusaha untuk mengwujudkan sebuah Sekolah Kebangsaan Tamil Menengah di Pulau Pinang demi memartabatkan lagi pendidikan masyarakat India. Baru-baru ini, sekali lagi saya telah menyuarakan kesanggupan Kerajaan Negeri untuk menyediakan sebidang tanah secara percuma untuk Kerajaan Persekutuan bagi membina sebuah Sekolah Tamil Menengah tetapi belum menerima jawapan yang positif. Sekiranya diluluskan Sekolah Tamil Menengah pertama di negara ini akan didirikan di kawasan Seberang Perai.

Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Rumah Terbuka Deepavali Kerajaan Negeri Pulau Pinang tahun 2017 termasuk YB. Prof. Dr. P. Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri II yang telah mengetuai Jawatankuasa Penganjur. Semoga masyarakat berbilang bangsa di Pulau Pinang sentiasa mengeratkan silaturahim dan persefahaman antara kita dan sekali gus memartabatkan keamanan yang kita nikmati.

Sekian. Terima kasih.

DEEPAVALI NAL VALTHUKAL. NANDRI. VANAKAM

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang