SESI TANDATANGAN PERJANJIAN PERSEFAHAMAN ANTARA ALADDIN GROUP SDN. BHD. BERSAMA PIHH DEVELOPMENT SDN. BHD.

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA SESI TANDATANGAN PERJANJIAN PERSEFAHAMAN ANTARA

ALADDIN GROUP SDN. BHD. BERSAMA PIHH DEVELOPMENT SDN. BHD.

6 Disember 2017

 

Terlebih dahulu saya amat berbesar hati dan ingin mengucapkan Selamat Datang kepada semua pada hari ini di mana akan menyaksikan suatu perkembangan penting ke arah prospek pembangunan industri halal di Pulau Pinang.

Suatu Perjanjian Persefahaman akan dimeterai di antara PIHH Development Sdn. Bhd. (Halal Penang) – agensi fasilitasi Halal Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bertanggungjawab dan berperanan untuk mempromosi dan membangunkan industri halal di Pulau Pinang bersama Aladdin Group Sdn. Bhd. – pengendali platfom e-dagang halal premium eksklusif pertama di dunia. Objektif MoU adalah bertujuan menggalakkan usahawan dalam industri halal menguasai teknologi digital untuk memajukan perniagaan di peringkat antarabangsa.

AladdinStreet.com, laman portal rasmi antarabangsa Aladdin Group menawarkan faedah dan platfom strategik bagi mempromosi serta mengenengahkan produk dan perkhidmatan halal tempatan melalui rangkaian pasaran Aladdin Group yang diiktiraf di persada antarabangsa.

Melalui portal rasmi ini, industri halal tempatan dapat meraih faedah serta peluang merentasi sempadan (cross-border) di peringkat antarabangsa di samping fasilitasi import-eksport yang ditawarkan merangkumi rangkaian bersama 20 platfom e-dagang di seluruh dunia. Tambahan lagi, perkongsian global Aladdin Group bersama gergasi Liga Perdana Inggeris (English Premier League) yang merupakan sebahagian daripada usaha memasarkan jenama AladdinStreet.com do pasaran global.

Sesi Perjanjian Persefahaman bersama Aladdin Group hari ini menyaksikan suatu era baru dalam membangun serta mengukuhkan jaringan e-dagang dalam menawarkan kebolehcapaian (high-end accessibility) dan pendedahan kepada para usahawan halal tempatan di pasaran global.

Pulau Pinang telah merekodkan pertumbuhan progresif dalam pembangunan industri halal semenjak penubuhan Hab Halal Antarabangsa pada April 2009. Taman Perindustrian Halal Pulau Pinang (TPHPP) Fasa 1 dan Fasa 2 Zon Makanan (Food Zone) yang telah berstatus HALMAS –Halal Malaysia HDC Designated Halal Park telah mencatatkan nilai pelaburan sejumlah RM717.46 juta.

Selain itu, usaha memartabatkan industri halal telah menyaksikan pertambahan mendadak jumlah syarikat berdaftar halal di Pulau Pinang daripada hanya 55 buah syarikat pada tahun 2009 telah melonjak kepada sejumlah 948 syarikat halal sehingga pertengahan 2017.

Dengan perkembangan pesat tren terkini dalam industri e-dagang global, saya yakin Aladdin e-Pasaran (e-MarketPlace) mampu melonjakkan tahap perniagaan dan industri halal tempatan ke persada global.

Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi perhargaan kepada kedua-dua pihak Halal Penang dan Aladdin Group ke arah merealisasikan usahasama ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang