MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN PENDAFTARAN PELAJAR KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI (IPT) BAGI KEMASUKAN SESI AKADEMIK 1 TAHUN 2017/2018 (IJAZAH SARJANA MUDA) DAERAH TIMUR LAUT

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN PENDAFTARAN PELAJAR

KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI (IPT) BAGI KEMASUKAN SESI AKADEMIK 1 TAHUN 2017/2018 (IJAZAH SARJANA MUDA) DAERAH TIMUR LAUT

04 DISEMBER 2017 (ISNIN), 8.00 MALAM
DEWAN SRI PINANG

 

Selamat petang dan salam sejahtera

Terlebih dahulu, saya ingin saya melahirkan rasa syukur kepada Tuhan kerana memberi peluang dan ruang untuk kita semua bertemu pada hari ini di dalam Majlis Penyampaian Cek Bantuan Pendaftaran Pelajar ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi Kemasukan Sesi Akademik 1 Tahun 2017/ 2018 (Ijazah Sarjana Muda). Saya ucapkan terima kasih kepada warga Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut kerana berjaya menganjurkan majlis pada hari ini.

Saya ingin merakamkan setinggi tahniah kepada 575 orang pelajar yang berjaya dipilih untuk menerima Bantuan Pendaftaran Pelajar Ke IPT bagi Tahun 2017/2018 secara “one-off” berjumlah RM1,000 untuk penuntut IPT di Semenanjung Malaysia dan RM1,200 yang menuntut di Sabah dan Sarawak.

Sebagai makluman kepada tuan-tuan dan puan-puan, para pelajar serta ibu bapa yang hadir pada petang ini, bayaran “one-off” ini adalah yang tertinggi di Malaysia berbanding dengan negeri-negeri lain. Ia membuktikan komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan modal insan serta penghargaan kepada anda semua dalam usaha melahirkan dan menambah bakat insan di Pulau Pinang. Dan dalam masa yang sama, ianya menunjukkan keprihatianan Kerajaan Negeri dalam meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga pelajar terutamanya ibu bapa dan waris.

Bilangan penerima bantuan Pendaftaran Pelajar Ke IPT dari tahun 2008 hingga 2017 adalah seramai 21,661 orang pelajar melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM20,042,900.00 (Ringgit Malaysia Dua Puluh Juta Empat Puluh Dua Ribu dan Sembilan Ratus Sahaja).

Bagi Daerah Timur Laut, bilangan penerima bantuan Pendaftaran Pelajar Ke IPT bagi Ijazah Sarjana Muda sahaja dalam tempoh lima (5) tahun ini dari 2012 sehingga 2017 adalah seramai 3,461 orang pelajar melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM648,878.00 sahaja. Bagi tahun 2017 sahaja, Kerajaan Negeri pada tahun ini, telah membelanjakan sebanyak RM642,200.00.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Kerajaan Negeri mampu membuat bayaran hasil daripada pentadbiran CAT; Cekap, Akauntabel dan Telus serta kepimpinan bersih yang memberikan dividen “anti-rasuah” kepada rakyat.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 yang baru diumumkan, Pulau Pinang mengekalkan rekod cemerlang mencatat lebihan / keuntungan setiap tahun dengan keuntungan sebanyak RM89.2 juta bagi 2016, iaitu kenaikan RM17.4 juta berbanding denagan keuntungan sebanyak RM71.8 juta pada 2015. Ini bermakna keuntungan Kerajaan Negeri secara terkumpul sejak 2008 adalah RM667 juta berbanding dengan RM 105.7 juta untuk tempoh 9 tahun yang sama sebelum 2008.

Jumlah RM667 juta adalah lebih daripada jumlah RM373 juta oleh Kerajaan Negeri lama selama 50 tahun dari 1957 hingga 2007. Rizab tunai pula meningkat lebih daripada RM1 bilion kepada RM1.83 bilion, dan hutang negeri telah dikurangkan sebanyak 90%. Pengurangan hutang Kerajaan Negeri sebanyak 90% merupakan rekod yang terbesar dalam sejarah Malaysia. Inilah dividen anti-rasuah yang dapat dinikmati oleh semua.

Sidang hadirin yang saya hormati,

Sebagai lanjutan kepada komitmen kita terhadap peningkatan sumber manusia, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat untuk mengumumkan bayaran “one-off” sebanyak RM300 kepada pelajar Pulau Pinang tahun pertama yang diterima masuk ke sekolah vokasional tempatan di Malaysia bermula tahun 2018. Sejumlah RM2 juta akan diperuntukkan.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati,

Akhir kata, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada ibu bapa, waris dan kesemua mahasiswa dan mahasiswi kerana dipilih untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading dan bertuah kerana terpilih untuk menerima bantuan kewangan RM1,000.00 / RM1,200 daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang