MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN PENDAFTARAN PELAJAR KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI (IPT) BAGI KEMASUKAN SESI AKADEMIK 1 TAHUN 2017/2018 (IJAZAH SARJANA MUDA) DAERAH SEBERANG PERAI

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN PENDAFTARAN PELAJAR KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI (IPT)

BAGI KEMASUKAN SESI AKADEMIK 1 TAHUN 2017/2018 (IJAZAH SARJANA MUDA)

DAERAH SEBERANG PERAI

19 DISEMBER 2017 (SELASA), 8.00 PAGI
SP ARENA,SEBERANG PERAI

 

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu,saya ingin melahirkan rasa syukur kepada Tuhan kerana memberi peluang dan ruang untuk kita semua bertemu pada hari ini di dalam Majlis Penyampaian Cek Bantuan Pendaftaran Pelajar ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi Kemasukan Sesi Akademik 1 Tahun 2017/ 2018 (Ijazah Sarjana Muda). Saya ucapkan terima kasih kepada semua kakitangan Pejabat Daerah yang bertungkus-lumus dalam menganjurkan majlis pada hari ini.

Saya ingin merakamkan setinggi tahniah kepada 1277 orang pelajar dari Bahagian Seberang Perai yang berjaya dipilih untuk menerima Bantuan Pendaftaran Pelajar Ke IPT bagi Tahun 2017/2018 secara “one-off” berjumlah RM1,000 untuk penuntut IPT di Semenanjung Malaysia seramai 1,213 penuntut dan RM1,200 kepada 64 orang menuntut di Sabah dan Sarawak.

Statistik bantuan yuran pengajian untuk para pelajar yang
layak untuk kali ini adalah seperti berikut :

Penerima Bantuan Ke IPT Tahun 2017/2018

Daerah

Semenanjung

Sabah/Sarawak

Jumlah

SPU

474

20

494

SPT

512

27

539

SPS

227

17

244

Jumlah

1277

Seperti mana yang semua sedia maklum, bayaran “one-off” ini adalah yang tertinggi di Malaysia berbanding dengan negeri-negeri lain. Ia membuktikan komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan modal insan serta penghargaan kepada anda semua dalam usaha melahirkan dan menambah bakat insan di Pulau Pinang.

Bilangan penerima bantuan Pendaftaran Pelajar Ke IPT dari tahun 2008 hingga 2017 adalah seramai 21,661 orang pelajar melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM20,042,900.00 (Ringgit Malaysia Dua Puluh Juta Empat Puluh Dua Ribu dan Sembilan Ratus Sahaja).

Bilangan penerima bantuan Pendaftaran Pelajar Ke IPT dari dari Daerah Seberang Perai mulai tahun 2008 hingga 2017 adalah seramai 11,873 orang pelajar melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM 11,075,800.00 (Ringgit Malaysia Sebelah juta Tujuh Puluh Lima Ribu Lapan Ratus Sahaja)

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Bayaran bantuan yang besar sebanyak RM20 juta sejak 2010 ini dapat dilaksanakan atas tata kelola yang bersih dan urus tadbir Kerajaan berteraskan prinsip Urustadbir Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT). Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 yang baru diumumkan, Pulau Pinang mengekalkan rekod cemerlang mencatat lebihan / keuntungan setiap tahun dengan keuntungan sebanyak RM89.2 juta bagi 2016, iaitu kenaikan RM17.4 juta berbanding denagan keuntungan sebanyak RM71.8 juta pada 2015. Ini bermakna keuntungan Kerajaan Negeri secara terkumpul sejak 2008 adalah RM667 juta berbanding dengan RM 105.7 juta untuk tempoh 9 tahun yang sama sebelum 2008.

Jumlah RM667 juta adalah lebih daripada jumlah RM373 juta oleh Kerajaan Negeri lama selama 50 tahun dari 1957 hingga 2007. Rizab tunai pula meningkat lebih daripada RM1 bilion kepada RM1.83 bilion, dan hutang negeri telah dikurangkan sebanyak 90%. Pengurangan hutang Kerajaan Negeri sebanyak 90% merupakan rekod yang terbesar dalam sejarah Malaysia. Inilah dividen anti-rasuah yang dapat dinikmati oleh semua.

Bagi tempoh 2008 hingga Sep 2017, Pulau Pinang telah mencatatkan pelaburan sebanyak RM69 bilion, peningkatan sebanyak 86.5% berbanding dengan tempoh 10 tahun sebelumnya, iaitu dari 1998 ke 2007, sebanyak RM 37 bilion. Pulau Pinang merangkul tempat kedua bagi jumlah pelaburan keseluruhan di Malaysia bagi tempoh Jan-Sep 2017 apabila mencatatkan pelaburan sebanyak RM9.9 billion. Pulau Pinang juga telah menongkah arus apabila jumlah pelaburan yang diluluskan telah meningkat daripada RM3.9 bilion pada Jan-Sep tahun 2016 kepada RM9.9 bilion bagi tempoh yang sama iaitu peningkatan sebanyak 154%.

Pembayaran RM1,000 kepada mahasiswa-mahasiswi adalah yang terbesar dari mana-mana negeri di Malaysia yang mampu dibayar oleh Kerajaan Negeri kerana kita ada dividen anti-rasuah dah rela kongsikan dividen ini dengan rakyat. Sama seperti pembayaran RM700 kepada mangsa banjir untuk bencana angin ribut kencang dan banjir paling buruk dalam sejarah Malaysia, yang melibatkan RM33.8 juta yakni jumlah pembayaran kepada mangsa banjir yang terbesar dalam sejarah Malaysia – dapat dilaksanakan hasil daripada pentadbiran CAT yang bersih.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati,

Sekali lagi, saya mengucapkan tahniah kepada para pelajar untuk menerima Bantuan Pendaftaran Pelajar Ke IPT bagi Tahun 2017 dan berharap ianya menjadi penyuntik semangat kepada Saudara / Saudari dalam meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, dan juga dapat kembali bekerja dan bertugas di Negeri Pulau Pinang.

Akhir kata, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada ibu bapa, waris dan kesemua mahasiswa dan mahasiswi kerana dipilih untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading dan bertuah kerana terpilih untuk menerima bantuan kewangan RM1,000.00 daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang