MAJLIS SAMBUTAN PERAYAAN DEEPAVALI PDC 2017

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN PERAYAAN DEEPAVALI PDC 2017

PADA 31 OKTOBER 2017, 12.30 TENGAHARI

DI ATRIUM, PDC

 

Salam Sejahtera dan Salam bersih,

Pertama sekali saya berasa amat berbesar hati kerana kita dapat bersama-sama berkumpul bagi meraikan Majlis Sambutan Hari Perayaan Deepavali 2017 walaupun Perayaan Hari Deepavali telah berlalu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua kakitangan PDC yang beragama Hindu.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada PDC dan investPenang di atas  komitmen kerja yang baik dan kejayaan dalam menarik pelaburan sebanyak RM7.7 billion bagi 6 bulan pertama tahun 2017, berbanding dengan keseluruhan tahun 2016 sebanyak RM4.3 billion. Ini adalah pelaburan tertinggi yang diperolehi di Malaysia bagi tempoh tersebut di mana Pulau Pinang mendahului negeri-negeri lain di Malaysia seperti Melaka dengan jumlah pelaburan sebanyak RM2.9 billion, Selangor RM1.7 billion dan Johor RM1.4 billion.

Sehubungan ini, dengan usaha PDC dalam menyediakan infrastruktur yang bertaraf antarabangsa, Taman Perindustrian Batu Kawan telah berkembang pesat dengan kehadiran syarikat- syarikat MNC seperti Broadcom, Boston Scientific Medical Devices Sdn Bhd, Flex LTD Systems (M) Sdn Bhd dan yang terbaru pelaburan sebanyak RM1 billion oleh Hotayi Sdn Bhd.

PDC baru-baru ini telah melancarkan enam projek-projek infrastruktur di Seberang untuk menerajui pertumbuhan dan pembangunan di Seberang Perai sebanyak RM 121.08 juta.

Selain projek –projek infrastruktur, PDC juga telah melancarkan projek RIBI sebanyak 50 ekar untuk dijual di Batu Kawan untuk memastikan tanah yang mencukupi untuk RIBI disediakan untuk yang bukan beragama Islam di kawasan pembangunan Seberang Perai. Ini berikutan projek pertama di Ampang Jajar sebanyak 20 ekar yang tidak cukup untuk memenuhi permintaan.

Saya juga berbangga ingin memaklumkan bahawa fasa pertama Perumahan Mampu Milik PDC di Bandar Cassia akan disiapkan dengan CCC tahun hadapan.

Selain itu juga 2 lagi projek perumahan mampu milik PDC yang telah dirasmikan oleh saya baru-baru ini ialah perumahan Mampu Milik Dua Residensi, Teluk Kumbar, dan Jiran Residensi,  Kampung Jawa, Butterworth.

Akhir kata, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak Jawatankuasa Sambutan Hari Deepavali 2017 yang telah menganjurkan perayaan ini dengan jayanya.

Saya dengan ini merasmikan Majlis Sambutan Hari Deepavali PDC 2017.

Sekian, terima kasih.

Nandri, Vanakkam

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang