BELANJAWAN PULAU PINANG 2018

UCAPAN BELANJAWAN PULAU PINANG 2018 OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG LIM GUAN ENG 
DI DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG 
PADA 2 NOVEMBER 2017

BELANJAWAN MARHAEN

Mukadimah
“Belanjawan Marhaen” adalah kenyataan dasar yang mencerminkan nilai-nilai teras Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang. Kita perlu menjaga kebajikan rakyat marhaen, iaitu orang kebanyakan dan keluarga-keluarga bekerja. Kita harus memastikan kehidupan rakyat kita menjadi “kalis masa depan” (futureproof) agar tiada sesiapa yang ketinggalan dalam ekonomi digital Revolusi Industri Ke-4.

Rekod Prestasi Ekonomi

1. Sepanjang 10 tahun yang terakhir, ekonomi Pulau Pinang telah berkembang pesat. Apabila kita mengambil alih tampuk pentadbiran pada Mac 2008 hampir 10 tahun lalu, Pulau Pinang sedang bergelut dengan pelbagai ketidaktentuan dan masa depan kelihatan suram. Krisis Kewangan Sedunia melanda dan kelebihan kos berbanding (comparative cost advantage) negeri ini sebagai hab pembuatan global telah terhakis dan pelaburan baru diancam oleh ekonomi-ekonomi memuncul (emerging economies) lain serta gergasi China. Rentetan daripada itu, sektor pembuatan mula menjadi lompang apabila kilang-kilang di Pulau Pinang berpindah ke China, Vietnam dan Indonesia. Industri pelancongan dan perkhidmatan pula berada dalam keadaan lelah dan terdapat kekurangan keyakinan perniagaan yang ketara.

2. Pentadbiran negeri pula ibarat enjin diesel lama yang bingit dan lembap serta bergerak secara tersangkut-sangkut. Membatukkan asap hitam, ia menonjolkan gejala-gejala enjin yang kurang efisien dan kotor. Rakyat akhirnya membuat keputusan untuk menukar krew berserta pemandunya pada Pilihan Raya Umum 2008 dengan membawa masuk sekumpulan orang baru yang kurang berpengalaman, namun penuh dengan tenaga dan idea baru serta komited terhadap pembaharuan. Benar, kita tidak mempunyai pengalaman mentadbir kerajaan, tetapi kita juga tidak berpengalaman dalam rasuah.

3. Kerajaan baru lantas melancarkan Pulau Pinang sebagai negeri keusahawanan dan berkebajikan bagi merangsangkan kembali ekonomi. Negeri keusahawanan berkisar pada kerjasama antara pihak-pihak berkepentingan utama dalam sektor ekonomi dan sosial, serta perkongsian antara sektor awam, swasta dan rakyat, ataupun 3Ps Partnership: public, private, dan people. Pulau Pinang telah berjaya dalam usaha memangkinkan pertumbuhan ekonomi dengan bantuan pentadbiran CAT yang cekap, akauntabel dan telus.

4. Maju 10 tahun ke depan, pencapaian kita nyata terang dan jelas. Ekonomi Pulau Pinang telah kembali pulih dan berkeyakinan semula, khususnya dalam dua (2) tunjang ekonomi kita iaitu sektor pembuatan dan perkhidmatan yang bersama menyumbang lebih 95% KDNK. Pertumbuhan KDNK kita pula menjangkaui kadar pertumbuhan negara dan dijangka akan bertambah 6% tahun ini berbanding dengan ramalan 5.2% bagi Malaysia. Malah sektor pertanian juga berkembang bersama-sama dengan pertumbuhan pesat sektor pembuatan dan pelancongan, daripada 1.6% KDNK pada tahun 2007 kepada 2% KDNK pada tahun 2016, terutama sekali industri penternakan ikan laut. Daripada hampir tiada apa-apa, sektor penternakan ikan laut di Pulau Pinang kini antara yang terbesar di Malaysia dengan nilai sebanyak RM1,114 juta dengan 58,682 tan pada tahun 2015.

5. Hasil daripada itu, KDNK per kapita di Pulau Pinang telah meningkat daripada RM33,597 pada tahun 2010 kepada RM47,322 pada tahun 2016, iaitu peningkatan 30%. KDNK per kapita Pulau Pinang adalah kedua tertinggi di negara selepas Kuala Lumpur. Kadar pengangguran Pulau Pinang pada tahap 2.1% pula adalah yang kedua terendah di negara bagi tahun 2016. Pada masa yang sama, jurang pendapatan (income inequality) di Pulau Pinang pula telah berkurang. Pekali Gini bagi negeri kita telah menurun daripada 0.419 pada tahun 2009 kepada 0.356 pada tahun 2016, iaitu sebanyak 15%.

6. Dari tahun 2015 sehingga separuh tahun pertama 2017, Pulau Pinang berjaya menarik sebanyak RM13.8 bilion dalam bentuk Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang diluluskan, iaitu kedua tertinggi di negara selepas Johor. Pemulihan industri pembuatan ini dicerminkan dalam hakikat bahawa Pulau Pinang telah sekali lagi muncul sebagai juara pelaburan di Malaysia. Meskipun jumlah pelaburan yang diluluskan bagi negara telah berkurang sebanyak 28.2% bagi separuh tahun pertama 2017 daripada RM88.4 bilion pada tahun 2016 kepada RM65.4 bilion, Pulau Pinang telah menongkah arus apabila jumlah pelaburan yang diluluskan telah MENINGKAT daripada RM2.67 bilion pada tahun 20161 kepada RM7.7 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 188%.2

7. Sektor pelancongan juga telah berkembang dengan pembukaan hotel-hotel baru dan kadar penginapan yang lebih tinggi. Malah, Pulau Pinang adalah penyumbang terbesar cukai pelancongan baru (dikenakan pada pelancong asing pada kadar RM10 seorang) yang dilaksanakan pada 1 September 2017, dengan jumlah kutipan RM241,460 dalam satu bulan, iaitu lebih daripada Kuala Lumpur. Ini menunjukkan bahawa Pulau Pinang telah menarik lebih ramai pelancong asing berbanding Kuala Lumpur.

8. Bilangan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) telah mencecah 6.7 juta orang pada tahun 2016, melangkaui kapasiti 6.5 juta orang empat tahun sebelum dijangkakan. Tahun ini, bilangan penumpang dijangkakan akan mencecah 7.1 juta orang. Ekoran pengumuman salah satu syarikat penerbangan termasyhur dunia, Qatar Airways, bahawa penerbangan langsung dari Doha ke Pulau Pinang bakal bermula pada 6 Februari 2018, Perdana Menteri telah mengumumkan penaiktarafan PIA dalam Ucapan Bajet 2018.

9. Semua orang gemarkan Pulau Pinang – kerana makanan kita, kebudayaan dan sejarah kita yang hidup subur serta bandaraya kita yang menjanjikan peluang dan kebebasan. Pada tahun 2008, George Town dikurniakan status Warisan Dunia oleh UNESCO, dan kini menjadi bandaraya konvensyen dan pameran dengan prasarana yang bertaraf antarabangsa serta pasaran pelancongan perubatan terbesar di Malaysia. Kumpulan Island Hospital telah mengumumkan pelaburan sebanyak RM2 bilion untuk membina hospital swasta paling besar di Pulau Pinang dengan 1,000 katil.

10. Dahulu dikenali sebagai antara bandaraya terkotor di Malaysia pada tahun 2008, Pulau Pinang dan secara khusus bandaraya George Town telah bertukar menjadi antara yang terbersih di Malaysia. Bukan sahaja kita bersih dari segi fizikal, tetapi kita juga mengamalkan pentadbiran bersih yang dipuji oleh Transparency International serta Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun.

11. Kita telah menjanjikan kepada rakyat Pulau Pinang sebuah kerajaan yang cekap, akauntabel dan telus dan kita berpegang kepada janji tersebut. Projek kerajaan, tidak kira besar atau kecil, semuanya diputuskan melalui tender terbuka dan kompetitif. Semua anggota pentadbiran mengisytiharkan harta mereka secara terbuka. Politik dan perniagaan dipisahkan; yakni ahli-ahli keluarga pemimpin kerajaan tidak dibenarkan untuk berurus niaga dengan kerajaan.

12. Kisah kejayaan dalam 10 tahun ini dicerminkan melalui lebihan bajet tahunan sejak tahun 2008 yang berjumlah RM578 juta dari tahun 2008 hingga 2015, iaitu lebih daripada jumlah RM373 juta yang dikumpulkan selama 50 tahun dari 1957 hingga 2007. Rizab tunai pula meningkat lebih daripada RM1 bilion kepada RM1.8 bilion, dan hutang negeri telah dikurangkan dengan begitu "mengkagumkan" sebanyak 90%. Jelas, 9 tahun pentadbiran Pakatan Harapan telah memperlihatkan betapa banyak boleh dilakukan berbanding 50 tahun terdahulu sebelum 2008.

13. Inilah faktor utama Kerajaan Negeri Pakatan Harapan di Pulau Pinang kekal kukuh dan senantiasa dipercayai oleh rakyat. Kita juga menginginkan pembangunan seimbang. Daripada RM3.1 bilion yang dibelanjakan untuk kerja infrastruktur sejak tahun 2008, RM2.3 bilion atau 77% telah dibelanjakan di Seberang Perai, sekaligus memastikan tiada wilayah atau kawasan yang ketinggalan. Namun, sekadar pro-pertumbuhan dan pro-pekerjaan tidak memadai. Kita juga mesti pro-marhaen. Setelah menjana pembangunan ekonomi, kita tumpu pula perhatian terhadap unsur sosio-politik bagi mengukuhkan Pulau Pinang sebagai negeri berkebajikan.

Kad “I-Love-Penang” Saya Sayang Pulau Pinang

14. Pulau Pinang dianggap sebagai bandaraya paling berdaya huni di Malaysia. Wawasan kita untuk mewujudkan Pulau Pinang yang berdaya huni di mana rakyat dari segenap lapisan masyarakat dapat hidup dengan sejahtera, adalah dengan meraikan kebebasan dan kepelbagaian, seni dan budaya dalam sebuah bandaraya kosmopolitan, mengukuhkan komuniti yang bersih, hijau, selamat dan sihat serta menambahbaik jaringan perhubungan selaras dengan ekonomi digital masa depan.

15. Pertamanya, kita akan melancarkan kad pintar baru bagi semua rakyat Pulau Pinang yang dipanggil kad “I-Love-Penang” Saya Sayang Pulau Pinang. Kad ini merupakan kunci bagi mencapai pelbagai kemudahan dan faedah sosial yang disediakan oleh Kerajaan Negeri. Pengurusan dan pengagihan semua program kebajikan kerajaan (termasuk program-program di bawah I-Sejahtera) akan diselaraskan dan diintegrasikan dengan kad “I-Love-Penang” Saya Sayang Pulau Pinang. Ini akan memudahkan hidup rakyat Pulau Pinang. Pada masa depan, kita hanya perlu membawa kad tersebut – dan kad itu mungkin mengambil bentuk maya dalam aplikasi telefon bimbit – bagi mencapai segala pembayaran, faedah and kemudahan.

16. Kad “I-Love-Penang” Saya Sayang Pulau Pinang ini amat bermanfaat kepada rakyat marhaen, dan pada masa yang sama menjadi instrumen kerajaan untuk menyerap pemakaian analisa big data dalam proses penggubalan dasar berasaskan bukti (evidence-based policy making) serta penyampaian perkhidmatan awam. Kita akan menggunakan prinsip ekonomi perilaku (behavioural economics) sepertimana dipopularkan oleh pemenang Anugerah Nobel, ahli ekonomi Richard Thaler, untuk menggerakkan atau “nudge” orang ramai untuk mencapai penyampaian dan prestasi yang lebih baik.

17. Badan pemikir Kerajaan Negeri, Penang Institute, akan ditugaskan dengan pelaksanaan kad “I-Love-Penang” Saya Sayang Pulau Pinang. Selaras dengan itu, peruntukan untuk Penang Institute telah ditingkatkan kepada RM4.5 juta.

Perkhidmatan Bas Percuma Di Waktu Puncak – Pendekatan “Nudge”

18. Satu contoh pendekatan “nudge” melalui kad “I-Love-Penang” adalah dengan menyediakan insentif bagi meningkatkan penggunaan bas awam untuk mengurangkan kesesakan trafik. Pada tahun 2018, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM15 juta untuk menggalakkan lebih ramai orang menggunakan bas awam di Pulau Pinang dengan menyediakan perkhidmatan bas percuma di waktu puncak pagi dan petang, bagi semua bas. Kita juga akan bekerjasama dengan Rapid Penang untuk meluaskan rangkaian perkhidmatan, merombak laluan bas bagi mengurangkan masa perjalanan, meningkatkan kekerapan dan kebolehpercayaan serta menambah bilangan bas di jalan raya.

19. Kita mahukan hubungan menang-menang dengan Rapid Penang. Pengembangan program bas percuma ini akan meningkatkan penggunaan, hasil dan perniagaan sampingan dengan ketara sekali bagi Rapid Penang. Pada masa yang sama, Rapid Penang harus membantu Pulau Pinang dengan menyediakan lebih banyak bas baru dan meningkatkan mutu perkhidmatan. Kita harap Rapid Penang akan menambah 200 buah bas baru.

20. Semua di atas hanya boleh berjaya sekiranya kita menerima pakai sistem kad pintar cashless yang membenarkan kedua-dua pengguna dan operator bas memantau perjalanan bas dan penggunaan secara elektronik.

21. Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah membelanjakan sebanyak RM21 juta sejak tahun 2008 untuk menyediakan bas percuma CAT di kawasan George Town, serta bas bersubsidi dari Seberang Perai ke Pulau bagi mereka yang bekerja di Zon Perdagangan Bebas Bayan Lepas. MBPP akan meningkatkan bilangan bas percuma CAT daripada tiga (3) hingga lima (5) buah pada tahun 2018, dengan peningkatan kos daripada RM666,000 kepada RM1.1 juta setahun.

22. Kerajaan Negeri akan mewujudkan “Transport Penang”, satu unit perancang terdiri daripada sekumpulan perancang pengangkutan, modellers dan pakar yang akan melapor kepada Majlis Pengangkutan Pulau Pinang yang diketuai Ahli EXCO, YB Chow Kon Yeow.

Ruang Awam Dan Pembinaan Komuniti

23. Hutan bandar dan taman awam di Pulau Pinang sememangnya satu aset penting yang amat kita banggakan. Kerajaan ini komited untuk mengekalkan hutan bandar dan menaiktaraf taman-taman awam. Taman-taman dan ruang awam ini termasuk siar kaki, medan, bangku tepi jalan dan juga lorong belakang adalah penting kerana inilah tempat kita bersua, berbual-bual dengan jiran dan kenalan, di mana pasangan muda boleh membawa anak kecil ke taman permainan dan di mana ibu bapa kita – pakcik dan makcik tua – boleh bersenam di pagi hari. Di tempat-tempat inilah komuniti dapat dibentuk dan dilentur.

24. Pada bulan Mei 2017, kita telah meluluskan undang-undang baru, Enakmen Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang 2017, untuk membuka jalan kepada perancangan dan pengurusan stadium dan ruang awam yang lebih holistik di Pulau Pinang. Sebagai langkah seterusnya, kita akan memulakan Pelan Taman Pulau Pinang yang terperinci di bawah naungan Penang Institute untuk menambahbaik taman-taman dan akhirnya menghubungi semua taman-taman kepada satu sesawang koridor hijau dengan penyambung taman.

25. Seketika pembangunan baru seperti Gurney Wharf menjadi kenyataan di Pulau Pinang, beberapa bidang tanah akan dibangunkan kepada taman yang menarik dan terbuka kepada orang ramai secara percuma. Bagi Gurney Wharf, 60 ekar tanah tambak laut akan dijadikan sebagai ruang rekreasi waterfront bertaraf antarabangsa.

Pulau Pinang Aktif Dan Sihat: RM45 Juta Untuk Menjadikan Pulau Pinang Negeri Berbasikal

26. Saya telah mengumumkan pada tahun 2016 tentang wawasan Pulau Pinang sebagai negeri berbasikal. Sejak itu, kita telah bekerjasama dengan sektor swasta untuk mewujudkan koridor basikal di bawah Pelan Induk Laluan Basikal Pulau Pinang. Pembinaan “Laluan Basikal Tepi Pantai” yang bakal menghubungkan Straits Quay di Tanjung Tokong di kawasan timur laut kepada Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di kawasan barat daya, dikongsi bersama sektor swasta dengan kos RM45 juta sepanjang 39.3km termasuk titi lingkar (spiral bridge). 21.2km laluan basikal telah pun dibina dan selebihnya dijangka siap menjelang tahun 2020.

27. Penggalakan gaya hidup berbasikal adalah baik bukan sahaja untuk Pulau Pinang yang sihat, tetapi juga bagus untuk perniagaan-perniagaan kecil seperti kedai basikal dan kafe yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan di serata Negeri Pulau Pinang. 

Sukan Menyatukan Rakyat: RM275 Juta Bagi Infrastruktur Sukan Untuk Menjadikan Badminton (82 Gelanggang Baru) Dan Renang (4 Kolam Renang Bersaiz Olimpik) Sebagai Sukan Teras

28. Rakyat Malaysia gemar dengan juara-juara badminton seperti mendiang Dato’ Eddy dan Dato’ David Choong serta pemain kontemporari Dato’ Lee Chong Wei dan Chan Peng Soon. Kita harus merancakkan pembangunan badminton sebagai sukan kompetitif serta aktiviti rekreasi sihat dalam kalangan rakyat Pulau Pinang.

29. Justeru, Nerajaan Negeri telah memperuntukkan RM60 juta bagi dua (2) kompleks badminton baru di Lebuh Macallum lapan (8) gelanggang badminton dan satu (1) gelanggang bola keranjang dan Sungai Pinang (12 gelanggang badminton). Terdapat juga inisiatif swasta untuk membina Akademi Badminton Pulau Pinang yang bernilai RM22 juta dengan 16 gelanggang badminton berserta kemudahan-kemudahan lain di Persiaran Karpal Singh. Satu (1) kompleks badminton bernilai RM2.5 juta terdiri daripada enam (6) gelanggang akan dibina di Jalan Bukit Panchor, Seberang Perai Selatan.

30. Kita juga sedang membina satu (1) lagi kompleks sukan di Butterworth yang merangkumi kolam renang dan 30 gelanggang badminton dengan kos lebih kurang RM60 juta. Pulau Pinang akan mempunyai tambahan empat (4) kolam renang dan 82 gelanggang badminton dalam masa empat (4) tahun. Sepuluh (10) gelanggang badminton baru dan sebuah kolam renang bersaiz Olimpik telah pun siap dibina oleh MBPP di Relau dengan kos lebih RM20 juta.

31. Di Bukit Mertajam, Kerajaan Negeri mencadangkan satu stadium hoki baru bernilai 
RM7 juta yang akan dibiayai bersama dengan sektor swasta. Bagi sukan bola sepak, kita akan menaiktaraf stadium mini di Permatang Rawa dengan kos RM2.5 juta bagi manfaat rakyat tempatan.

32. Sebuah kompleks sukan baru akan disumbang oleh sektor swasta dengan kos sehingga RM100 juta yang merangkumi velodrom tertutup, kompleks kolam renang bersaiz Olimpik serta padang bola sepak terbuka di Pantai Jerejak, Bayan Baru.

33. Selain menjadikan kita aktif dan sihat, aktiviti sukan dapat merapatkan hubungan rakan-rakan dan komuniti tanpa mengira etnik, agama dan jantina. Kita berniat untuk menaiktaraf prasarana sukan komuniti seperti gelanggang bola keranjang dan futsal di Pulau Pinang.

34. Saya juga sedar bahawa e-sukan sangat popular dalam kalangan anak muda. E-sukan telah muncul sebagai sukan antarabangsa dengan pasukan profesional dan pemain dari setiap pelusuk dunia. Di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri akan memudahcara pembangunan sihat e-sukan dengan peruntukan sehingga RM1 juta untuk membantu pemain dan pasukan di bawah 25 tahun untuk melatih dan bersaing di dalam kejohanan antarabangsa eGames. Melalui Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), kerajaan akan membantu memadankan pasukan e-sukan di Pulau Pinang dengan penaja.

Pembangunan Kemahiran Modal Insan – RM75 Juta Untuk STEM & Bayaran RM300 Secara “One-Off” Kepada Pelajar Sekolah Vokasional Tempatan

35. Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Invest Penang akan terus membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui perkhidmatan nasihat dan latihan PKS atau dikenali sebagai SMART yang menggalakkan pelaburan sumber tempatan serta perkhidmatan perangkaian, padanan pasaran dan pengemaskinian teknologi, RM26 juta untuk SME Centre di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas yang menawarkan sewa bersubsidi dan SME Village bernilai RM67 juta yang menawarkan 150 ekar tanah untuk dibeli kepada PKS untuk membina kilang-kilang mereka

36. Penang Institute akan memulakan Penang Leadership Academy untuk membawa masuk kursus kepimpinan dan keusahawanan “cutting edge” daripada pakar-pakar di dalam industri di seluruh dunia. RM1 juta akan diperuntukkan untuk menyediakan program peningkatan pengurusan dan latihan semula bagi mempersiapkan pengurus-pengurus kita menghadapi masa depan digital. RM2 juta telah diperuntukkan setiap tahun untuk program German Meister yang menawarkan yuran tuisyen percuma untuk latihan vokasional German kepada pelajar-pelajar yang bekerja pada masa yang sama.

37. Untuk membuktikan penekanan kita terhadap modal insan sebagai sumber ekonomi utama, Kerajaan Negeri akan terus memberi bayaran sebanyak RM1,000 secara “one-off” kepada pelajar-pelajar Pulau Pinang yang menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan di Semenanjung Malaysia termasuk AIMST; Wawasan Open University; TAR College; dan TAR University College, dan RM1,200 kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran di Sabah dan Sarawak. Setakat ini 21,675 pelajar Pulau Pinang telah menikmatinya bersamaan dengan kos melebihi RM20 juta sejak 2008.

38. Sebagai lanjutan kepada komitmen kita terhadap peningkatan sumber manusia, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat untuk mengumumkan bayaran “one-off” sebanyak RM300 kepada pelajar Pulau Pinang tahun pertama yang diterima masuk ke sekolah vokasional tempatan di Malaysia bermula tahun 2018. Sejumlah RM2 juta akan diperuntukkan.

39. Kerajaan Negeri dan PDC telah memperuntukkan 13,000 kaki persegi ruang boleh sewa di Wisma Yeap Chor Ee bernilai RM23 juta di tengah-tengah bandaraya warisan George Town pada kadar sewaan bersubsidi untuk mewujudkan ruang kolaborasi yang fleksibel. Kadar penghunian untuk ruang co-working adalah 94%. Kita membayangkan ruang ini sebagai ruang sosial untuk membina komuniti sains yang rancak dan berfungsi sebagai pemangkin untuk berinteraksi, mendidik, menginspirasi dan menghubungkan orang ramai terutama pelajar dan anak muda di Pulau Pinang dalam usaha kreatif dan inovasi. Dengan memadankan warisan dan teknologi, bangunan-bangunan warisan perdana yang dibaikpulih ini menempatkan Kafe Sains Pulau Pinang untuk mengalakkan pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan cara yang menyeronokkan dan inovatif.

40. Bagaimana kita menyediakan generasi akan datang menghadapi cabaran dan peluang yang ditawarkan oleh Industri 4.0? Industri 4.0 disifatkan sebagai gabungan teknologi yang mengaburkan lingkungan fizikal, digital dan biologikal. Industri 4.0 adalah keadaan masa depan di mana dunia saling berhubung dan mesin berinteraksi dengan satu sama lain, di mana robot akan melaksana, mesin bekerjasama melalui “Internet of things“ (I-O-T) dan Big Data Analytics digunakan untuk membuat keputusan secara “real-time”.

41. Namun begitu, kita harus ingat walaupun “Data adalah Raja, Bakat adalah Segala”. Secara permulaan, Kerajan Negeri akan memperuntukkan RM2 juta untuk kelas pengekodan komputer (coding classes) di Pulau Pinang yang akan dikelolakan oleh Kluster Sains Pulau Pinang di Wisma Yeap Chor Yee. Dijangkakan sebanyak 118,000 pelajar akan menikmati manfaat ini. Pendidikan, terutamanya di dalam Sains dan Matematik, dan pengekodan adalah asas kepada Industri 4.0 yang rancak. Mari kita mempersiapkan anak-anak kita dengan awal supaya mereka akan bersedia menghadapi cabaran hari esok.

42. Sehingga kini, kita telah melaburkan RM62 juta di Pulau Pinang untuk pelbagai program STEM, termasuk Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Penang Tech Dome, Perpustakaan Digital Pulau Pinang, Kafe Sains Pulau Pinang dan Pesta Sains Antarabangsa Pulau Pinang. Penambahan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk kelas pengekodan dan pembinaan Perpustakaan Digital Pulau Pinang 2 yang baru sebanyak RM10.8 juta membawa jumlah pelaburan di dalam pendidikan STEM sebanyak RM75 juta. 

RM30 Juta untuk Daerah Seni Pulau Pinang dan RM4 Juta untuk KOTAK

43. Seni dan budaya membentuk dan melakar citra dan sifat sesebuah bandaraya sebagai bertaraf antarabangsa dan kosmopolitan. Bandaraya tanpa seni dan budaya adalah bandaraya tanpa jiwa, seperti sehelai kertas kosong. Saksikan kejayaan Festival George Town membawa perhatian kepada Pulau Pinang, terutamanya lukisan dinding di deretan rumah kedai warisan yang menarik pelawat berduyun-duyun ke dinding-dinding termasyhur seperti “Siblings riding a bicycle”. Sesungguhnya seni dan budaya mampu menjadi “game-changer” mengubah situasi ekonomi Pulau Pinang.

44. Kerajaan Negeri Pulau Pinang membayangkan untuk mewujudkan satu hab seni kontemporari sebagai pemangkin ekonomi kepada industri kreatif . Satu tapak pembangunan seluas 9.2 ekar berdekatan Gat Lebuh McCallum di George Town telah dikenalpasti sebagai ruang terbaik untuk menempatkan Daerah Seni Pulau Pinang, satu perbandaran kontena yang akan dibina dengan kos permulaan sebanyak RM30 juta.

45. Daerah Seni Pulau Pinang akan menjadi tuan rumah kepada koleksi galeri seni, muzium budaya, ruang pameran, studio seni dan muzik, sekolah seni dan bengkel seni yang terbesar di Malaysia. Untuk melengkapkan ruang-ruang seni tersebut, perkhidmatan sampingan seperti kedai buku seni, kedai barangan seni, kedai bingkai dan khidmat kurier juga akan disediakan. Dengan keestetikan moden dan urban, konsep bandaraya kontena 100,000 kaki persegi ini akan menjadi yang terbesar di dunia. Daerah Seni Pulau Pinang bukan sahaja satu projek untuk rakyat Pulau Pinang tetapi juga untuk dikongsi dengan semua rakyat Malaysia.

46. KOTAK, satu komuniti pusat beli belah jalanan seni dan budaya akan dibangunkan di Persiaran Karpal Singh, berdekatan George Town. Ianya terdiri daripada 58 unit kontena yang bakal mempromosikan seni, warisan dan budaya tempatan masyarakat Melayu. Ini adalah inisiatif swasta yang menelan belanja sekitar RM4 juta. Kerajaan negeri telah menyediakan sebidang tanah pada kadar nominal supaya lot-lot tersebut boleh disewakan pada kadar yang rendah, RM600 sebulan termasuk bil elektrik dan air.  

Dana Membaikpulih Warisan George Town Sebanyak RM3 Juta Dan Wang Benih Menaiktaraf Presint Little India Sebanyak RM1 Juta

47. Kerajaan Negeri akan membelanjakan RM1 juta wang benih untuk menaiktaraf prasarana awam di presint sekitar Little India di George Town. Satu pintu gerbang yang akan dibiayai oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang akan dibina. Dewan Perniagaan India Pulau Pinang telah pun bersetuju untuk menaja projek-projek yang perlu untuk mewujudkan satu pusat kebudayaan India dan aktiviti keagamaan sebagai satu wadah untuk mempamerkan warisan kepelbagaian Pulau Pinang.

48. Kerajaan Negeri menghasratkan kawasan Warisan Dunia UNESCO, George Town terus didiami oleh masyarakat setempat dan penghuni jangka-panjang demi mengekalkan keunikan dan ketertawanan yang menjadikan George Town teristimewa dan terulung. Wang benih sebanyak RM3 juta akan disediakan untuk mengadakan Geran Premis Warisan bagi membantu kos membaikpulih fizikal, memelihara dan memulihara premis warisan, dan pelaksanaan program insentif kepada pemilik premis yang menyewakan premis secara jangka-panjang pada kadar yang berpatutan.

49. RM5.62 juta telah dibelanjakan oleh MBPP untuk memulihkan enam (6) buah rumah kedai usang di Lebuh Kimberley yang akan disewakan kepada tukang mahir seni tradisi dan perniagaan tempatan. RM9.63 juta akan dibelanjakan untuk festival dan sambutan warisan demi menciptakan kesedaran yang mampu menggalakkan, memelihara dan melindungi usaha pemuliharaan warisan.

Hal-ehwal Agama Bukan Muslim

50. Peruntukan tahunan RM1.1 juta akan terus disalurkan kepada Lembaga Wakaf Hindu yang melaksanakan tugas berkanun untuk menyelia kuil-kuil Hindu dari pejabatnya dalam sebuah bangunan warisan indah yang disediakan oleh Kerajaan Negeri di Jalan Macalister. Sebuah restoran India beroperasi di situ, iaitu satu-satunya restoran India yang menjalankan perniagaan dalam bangunan kerajaan.

51. Sejak tahun 2008, RM30 juta telah diagihkan kepada kumpulan-kumpulan dan tempat-tempat beribadat bukan Muslim. Tanah juga disediakan untuk tokong, kuil dan gereja. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan 20 ekar tanah prime land untuk dijual di Ampang Jajar, Butterworth yang dipecahkan kepada 32 lot. Berikutan permintaan yang tinggi, 50 ekar tambahan telah disediakan untuk dijual di Batu Kawan.

52. Kerajaan Negeri akan terus memberi peruntukan kepada sekolah-sekolah vernakular dan sekolah persendirian Cina, sepertimana diamalkan sejak tahun 2008, di samping memperuntukkan tanah. Kerajaan Negeri juga sanggup memberi tanah kepada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan membina sekolah menengah Tamil pertama di negara ini. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM8.5 juta kepada sekolah Cina dan RM2 juta kepada sekolah Tamil.

RM60 Juta Program Penang Sihat Untuk Isi Rumah Berpendapatan Bawah RM5,000 Sebulan

53. Pulau Pinang mungkin sebuah negeri kecil dari segi keluasan tanah tetapi kita merupakan satu keluarga besar. Sebagai negeri berkebajikan, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk bantu membantu antara satu sama lain bagi memastikan golongan tidak bernasib baik tidak dilupai. Sejak mengambil alih pentadbiran Pulau Pinang pada tahun 2008, kerajaan negeri telah mengagihkan RM412 juta melalui bayaran tunai kepada rakyat Pulau Pinang sehingga tahun 2016, sebagai ganjaran atau dividen kerana memilih kerajaan yang bersih dan bebas rasuah. Inilah inti pati Belanjawan Marhaen.

54. Kesihatan itu khazanah (health is wealth) dan perbelanjaan kesihatan setiap isi rumah makin meningkat mutakhir ini. Dari tahun 2018, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Program Penang Sihat bagi isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah. Oleh kerana pendapatan penengah (median) di Pulau Pinang adalah RM5,409 seisi rumah, maka paras pendapatan RM5,000 yang ditetapkan ini, akan membantu golongan bekerja yang paling memerlukannya.

55. Setiap tahun, setiap isi rumah ini akan diberi kredit RM300 dalam kad I-Love-Penang untuk membayar yuran perkhidmatan pesakit luar berserta ubat, dengan had RM50 setiap lawatan. Individu yang tidak berkahwin dengan pendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan akan mendapat kredit RM150 setahun dengan had sama RM50 setiap lawatan.

56. Ini akan membantu golongan marhaen yang sakit agar mereka dapat melawat doktor dengan segera tanpa perlu risau mengenai caj mahal atau berkunjung ke klinik kerajaan yang terlalu jauh dari rumah.

57. Program yang bakal memanfaatkan 195,000 isi rumah ini dijangkakan menelan belanja sebanyak RM60 juta setahun. Ini merupakan tanggungjawab besar yang dipikul oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang meskipun kesihatan merupakan bidang kuasa Persekutuan semata-mata. Ini berbeza dengan Kerajaan Persekutuan yang memotong kos perbekalan barangan farmaseutikal dan kesihatan awam sebanyak RM19 juta daripada RM950 juta pada tahun 2017 kepada RM931 juta pada tahun 2018.

58. Program pemeriksaan mamogram percuma bagi wanita yang berusia 35 tahun ke atas akan diteruskan. Setakat ini, lebih 10,000 wanita telah menerima manfaat ini dan RM3.2 juta telah diperuntukkan bagi tahun depan. Dijangkakan 30,000 wanita akan menikmati pemeriksaan mamogram percuma menjelang tahun 2020.

RM15 Juta Bantuan Penjagaan Anak Untuk Ibu Berkerjaya

59. Mana-mana negara yang mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi secara lazimnya mempunyai kadar penyertaan buruh wanita sekurang-kurangnya 65%. Kadar penyertaan buruh wanita di Pulau Pinang hanyalah 58% dan kita ingin mengiktiraf sumbangan mereka serta memperkasa dan menggalakkan lebih lagi wanita untuk bekerja.

60. Dari tahun 2018, semua ibu berkerjaya sehingga usia 60 tahun dengan anak sehingga usia enam (6) tahun akan dibayar insentif tunai sebanyak RM300 setahun. Lebih kurang 50,000 isi rumah di Pulau Pinang yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang (1) anak kecil berpotensi untuk memanfaatkan program ini. Program ini akan menelan belanja sebanyak RM15 juta pada tahun 2018.

Meningkatkan Program Penghargaan Warga Emas Dan OKU Daripada RM100 Kepada RM130

61. Program Penghargaan Warga Emas sebanyak RM100 kepada mereka yang berusia lebih 60 tahun merupakan dividen anti-rasuah yang pertama diperkenalkan. Seramai 193,823 orang warga emas telah pun menerima bayaran ini setakat 1 November 2017. Hampir RM20 juta telah diagihkan. Setelah menerima permintaan daripada orang ramai, Kerajaan Negeri akan meningkatkan bayaran sebanyak 30% daripada RM100 kepada RM130, iaitu peningkatan sebanyak RM6 juta.

62. Begitu juga komuniti OKU yang diberi RM100 setahun, dengan 10,478 penerima. Sehingga kini lebih RM1.1 juta telah pun dibayar. Kerajaan Negeri turut meningkatkan pembayaran mereka sebanyak 30% daripada RM100 kepada RM130 dengan peningkatan sebanyak RM335,000.

Pengecualian Untuk Lesen Penjaja Serta Cukai Pintu Bagi Rumah Kos Rendah, Sederhana Rendah Dan Rumah Kampung

63. Sesungguhnya, makanan menyatukan semua rakyat Pulau Pinang dan penjaja biasa lah yang menjadikan makanan jalanan Pulau Pinang sebagai yang termasyhur di dunia. Pelaksanaan GST pada tahun 2015 telah mengakibatkan kenaikan harga barangan dan ini telah menjejaskan penjaja biasa, peniaga jalanan dan vendor pasar malam.

64. Bagi meringankan beban mereka semua, kerajaan telah memutuskan untuk memberi pengecualian lesen perniagaan secara “one-off” bagi tahun 2018. Kos kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan adalah lebih kurang RM0.5 juta dan seramai 29,000 penjaja dan peniaga kecil akan menerima manfaat pengecualian ini pada tahun 2018. Bagi setiap penjaja, amaun mungkin kecil tetapi ia menghantar mesej yang penting kepada semua – bahawa kita mengambil berat tentang anda.

65. Tambahan kepada itu, Kerajaan Negeri akan memberi 2,000 kanopi khemah “I-Love-Penang” kepada penjaja yang berniaga secara terdedah (open-air). Ini membabitkan kos sebanyak RM600,000.

66. Kerajaan Negeri akan terus memberi pengecualian penuh bagi cukai pintu rumah kos rendah, sederhana rendah dan rumah kampung. Ini akan membantu golongan berpendapatan rendah jimat kos membayar RM8.9 juta kepada MBPP dan RM6 juta kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Ancaman Denggi – Crush Aedes Totally (CAT)

67. Denggi merupakan ancaman kepada kesihatan dan keselamatan rakyat Pulau Pinang. Dalam tempoh sepuluh (10) bulan pertama tahun 2017, telah berlaku 13 kematian akibat denggi di Pulau Pinang. Ini adalah 12 orang lebih daripada jumlah kematian bagi keseluruhan tahun 2016.

68. Kesukaran untuk menurunkan bilangan kematian ini memerlukan pemikiran semula dan pendekatan baru dalam perang melawan denggi. Dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence), Kerajaan Negeri akan memakai aplikasi syarikat Silikon Valley yang mampu meramalkan kawasan hotspot denggi sebelum ianya berlaku sehingga tiga (3) bulan sebelumnya.

69. Dengan menamakan program ini CAT – Crush Aedes Totally, tindakan pencegahan yang menelan belanja RM420,000 setahun ini diharapkan dapat menyelamatkan nyawa. Pulau Pinang adalah negeri pertama di Malaysia untuk menguji aplikasi yang diluluskan oleh United Nations World Health Organisation ini dan jika kadar kematian dapat dikurangkan, kita akan berjaya menjadikan Pulau Pinang lebih selamat daripada denggi. Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM100,000 kepada Kementerian Kesihatan untuk menggalakkan penyertaan komuniti dalam program bersama COMBI bagi menghapuskan kawasan pembiakbakaan.

Tebatan Banjir

70. Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM531 juta bagi melaksanakan projek tebatan banjir sejak tahun 2008. Ini tidak termasuk RM220 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2017 yang merangkumi RM150 juta oleh Kerajaan Negeri, RM50 juta oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk memasang paip dari Empangan Air Itam ke Empangan Teluk Bahang serta RM20 juta oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan untuk projek tebatan banjir kecil-kecilan. Terdapat keperluan untuk menggesa Kerajaan Persekutuan untuk segera menjalankan projek tebatan banjir Sungai Pinang, iaitu punca utama banjir kilat di bahagian pulau.

71. Pada 15 September 2017, Pulau Pinang dilanda hujan yang paling lebat dalam sejarah apabila menjadi mangsa tempias Taufan Doksuri. Empangan Air Itam telah mencatatkan 270mm hujan dalam satu malam sahaja, iaitu bersamaan dengan taburan hujan bagi sebulan. Malah, paras air Empangan Air Itam telah meningkat daripada 74% kepada 100% penuh dalam hanya satu malam. Sekiranya projek tebatan banjir Sungai Pinang sudah disiapkan pun ia tidak akan mengelak daripada banjir, hanya mengurangkannya. Oleh kerana itu, kerajaan Persekutuan perlu bertindak dengan segera untuk memulakan kerja di Sungai Pinang.

72. Sebagai tindak balas segera terhadap banjir paling teruk dalam sejarah, RM2.5 juta telah dibelanjakan untuk menjalankan 33 projek tebatan banjir tergempar. Bagi mengurangkan beban kerugian yang dialami banjir yang begitu teruk sekali, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memutuskan untuk memberi sumbangan RM400 sekeluarga dan telah memperuntukkan RM3 juta bagi tujuan ini.

73. Kedua-dua MBPP dan MPSP akan membelanjakan RM20 juta untuk pelbagai projek banjir.

Perumahan Untuk Semua

74. Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui PDC komited untuk membina sebanyak 27,230 unit perumahan mampu milik di 17 projek di kesemua lima (5) daerah Pulau Pinang. Kita bangga bahawa 24,227 unit perumahan kos rendah dan sederhana rendah telah dibina oleh PDC dan sektor swasta dalam tempoh 10 tahun dari 2008 hingga 2017. Bagi tempoh yang sama panjang sebelum 2008, hanya 5,145 unit perumahan kos rendah dan sederhana rendah telah dibina, ataupun hampir (lima) 5 kali ganda kurang berbanding pencapaian kerajaan sekarang.

75. Projek perumahan mampu milik Bandar Cassia akan disiapkan pada akhir tahun ini. 39 rumah kampung akan dibina bagi penduduk Kampung Tok Suboh, Bukit Mertajam manakala 41 rumah kampung akan dibina di Kampung Kepala Gajah, Seberang Perai Selatan masing-masing dengan kos RM4.5 juta di setiap kawasan. Pada masa yang sama, satu projek kos rendah 3-tingkat merangkumi 36 unit akan dibina di Taman Murai Jaya, Seberang Perai Selatan dengan kos RM4.6 juta.

76. Kerajaan Negeri tidak boleh melaksanakan lebih banyak projek perumahan mampu milik selagi Bank Negara tidak melonggarkan garispanduan pinjaman yang terlalu keras dan tidak berpatutan. Banyak unit perumahan mampu milik dan perumahan awam di Pulau Pinang kekal kosong, bukan kerana tiada pembeli tetapi kerana pembeli tidak berjaya mendapat pinjaman perumahan. Bank Negara harus memberi keutamaan kepada pembeli rumah pertama bagi rumah-rumah bawah RM300,000.

Kelestarian Alam Sekitar – RM10 Juta Untuk Perlindungan Bukit

77. Kerajaan Negeri telah bertindak secara pro-aktif terhadap bencana alam dan semasa mengendali krisis. Kita segera turun padang dan memberi khidmat bantuan, serta membaiki kerosakan yang berlaku akibat banjir dan tanah runtuh. Walaupun langkah-langkah pencegahan telah pun diambil oleh Kerajaan Negeri, perubahan iklim telah mengakibatkan peralihan paradigma sehingga infrastruktur sedia ada menjadi lapuk dan tidak berguna dalam menghadapi cabaran-cabaran baru.

78. Selain pengurusan krisis, Kerajaan Negeri ingin pro-aktif dalam menangani isu alam sekitar secara bersifat pencegahan. RM10 juta akan diperuntukkan bagi perlindungan lereng bukit bersama dengan kajian perubahan iklim, khususnya pertanian haram. Berdasarkan pemerhatian yang dibuat, tanah runtuh kurang berlaku di kawasan yang mempunyai pembangunan berbanding kawasan yang tidak dimajukan. Jelas, kerja perlindungan tanah dilakukan semasa pemajuan namun ini tidak berlaku dalam kes pertanian haram.

79. Kemalangan pada 21 Oktober telah diakibatkan oleh tanah runtuh di tapak pembinaan. Adalah disyaki berlakunya kecuaian profesional. Kemalangan tapak kerja ini telah meragut nyawa seorang (1) penyelia tapak yang merupakan rakyat Malaysia dan sepuluh (10) pekerja asing. Satu Suruhanjaya Siasatan Negeri telah ditubuhkan untuk menentukan dan menjawab semua persoalan yang timbul dalam format forum awam. Pendengaran Suruhanjaya adalah terbuka kepada orang ramai. Sementara itu, projek tersebut telah dibekukan dan perundingnya disenaraihitamkan sehingga keputusan Suruhanjaya diumumkan. Hasil laporan akan didedahkan secara terbuka. Biarlah Suruhanjaya menentukan sama ada projek tersebut dibina atas lereng bukit atau tanah rata, ataupun sama ada kuari merupakan punca tanah runtuh.
 
Kerja Awam, Jalan Raya & Pasar

80. Penyelesaian kepada kesesakan lalulintas di Pulau Pinang adalah dengan mewujudkan rangkaian pengangkutan awam yang merangkumi LRT, bas, teksi air serta feri. Sementara kita menunggu kelulusan Kerajaan Persekutuan, kita akan terus menderita. Bagi kerja jalan raya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperuntukkan sebanyak RM61.2 juta pada tahun 2018 berbandng RM42.3 juta pada tahun 2017.

81. Dua (2) pasar baru akan dibina semula, iaitu pasar lama Bukit Mertajam dengan kos RM20 juta dan pasar Seberang Jaya dengan kos RM13 juta.

82. Think City sedang menjalankan projek pemulihan menarik yang bernilai RM1 juta di Fort Cornwallis bagi mengembalikan parit air selebar 1 meter di sekeliling kubu. Besar harapan parit air tersebut akan disiapkan menjelang sambutan ulangtahun ke-10 pemahatan George Town sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO pada 7 Julai 2018.
 
Memartabatkan Islam

83. Kerajaan Negeri telah meningkatkan peruntukan hal-ehwal agama Islam daripada RM50 juta pada tahun 2017 kepada RM53 juta pada tahun 2018. Peruntukan untuk sekolah agama berjumlah RM55.3 juta sejak tahun 2008. Ini tidak termasuk tanah yang diambil alih atau yang diberi kepada sekolah agama. Sekolah agama tidak hanya menerima RM1.75 juta setiap tahun, tetapi jumlah yang lebih besar, di bawah portfolio Ahli EXCO bagi hal-ehwal agama Islam. Malahan, RM1.75 juta ini sebenarnya adalah peruntukan tambahan. Malangnya, sesetengah pihak dengan motif jahat sengaja mengabaikan jumlah besar yang diperuntukkan dan hanya menggunakan RM1.75 juta bagi menabur fitnah bahawa Ketua Menteri adalah anti-Islam.

84. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM457 juta kepada hal-ehwal agama sejak 2008, iaitu peningkatan 84% berbanding RM249 juta bagi tempoh masa yang sama panjang sebelum 2008. Hakikat ini telah mendorong Pengerusi MCA Pulau Pinang untuk melabelkan saya sebagai anti-Cina kerana mendapat undi Cina tetapi hanya membantu orang Melayu dan Islam. Namun pada masa yang sama, pemimpin pro-UMNO melabelkan saya sebagai anti-Islam. Jadi, yang manakah betul?

85. Saya juga dituduh anti-Cina kerana menyokong pembangunan industri halal di Pulau Pinang yang telah berkembang daripada sifar pada tahun 2008 kepada RM428 juta yang dilaburkan di Hab Halal Pulau Pinang hari ini. Tahniah saya ucapkan kepada ahli EXCO untuk hal-ehwal agama Islam YB Dato’ Abdul Malik bin Abul Kassim atas kejayaanmu! Biar saya nyatakan di sini bahawa kerajaan negeri Pakatan Harapan bukanlah anti-Cina atau anti-Melayu atau anti-India. Kita hanya anti-rasuah, anti-1MDB dan anti-GST.

Penjawat Awam Tulang Belakang Kerajaan Negeri

86. Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempunyai pasukan penjawat awam yang komited, profesional dan berintegriti di bawah kepimpinan YB Dato’ Seri Setiausaha Kerajaan Negeri.

87. Selain itu, kita juga turut menerima Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti Tahun 2016 yang telah diaudit pada tahun lalu oleh Jabatan Audit Negara dengan pengiktirafan lima (5) bintang, Perakuan Sijil Amalan 5S daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (PMC) untuk tahun yang ke-6 berturut-turut. Ucapan tahniah juga turut ditujukan kepada Jabatan/Agensi Negeri Pulau Pinang seperti Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah, Jabatan Kewangan Negeri, Pejabat Daerah Seberang Perai Utara, PDC, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Majlis Sukan Negeri, Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Mufti di atas Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti Tahun 2016 yang telah diaudit dengan pengiktirafan lima (5) dan empat (4) bintang. 80% Jabatan/Agensi Negeri telah memperoleh penarafan lima bintang dan menjadikan Pulau Pinang antara negeri terbaik di seluruh Malaysia bagi pencapaian Indeks Akauntabiliti.

88. Tidak dilupakan juga tahniah diucapkan kepada MBPP di atas anugerah lima (5) Bintang melalui Penilaian Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Tahniah juga kepada MPSP kerana telah menjadi organisasi pertama di Malaysia yang telah disahkan oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd. untuk menerima Persijilan Sistem Pengurusan Anti-Suapan/Sogokan (Anti-Bribery) iaitu ISO 37001:2016 (ABMS).

Bonus Tunai RM2,000 Kepada Penjawat Awam Pulau Pinang Dibayar Sebelum Akhir Tahun 2017

89. Kerajaan Negeri senantiasa menghargai perkhidmatan yang diberi oleh penjawat awam. Bonus Hari Raya tahun ini adalah 0.75 bulan. Kerajaan Negeri telah memutuskan bahawa bonus akhir tahun adalah RM2,000 tunai kepada mereka yang mempunyai rekod disiplin yang baik dan akan dibayar sebelum akhir tahun 2017. Mereka yang tidak mempunyai rekod disiplin yang baik sepertimana ditentukan oleh 
YB Dato’ Seri Setiausaha Kerajaan Negeri akan dibayar RM1,000 tunai. Bonus RM2,000 tunai ini juga adalah berkuatkuasa terhadap Pihak Berkuasa Tempatan; MBPP dan MPSP, serta perbadanan dan agensi Kerajaan Negeri.

90. Sekolah agama dan guru KAFA dan guru sekolah persendirian Cina juga akan menerima bonus tunai sebanyak RM300, sementara mereka di sekolah tahfiz, sekolah pondok dan tadika Islam (TADIS) akan menerima saguhati RM200 tunai. Mereka semua telah menerima amaun yang sama semasa bonus Hari Raya.

91. Kerajaan Negeri ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan keselamatan, Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), angkatan tentera, Jabatan Bomba dan semua anggota Kerajaan Negeri dan Persekutuan kerana membantu memastikan keamanan, ketenteraman awam dan stabiliti di Pulau Pinang.

Pengurusan Perbelanjaan Mengurus Dan Pembangunan

92. Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 adalah untuk mendapat kuasa berkanun bagi membolehkan Kerajaan Negeri membuat Perbelanjaan Bekalan sebanyak RM1,213,951,019 (Ringgit Malaysia: Satu Bilion, Dua Ratus Tiga Belas Juta, Sembilan Ratus Lima Puluh Satu Ribu, Sembilan Belas) untuk 19 jabatan bagi tahun 2018, sepertimana perincian di Risalah Bil. 4 Tahun 2017. Selain daripada itu, peruntukan sejumlah RM38,353,840 (Ringgit Malaysia: Tiga Puluh Lapan Juta, Tiga Ratus Lima Puluh Tiga Ribu, Lapan Ratus Empat Puluh) diperlukan untuk Perbelanjaan Tanggungan tiga (3) jabatan mengikut undang-undang di bawah Kumpulan Wang Disatukan. Oleh itu, jumlah keseluruhan Perbelanjaan Mengurus yang dianggarkan pada tahun 2018 ialah RM1,252,304,859 (Ringgit Malaysia: Satu Bilion, Dua Ratus Lima Puluh Dua Juta, Tiga Ratus Empat Ribu, Lapan Ratus Lima Puluh Sembilan).

93. Bagi tahun 2018, Kerajaan Negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM503,764,820 (Ringgit Malaysia: Lima Ratus Tiga Juta, Tujuh Ratus Enam Puluh Empat Ribu, Lapan Ratus Dua Puluh) iaitu jangkaan jumlah hasil yang kurang berbanding dengan tahun semasa 2017. Ini adalah kerana sumber hasil Kerajaan Negeri yang terhad serta tiada punca hasil baharu, kutipan hasil daripada faedah pelaburan yang dijangka menurun disebabkan oleh penurunan bayaran dividen dan kadar faedah simpanan tetap, yang seterusnya menyumbang kepada anggaran hasil Negeri yang kurang untuk tahun 2018.

94. Jangkaan hasil Negeri bagi tahun 2018 tidak meningkat, namun Kerajaan Negeri tidak mempunyai pilihan untuk mengekalkan perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan Negeri supaya masih sama dengan anggaran tahun 2017. Mengambil kira kepada keperluan untuk menggiatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan dan menyediakan kemudahan pinjaman kepada badan-badan berkanun negeri, bagi merangsang serta menjayakan transformasi ekonomi negeri dengan matlamat keseluruhan mengutamakan kesejahteraan rakyat, maka pembentangan bajet defisit untuk tahun 2018 tidak dapat dielakkan.

95. Anggaran defisit untuk Belanjawan 2018 ialah RM748.5 juta berbanding dengan anggaran defisit 2017 sebanyak RM667.1 juta. Namun begitu, lebihan belanjawan 2017 dijangka dapat dicatatkan tahun ini. Sama dengan anggaran belanjawan 2016 yang juga berdefisit RM292.1 juta tetapi akhirnya dapat mencatatkan lebihan belanjawan sebenar sebanyak RM89.2 juta pada akhir 2016.

96. Di bawah peruntukan Mengurus bagi tahun 2018 yang berjumlah RM1,252.30 juta, sebanyak RM176.96 juta diperuntukkan untuk Emolumen, sebanyak RM158.54 juta bagi perbelanjaan Perkhidmatan dan Bekalan, sejumlah RM8.60 juta untuk perolehan Aset dan RM6.19 juta disediakan untuk perbelanjan-perbelanjaan lain (termasuk pulangan balik hasil dan hapus kira). Seterusnya, perbelanjaan Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap masih kekal sebagai komponen terbesar Perbelanjaan Mengurus Tahun 2018 iaitu sebanyak RM902.01 juta atau 72 peratus daripada Belanja Mengurus tersebut. Jumlah ini mengambil kira caruman sejumlah RM600 juta kepada Kumpulan Wang Pembangunan dan selebihnya adalah untuk bantuan-bantuan sosial rakyat yang Kerajaan Negeri terus komited untuk laksanakan sebanyak RM130 juta dan pemberian kepada badan-badan berkanun negeri. Pertambahan peruntukan bagi objek-objek am yang lain adalah bagi menampung keperluan perbelanjaan mengurus yang meningkat setiap tahun iaitu kenaikan gaji dan pelarasan emolumen, kenaikan kos bekalan dan utiliti, kenaikan kos penyelenggaraan dan pembaikan, kenaan bayaran GST untuk perkhidmatan dan keperluan menggantikan aset serta kenderaan yang tidak ekonomik untuk dibaiki.

97. Sekiranya pindahan RM600 juta daripada Akaun Hasil Disatukan kepada Kumpulan Wang Pembangunan tersebut dikecualikan sebagai 'perbelanjaan', maka anggaran perbelanjaan Mengurus Kerajaan Negeri bagi tahun 2018 ialah sebanyak RM652.30 juta dan nilai defisit dapat dikurangkan kepada RM148.54 juta.

98. Cadangan bajet Pembangunan Negeri bagi tahun 2018 pula berjumlah RM684,974,100 (Ringgit Malaysia: Enam Ratus Lapan Puluh Empat Juta, Sembilan Ratus Tujuh Puluh Empat Ribu, Seratus) yang merupakan penurunan sebanyak RM202.46 juta atau 22.81% jika dibandingkan dengan jumlah Bajet Pembangunan sebanyak RM887.44 juta pada tahun 2017. Penurunan ini adalah disebabkan oleh pengurangan kemudahan pinjaman yang disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada Badan Berkanun Negeri iaitu sebanyak RM350 juta bagi tahun 2018 berbanding RM639 juta yang disediakan pada tahun 2017. Penurunan Bajet Pembangunan ini tidak menjejaskan projek pembangunan secara langsung. Sejumlah RM50 juta akan disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada PBAPP untuk membiayai Kos Penggantian Aset dan Menaiktaraf Loji Rawatan dan Takungan Air, dan RM300 juta kepada PDC untuk tujuan pembiayaan kos pengambilan tanah dan pembangunan infrastruktur bagi menggalakkan pembangunan yang seimbang terutamanya di kawasan Seberang Perai. Kemudahan pinjaman yang disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada kedua-dua PBAPP dan PDC juga tidak menimbulkan risiko kewangan, memandangkan Kerajaan Negeri akan mula mendapat pulangan termasuk keuntungan pinjaman pada tahun 2018 dengan jangkaan keuntungan melebihi RM120 juta dalam tempoh lapan (8) tahun seterusnya.

99. Peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi projek-projek pembangunan secara langsung bagi tahun 2018 adalah sebanyak RM334.97 juta iaitu peningkatan sebanyak 34.83% berbanding peruntukan RM248.43 juta yang disediakan pada tahun 2017.

100. Sekiranya perbelanjaan pembangunan sebanyak RM684.97 juta dibandingkan dengan perbelanjaan mengurus sebanyak RM652.30 juta daripada jumlah keseluruhan Belanjawan 2018 sebanyak RM1,337.27 juta maka perbelanjaan pembangunan merupakan 51.22% daripada jumlah besar Belanjawan manakala perbelanjaan mengurus adalah 48.78%. Ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan yang memberi impak positif kepada rakyat Pulau Pinang dan akan dilaksanakan secara berterusan.

101. Mengambil kira bajet keseluruhan (Mengurus dan Pembangunan) yang dicadangkan bagi tahun 2018 adalah sebanyak RM1,337.27 juta dan Anggaran Hasil tahun 2018 pula sejumlah RM503.76 juta, maka ianya menyumbang kepada bajet defisit sebanyak RM748.54 juta. Bajet defisit yang ketara ini tidak berpunca daripada perbelanjaan Mengurus langsung sebanyak RM652.30 juta tetapi disebabkan oleh pindahan RM600 juta daripada Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Pembangunan untuk pembiayaan projek-projek Pembangunan yang dirancang berjumlah RM684.97 juta. Anggaran defisit atau kekurangan RM748.54 juta yang dijangka dalam Bajet 2018 akan dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri. Kerajaan Negeri menganggarkan defisit RM292.13 juta pada tahun 2016 tetapi telah mencatatkan lebihan RM89.22 juta pada akhir tahun kewangan 2016 dan seterusnya menyumbang kepada rizab terkumpul berjumlah RM1,041.75 juta.

102. Sememangnya jangkaan defisit bagi tahun 2018 melonjak naik dengan mendadak sekali, walau bagaimanapun, ianya tidak akan menjejaskan perbelanjaan Mengurus Kerajaan Negeri dan semua komitmen pembiayaan bagi pelaksanaan projek-projek pembangunan, bantuan-bantuan sosial rakyat, pemberian serta program-program Agenda Ekonomi Saksama akan diteruskan seperti mana dijanjikan.

103. Dari segi perincian peruntukan Pembangunan yang disediakan untuk sembilan (9) jabatan seperti di Risalah Bil. 4 Tahun 2017, Maksud Pembangunan P01 Pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan disediakan peruntukan yang paling tinggi iaitu RM420.95 juta untuk tahun 2018. Peruntukan yang besar ini melibatkan peruntukan kemudahan pinjaman untuk Badan Berkanun Negeri berjumlah RM350 juta dan peruntukan Cara Langsung sebanyak RM70.95 juta. Peruntukan pembangunan yang disediakan bagi Jabatan Kerja Raya, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Jabatan Taman Botani dan Jabatan Kewangan Negeri bagi tahun 2018 adalah meningkat jika dibandingkan dengan tahun 2017 manakala peruntukan Pembangunan yang disediakan bagi jabatan-jabatan lain adalah hampir sama dengan peruntukan tahun 2017.

Penang 2030 – Pengubah Kehidupan Dan “Game Changer” Ekonomi

104. Ini merupakan Belanjawan Pulau Pinang ke-10 dibentangkan oleh Kerajaan Pakatan selepas menang kuasa pada Mac 2008. Kita berbangga kerana diberi mandat oleh rakyat Pulau Pinang untuk mentadbir negeri yang indah permai ini bagi pihak rakyat sejak sepuluh (10) tahun yang lalu.

105. Melihat ke hadapan, kita bertanggungjawab untuk mewariskan Pulau Pinang yang lebih baik dan kukuh kepada generasi akan datang. Namun untuk berjaya, kita harus mencari “game changers”.

106. Kita harus tumpu kepada pembangunan lestari yang berteraskan lima (5) tunjang iaitu, ekonomi, politik, sosial, budaya dan alam sekitar.

107. Ekonomi kita berpaksikan asas yang padu dan akan terus rancak dan dinamik di tahun-tahun yang akan datang. Pulau Pinang adalah tuan rumah kepada dua (2) pengeksport utama di Malaysia. Western Digital mengeksport RM20 bilion setiap tahun di tangga ke-2, merangkumi 2.3% jumlah eksport Malaysia. Pengeksport terbesar pula adalah Broadcom, sebanyak RM70 billion di dalam bentuk produk elektronik berteknologi tinggi, iaitu sebanyak 8% daripada jumlah produk Malaysia.

108. Dalam hal pembangunan sosial, penekanan utama ditumpukan kepada pembangunan modal insan. Kita telah mewujudkan biasiswa Penang Future Foundation dengan dana sebanyak RM20 juta sejak tahun 2015. Sejak itu, kedua-dua Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang juga menyediakan program biasiswa mereka sendiri dengan menyasarkan pelajar yang memerlukan bantuan untuk mencapai kejayaan akademik.

109. Kita juga telah mengembangkan badan pemikir negeri, Penang Institute sejak tiga (3) tahun yang lalu dengan melantik lebih ramai pakar dan bakat serta menaiktaraf bangunan dan prasarana. Tugas Penang Institute adalah sebagai wadah ilmu yang beraspirasi menjadi pengaruh besar dalam penggubalan dasar berdasarkan bukti di Pulau Pinang dan Malaysia.

110. Festival George Town yang berlangsung selama sebulan, Festival Kesusasteraan George Town, In-Between Arts Festival dan Festival Jazz Pulau Pinang adalah antara acara yang bukan saja mengukuhkan George Town sebagai tapak Warisan UNESCO tetapi juga sebagai pusat budaya yang harus dikunjungi di rantau Asia. Kita harap lebih banyak festival dan aktiviti sebegini diadakan bukan sahaja di George Town tetapi juga di seluruh pelusuk negeri. Ini akan menaikkan lagi nama Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan utama.

111. Akhir sekali, dari segi alam sekitar, kita sedang mengharungi cabaran dan kesan perubahan iklim. Kita juga sedang menyaksikan perubahan iklim yang sangat ketara saban tahun. Pada tahun 2016 kita mengalami musim kemarau manakala pada September 2017 kita ditimpa taburan hujan terbanyak dalam sejarah. Keadaan cuaca yang ekstrim ini mencabar andaian teras dalam cara kita mencorak dan mengendali bandaraya kita. Secara fakta, bandaraya-bandaraya besar di seluruh dunia sedang menghadapi cabaran sama yang diakibatkan oleh perubahan iklim. Persoalannya, patutkah kita berbelanja berbilion-bilion untuk membina tembok laut? Adakah kita perlu memindahkan kampung-kampung jauh dari kawasan pantai? Haruskah kita meluaskan longkang monsoon untuk menghadapi banjir ekstrim 100 tahun? Dan, adakah kita mempunyai dana yang cukup? Ini adalah persoalan yang dihadapi oleh semua bandaraya besar di serata dunia.

112. Wawasan kita adalah untuk mewariskan Pulau Pinang yang lebih baik, kukuh dan lestari kepada generasi akan datang. Kita juga perlu meningkatkan daya ketahanan terhadap iklim. Walaupun kita tidak boleh meramal atau mengelak taburan hujan 100 tahun sekiranya ia datang lagi seperti pada September 2017 – kita boleh dan harus mempunyai rancangan untuk mengadaptasi dan bertindakbalas kepada perubahan iklim.

113. Pada tahun 2016, kita telah mulakan Pelan Induk Perparitan seluruh negeri, daerah demi daerah untuk menaksir risiko banjir dan menggunakannya sebagai asas untuk penambahbaikan sistem perparitan. Sehingga kini kita telah menyiapkan Pelan Induk Perparitan untuk Seberang Perai Timur, Seberang Perai Selatan dan Daerah Barat Daya dengan kos RM1.45 juta. Bagi Seberang Perai Utara dan Daerah Timur Laut, kajian sedang dilakukan. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan tambahan RM1.7 juta untuk tujuan ini.

114. Di masa depan, kita harap dapat memulakan satu Pelan Adaptasi Perubahan Iklim yang komprehensif untuk Pulau Pinang dan Seberang Perai supaya komuniti lebih tahu dan bersedia untuk menghadapi kesan perubahan iklim. Untuk menambahbaik sistem tindak balas kecemasan/bencana alam sedia ada, kita akan mengadakan sistem Penang Alert dan akan membuat kajian untuk projek pemeliharaan lereng bukit dan mekanisme yang menelan belanja sebanyak RM10 juta.

Kesimpulan

115. Belanjawan 2018 akan mempunyai anggaran defisit sebanyak RM748.5 juta berbanding defisit RM667 juta dalam belanjawan tahun 2017. Namun begitu, Pulau Pinang mempunyai rekod unik apabila membentangkan anggaran belanjawan defisit setiap tahun tetapi tetap merekodkan lebihan setiap tahun, melalui penjimatan menerusi sistem tender terbuka dan pentabiran CAT yang efisien berpaksikan prinsip cekap, akauntabel dan telus.

116. Besar kemungkinan ini merupakan Belanjawan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-14. Saya mengucapkan selamat maju jaya dalam pilihan raya akan datang. Saya masih ingat lagi belanjawan pertama saya yang merupakan belanjawan “zero-based”, di mana tumpuan adalah untuk memerangi dan mencegah rasuah dan pembaziran. Pada tahun-tahun kemudiannya, kita menumpukan perhatian kepada prestasi dan hasil atau “outcome-based”. Akhirnya, apabila situasi kewangan kita sudah stabil, maka kita membawa Pulau Pinang ke tahap seterusnya sebagai negeri keusahawanan dan berkebajikan.

117. Belanjawan Marhaen ini adalah lanjutan kepada penekanan ke atas rakyat kebanyakan. Dari bayaran tahunan RM600 kepada pemandu teksi dan bas sekolah kepada penarik beca yang menerima RM1,200 daripada kerajaan, penekanan Kerajaan Negeri Pakatan adalah untuk meluaskan jaringan kebajikan kepada semua orang seperti ibu tunggal; ibu yang tidak bekerja; pelajar universiti; murid sekolah rendah dan menengah; dan kini pelajar sekolah vokasional.

118. Malah nelayan yang dilihat sebagai anti-kerajaan kerana penentangan mereka terhadap projek penambakan laut yang diperlukan untuk membiayai projek pengangkutan awam dan LRT, telah melihat faedah mereka ditingkatkan. Dahulunya mereka menerima pukat, tetapi sekarang mendapat RM400 setahun. Semua bayaran tunai ini diagihkan kepada semua, termasuk ahli BN daripada UMNO, MCA dan MIC.

119. Ahli BN boleh sewa dewan kerajaan atau memasuki mana-mana jabatan Kerajaan Negeri tanpa masalah, walaupun saya dilarang daripada memasuki sekolah rendah Cina. ADUN BN boleh mendapat peruntukan daripada Kerajaan Negeri sebanyak RM40,000 setahun, namun ditolak, manakala Ahli Parlimen pembangkang tidak diberikan peruntukan kawasan.

120. Kita tidak membalas dendam terhadap BN kerana kita menganggap mereka sebagai rakyat Pulau Pinang. Kita mempunyai tanggungjawab moral dan tugas awam untuk menjaga semua termasuk lawan politik. Kita memanjangkan tangan kita kepada anda kerana kita melihat diri sebagai kerajaan daripada rakyat, untuk rakyat dan oleh rakyat.

121. Inilah sebabnya Kerajaan Negeri Pakatan Harapan adalah harapan bagi rakyat marhaen. Kita berkongsi semua ketakutan, impian dan harapan. Kita mempertahankan anda kerana kita adalah anda. Kita semua Harapan! YB Dato' Yang Di-Pertua, saya mohon untuk mencadang.
 
Sekian terima kasih. Nandri Vanakam.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang