MAJLIS MOU KERAJAAN PULAU PINANG – FOOD AID FOUNDATION

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG 
SEMPENA MAJLIS MOU KERAJAAN PULAU PINANG – FOOD AID FOUNDATION

20 NOV 2017, 9.30 PAGI, TINGKAT 28 KOMTAR

 

 

Saya amat berbesar hati mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan dalam majlis pada pagi ini. Majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara kerajaan negeri Pulau Pinang dengan Food Aid Foundation berkaitan usahasama untuk membantu masyarakat yang kurang berkemampuan.

Saya juga berterima kasih kepada Persatuan Hotel Pulau Pinang dan Persatuan Chef Pulau Pinang yang turut hadir pada pagi ini. Kerajaan negeri mempelopori dasar negeri berkebajikan. Dasar ini dirangka bertujuan memberi peluang rakyat negeri ini menikmati manfaat secara langsung hasil kekayaan negeri. Setiap kelompok masyarakat mendapat faedah dan manfaat tanpa terkecuali.

Kerajaan negeri amat berbangga dengan program i-sejahtera dan Agenda Ekonomi Saksama(AES). Melalui Agenda Ekonomi Saksama, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM23,215,968.00 sejak 2009 hingga kini. Program pembasmian kemiskinan tegar ini bertujuan untuk meningkatkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) daripada RM600 sebulan kepada RM770 sebulan pada tahun 2013. Pada tahun 2014, Kerajaan Negeri telah meningkatkan PGK kepada RM790 sebulan dan pendapatan seisi rumah tidak kurang daripada RM220.00. Mana-mana keluarga yang berpendapatan per kapita kurang daripada jumlah RM220, Kerajaan Negeri akan "tambah nilai" (top-up) sehingga genap RM220. Contohnya, sekiranya sebuah keluarga mempunyai 5 orang ahli isi rumah dan pendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan yakni pendapatan perkapita keluarga tersebut kurang daripada RM220, Kerajaan Negeri akan memberikan "tambah nilai" RM100 setiap bulan.

Manakala melalui program i-sejahtera pula, secara tahunan, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan telah memberikan sumbangan kepada rakyat melalui program-program emas seperti Program Penghargaan Warga Emas, Program Bantuan OKU, Program Bantuan Ibu Tunggal, Program Ibu Emas dan Program Skim Pelajar Emas dengan sumbangan sebanyak RM100. Dalam pada itu, bagi meringankan beban ibu bapa, Kerajaan Negeri turut memberikan bayaran secara one-off RM100 kepada Pelajar Tahun 1 & 4 dan Tingkatan 1 & 4 di bawah Skim Pelajar Emas; RM200 (one-off) melalui Program Anak Emas serta RM1,000 (one-off) kepada mahasiswa. Bagi meringankan beban waris warga emas, ibu tunggal dan OKU dalam pengurusan jenazah, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan akan memberikan bantuan secara one-off RM1,000. Malah, Kerajaan Negeri juga memberi bayaran tahunan RM600 kepada pemandu teksi serta operator bas sekolah berdaftar, bantuan pukat kepada nelayan sebanyak RM400 dan RM1,200 setahun kepada penarik beca. Keseluruhan perbelanjaan yang telah dibelanjakan bagi Program iSejahtera dan bantuan kewangan kepada 1.6 juta rakyat Pulau Pinang sejak tahun 2008 hingga kini adalah sebanyak RM 412.63 juta.

Satu lagi inisiatif baru kerajaan negeri Pulau Pinang ialah menyampaikan bantuan makanan secara langsung rumah ke rumah kepada kelompok miskin dan memerlukan. Untuk tujuan ini Mutiara Food Bank ditubuhkan dan diterajui oleh Dato Saifuddin Nasution Ismail.

Melalui penubuhan Mutiara Food Bank, program ini telah dijalankan mulai awal Mei 2017 dan sehingga hari ini memberi manfaat kepada lebih 5000 orang.

Saya berterima kasih kepada Food Aid Foundation khususnya saudara Rick Chee dan Puan Hayati Ismail yang membimbing pasukan Mutiara Food Bank melalui latihan dan garis panduan memulakan program ini.

Saya juga difahamkan Food Aid Foundation, Persatuan Chef Pulau Pinang dan Mutiara Food Bank adalah di antara pasukan awal membantu mangsa-mangsa banjir yang melanda Pulau Pinang baru-baru ini. Saya merakamkan ucapan terima kasih sekali lagi.

Memorandum persefahaman yang ditandatangani pada pagi ini akan menjadi satu lagi permulaan penting ke arah memperluaskan operasi Mutiara Food Bank pada tahun hadapan. Penyertaan sama Persatuan Hotel dan Persatuan Chef Pulau Pinang akan membolehkan program ini dijayakan dengan kemas dan tersusun.

Kerajaan negeri akan sentiasa mendokong usaha-usaha murni seperti ini. Bak kata pepatah “ Berat Sama DiPikul, Ringan Sama Dijinjing”. Pepatah “Hati Nyamuk Sama di Cicah, Hati Gajah Sama Di Lapah” juga menjadi pedoman kerajaan negeri untuk berkongsi kekayaan dan kejayaan bersama setiap golongan rakyat di negeri ini.

Sekian. Terima kasih.