MAJLIS IKRAR BEBAS RASUAH BADAN BERKANUN DAN AGENSI KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS IKRAR BEBAS RASUAH BADAN BERKANUN DAN AGENSI KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG 

16 NOVEMBER 2017 
AUDITORIUM A, KOMTAR

 

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

1. Pada pagi yang bermakna ini, kami menghimpunkan pegawai-pegawai dari semua badan-badan berkanun dan anak syarikat Negeri Pulau Pinang bagi memperbaharui iltizam menentang dan membanteras rasuah habis-habisan ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri bebas rasuah. Pulau Pinang adalah negeri yang satu-satunya menghimpunkan pegawai-pegawai di semua badan berkanun dan anak syarikat Negeri untuk melafazkan Ikrar Bebas Rasuah di bawah satu program. 

2. Saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, Datuk Abdul Aziz Aban dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato' Seri Farizan bin Darus yang memastikan Majlis Ikrar Bebas Rasuah Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat direalisasikan. 

Pelaksanaan Ikrar Bebas Rasuah

3. Kerajaan Negeri telah melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah pada 4 Ogos 2017 yang lalu dan melibatkan Yang Berhormat Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen, Ketua-Ketua Jabatan termasuklah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan menerapkan tambahan 10 langkah integriti Kerajaan Negeri yang mencerminkan komitmen untuk menjadi negeri bebas rasuah seperti berikut:-

i. Amalan Pentadbiran yang berlandaskan Prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti, Telus);
ii. Menginstitusikan pengisytiharan harta secara terbuka oleh Ketua Menteri, EXCO dan ADUN;
iii. Melaksanakan tender terbuka secara kompetitif;
iv. Tidak membenarkan ahli keluarga untuk melibatkan diri dalam kontrak Kerajaan Negeri;
v. Melarang ADUN dan ahli pentadbiran daripada diluluskan permohonan tanah Kerajaan Negeri;
vi. Melindungi pemberi maklumat atau peniup wisel yang tulen;
vii. Mengambil tindakan ke atas pemimpin yang hidup mewah melebihi pendapatan rasminya;
viii. Telus dalam sumbangan politik;
ix. Tidak menerima ‘donation’ peribadi; dan
x. Mengambil tindakan ke atas pegawai yang melanggari kesemua di atas.

4. Pada hari ini, terdapat 16 Badan Berkanun dan Agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengambil bahagian dalam Ikrar Bebas Rasuah (IBR). Antaranya ialah Perbadanan Pembanguan Pulau Pinang (PDC), Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Institut Integriti Negeri Pulau Pinang, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang, Penang International Halal Hub Development Sdn. Bhd., Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Penang Global Tourism (PGT), Lembaga Wakaf Hindu, Invest-in-Penang Berhad, Penang (CAT) Career Assistance and Talent Centre, Penang Green Council (PGC), Penang Institute (PI) dan Perbadanan Warisan Dunia George Town (GTWHI).

Pencapaian Negeri Pulau Pinang

5. Dengan pelaksanaan 10 langkah integriti tersebut oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2008, kini Kerajaan Negeri telah dapat menuai hasilnya. Keberkesanan dasar tersebut telah pun dibuktikan melalui Laporan Ketua Audit Negara yang memuji pentadbiran kewangan Negeri Pulau Pinang yang baik dengan lebihan Belanjawan setiap tahun, penurunan hutang negeri sebanyak 90% dan tambahan rizab aset negeri sebanyak RM1 bilion sejak tahun 2008. Lebih membanggakan adalah Negeri Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang dipuji oleh Tansparency International kerana melaksanakan tender terbuka.

6. Bukan itu sahaja, Kerajaan Negeri juga bangga untuk menyatakan sehingga kini, 1.6 juta rakyat Pulau Pinang telah mendapat faedah melalui 'dividen anti-rasuah' atau bantuan kewangan sebanyak RM412.63 juta yang diagihkan sejak tahun 2008 menerusi program emas Kerajaan Negeri.

7. Saya juga berasa bangga dengan pasukan penjawat awam Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang komited, profesional dan berintegriti. Ianya dapat dilihat melalui penerimaan Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti Tahun 2016 yang diaudit oleh Jabatan Audit Negara dengan pengiktirafan lima (5) bintang dan perakuan Sijil Amalan 5S daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (PMC) untuk tahun ke-6 berturut-turut.

8. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada PDC dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) di atas Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabilti Tahun 2016 yang telah diaudit dengan pengiktirafan 5 bintang. Justeru, saya mencabar agensi badan-badan berkanun dan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri yang lain di hadapan saya ini agar mampu sebaris dengan kecemerlangan PDC dan MAINPP pada tahun depan.

9. Saya mengucapkan tahniah kepada MPSP kerana telah menjadi organisasi pertama di Malaysia yang menerima Pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah MS ISO 37001: 2016. Ini membuktikan bahawa dasar pentadbiran CAT (Cekap, Akauntabiliti, Telus) menunjukkan hasilnya dan Kerajaan Negeri akan terus berusaha memerangi rasuah dan menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai negeri bebas rasuah.

Langkah-Langkah Penambahbaikan dan Pengukuhan Integriti

10. Kerajaan Negeri tidak mahu mudah alpa dengan kecemerlangan demi kecemerlangan yang diraih sepanjang tahun 2008 hingga 2017. Justeru, bagi memastikan prestasi Kerajaan Negeri terus berada di tahap terbaik, Kerajaan Negeri akan terus memantau, mengkaji dan menambahbaik tadbir urus sedia ada dan berusaha menerapkan dan memperkasakan integriti di kalangan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang melalui Mesyuarat Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (JITU). Teguh membendung gejala tidak berintegriti di dalam pentadbiran awam Kerajaan Negeri, Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan tatatertib terhadap 47 orang anggota pentadbiran awam Kerajaan Negeri Pulau Pinang sepanjang tahun 2016.

11. Akhir kata, sekali lagi bersempena hari bersejarah dan mulia ini, saya menyeru kepada semua agar bersama-sama melafazkan Ikrar Bebas Rasuah dan seterusnya gigih berusaha mencapai harapan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri bebas rasuah, berintegriti tinggi, bertaraf antarabangsa dan pintar.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang