MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN PENDAFTARAN PELAJAR KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI (IPT) BAGI KEMASUKAN SESI AKADEMIK 1 TAHUN 2017/2018 (IJAZAH SARJANA MUDA) DAERAH BARAT DAYA

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN PENDAFTARAN PELAJAR

KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI (IPT) BAGI KEMASUKAN SESI AKADEMIK 1 TAHUN 2017/2018 (IJAZAH SARJANA MUDA)

DAERAH BARAT DAYA

PADA 23 NOVEMBER 2017 (KHAMIS), 9.30 PAGI
DI BALAI RAKYAT PASAR AWAM, BALIK PULAU, PULAU PINANG

Sebagai pembuka bicara, ingin saya melahirkan rasa syukur kepada Tuhan kerana memberi peluang dan ruang untuk kita semua bertemu pada hari ini, bersempena dengan Majlis Penyampaian Cek Bantuan Pendaftaran Pelajar ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi Kemasukan Sesi Akademik 1 Tahun 2017/ 2018 (Ijazah Sarjana Muda).

Saya merakamkan setinggi tahniah kepada Saudara / Saudari di atas pemilihan Saudara / Saudari untuk menerima Bantuan Pendaftaran Pelajar Ke IPT bagi Tahun 2017 secara “one-off” sebanyak RM1,000 untuk penuntut IPT di Semenanjung Malaysia dan RM1,200 yang menuntut di Sabah dan Sarawak. Saya difahamkan bahawa pada hari ini seramai 278 orang pelajar daripada Daerah Barat Daya (DBD) akan menerima bantuan ini.

Bayaran “one-off” ini adalah yang tertinggi di Malaysia berbanding dengan negeri-negeri lain. Ia membuktikan komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan modal insan serta penghargaan kepada anda semua dalam usaha menambah bakat insan di Pulau Pinang.

Bantuan ini diberikan kepada semua pelajar di Pulau Pinang yang berjaya menerima tawaran pengajian di IPT. Bilangan penerima bantuan Pendaftaran Pelajar Ke IPT dari tahun 2008 hingga 2017 adalah seramai 21,661 orang pelajar melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM20,042,900.00 (Ringgit Malaysia Dua Puluh Juta Empat Puluh Dua Ribu dan Sembilan Ratus Sahaja).

Bagi Daerah Barat Daya sahaja, Kerajaan Negeri pada 2017 telah membelanjakan sebanyak RM385,000.00. Secara keseluruhannya bagi tempoh enam tahun kebelakangan ini, sebanyak RM 2.71 juta telah dibelanjakan bagi bantuan ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Kenaikan bayaran bantuan lebih dua (2) kali ganda ini dapat dilaksanakan atas tata kelola yang bersih dan urus tadbir Kerajaan berteraskan prinsip Urustadbir Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT). Kepimpinan yang bersih, membolehkan Kerajaan Negeri menikmati lebihan bajet tahunan sejak tahun 2008 yang berjumlah RM578 juta secara terkumpul dari tahun 2008 hingga 2015, iaitu lebih daripada jumlah RM373 juta oleh Kerajaan Negeri lama selama 50 tahun dari 1957 hingga 2007. Rizab tunai pula meningkat lebih daripada RM1 bilion kepada RM1.8 bilion, dan hutang negeri telah dikurangkan sebanyak 90%. Pengurangan hutang Kerajaan Negeri sebanyak 90% merupakan rekod yang terbesar dalam sejarah Malaysia. Inilah dividen anti-rasuah yang dapat dinikmati oleh semua.

Bagi tempoh 9 1/2 tahun di antara 2008 hingga Jun 2017, Pulau Pinang telah mencatatkan pelaburan sebanyak RM67 bilion, peningkatan sebanyak 81.6% berbanding dengan tempoh 10 tahun sebelumnya, iaitu dari 1998 ke 2007, sebanyak RM 37 bilion. Pulau Pinang kembali menjadi juara pelaburan di Malaysia untuk separuh pertama 2017 apabila mencatatkan pelaburan RM7.7 billion jauh mendahului negeri yang menduduki tempat kedua sebanyak RM 2.9 billion. Pulau Pinang juga telah menongkah arus apabila jumlah pelaburan yang diluluskan telah meningkat daripada RM2.67 bilion pada tahun 2016 kepada RM7.7 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 188%.

Sektor pelancongan juga telah berkembang dengan pembukaan hotel-hotel baru dan kadar penginapan yang lebih tinggi. Ini dapat dilihat dengan pertambahan kapasiti penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) kepada 6.7 juta orang penumpang pada tahun 2016, melebihi kapasiti sepatutnya iaitu 6.5 juta orang penumpang. Ianya telah dicapai empat (4) tahun lebih awal daripada 6.5 juta orang penumpang yang dijangka pada 2020.

Sidang hadirin yang saya hormati,

Dalam pada itu, untuk membuktikan penekanan kita terhadap modal insan sebagai sumber ekonomi utama, Kerajaan Negeri akan terus memberi bayaran sebanyak RM1,000 secara “one-off” kepada pelajar-pelajar Pulau Pinang yang menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan di Semenanjung Malaysia termasuk AIMST; Wawasan Open University; TAR College; dan TAR University College, dan RM1,200 kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran di Sabah dan Sarawak. Setakat ini 21,675 pelajar Pulau Pinang telah menikmatinya bersamaan dengan kos melebihi RM20 juta sejak 2008.

Sebagai lanjutan kepada komitmen kita terhadap peningkatan sumber manusia, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat untuk mengumumkan bayaran “one-off” sebanyak RM300 kepada pelajar Pulau Pinang tahun pertama yang diterima masuk ke sekolah vokasional tempatan di Malaysia bermula tahun 2018. Sejumlah RM2 juta akan diperuntukkan.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati,

Sekali lagi, saya mengucapkan tahniah di atas pemilihan Saudara / Saudari untuk menerima Bantuan Pendaftaran Pelajar Ke IPT bagi Tahun 2017 dan berharap ianya menjadi penyuntik semangat kepada Saudara / Saudari dalam meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, dan juga untuk ingat kembali ke Pulau Pinang. Di samping itu, pencapaian anda dapat meringankan beban keluarga, memperbaiki kedudukan ekonomi sendiri dan keluarga serta membantu mentransformasikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang bertaraf antarabangsa dan pintar.

Di kesempatan ini, ingin saya menyampaikan sekalung penghargaan kepada warga Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Barat Daya di atas kerjasama yang telah diberikan dalam menjayakan majlis ini, saban tahun. Akhir kata, saya, berserta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada ibu bapa, waris dan kesemua mahasiswa serta mahasiswi yang amat bertuah kerana terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading, dan sekali lagi bertuah kerana turut menerima bantuan kewangan ini, bagi meringankan bebanan kewangan yang dihadapi oleh ibu bapa serta waris para pelajar yang terlibat.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang