KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG MEMBUKA SEMULA PENDAFTARAN BAGI PERMOHONAN WANG BANTUAN KECEMASAN (ONE-OFF) RM700 UNTUK MANGSA BENCANA BANJIR DAN RIBUT 5 NOVEMBER 2017 YANG TIDAK SEMPAT MEMOHON TAHUN LEPAS

KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG MEMBUKA SEMULA PENDAFTARAN BAGI PERMOHONAN WANG BANTUAN KECEMASAN (ONE-OFF) RM700
UNTUK MANGSA BENCANA BANJIR DAN RIBUT 5 NOVEMBER 2017
YANG TIDAK SEMPAT MEMOHON TAHUN LEPAS

Taufan Damrey pada 4hb – 5hb November 2017 telah membawa bencana banjir dan ribut kencang ke Pulau Pinang dan ramai penduduk Pulau Pinang telah mengalami kerosakan dan kerugian harta. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melancarkan program Pulau Pinang Bangkit pada 9hb November 2017 untuk membantu penduduk Pulau Pinang meringankan beban kerugian dengan pemberian (one-off) RM700 kepada setiap isi keluarga mangsa banjir. Pendaftaran untuk memohon wang bantuan kecemasan RM700 ini telah berlangsung 21hb November 2017 – 2hb Disember 2017 dan seramai 52,950 permohonan telah diterima dalam tempoh tersebut. Sehingga kini, sebanyak RM35 juta wang bantuan telah diluluskan untuk diberikan kepada 49,978 buah isi rumah di Pulau Pinang.

Pendaftaran bagi permohonan wang bantuan kecemasan (one-off) RM700 ini akan dibuka semula pada Isnin 15hb Januari 2018 sehingga tarikh tutup permohonan pada pukul 5:00 petang, 31hb Januari 2018. Pendaftaran dibuka semula bagi membantu mangsa bencana yang tidak sempat mendaftarkan diri pada tahun lalu. Namun, pemohon dan isi rumah yang telahpun menerima bantuan melalui pendaftaran tahun lalu tidak akan diluluskan sekali lagi. Kesemua permohonan akan ditelitikan dan disiasat; Hanya permohonan yang dapat dikenalpasti bahawa telah mengalami banjir atau kerosakan disebabkan Bencana pada 5hb November 2017 akan diluluskan untuk menerima wang bantuan kecemasan.

Sesiapa yang berminat memohon wang bantuan kecemasan (one-off) RM700 ini perlu membawa bersama dokumen-dokumen sokongan ke Pusat Khidmat KADUN atau Pejabat Daerah di tempat di mana mereka mengalami kerosakan atau kerugian pada 5hb November 2017. Contohnya, jika kerugian dialami di pejabat, maka pemohon perlu hadir ke Pusat Khidmat KADUN bagi kawasan pejabat mereka dan bukan Pusat Khidmat KADUN tempat kediaman.

Permohonan akan diterima untuk kerosakan-kerosakan berikut:
1. Kediaman (bangunan / harta) rosak dibanjiri air
2. Perniagaan (bangunan / harta) rosak dibanjiri air
3. Persatuan atau Rumah Ibadat (bangunan / harta) rosak dibanjiri air
4. Kenderaan (termasuk motorsikal) rosak disebabkan banjir di kawasan kediaman, tempat kerja atau tempat letak kereta.
5. Bangunan / Kenderaan rosak disebabkan ribut atau pokok tumbang

Dokumen-dokumen sokongan yang perlu dibawa bersama adalah:
1. Salinan Kad Pengenalan
2. Salinan Kenyataan Bank / Buku Bank (jika ada)
3. Jika alamat permohonan berbeza daripada alamat Kad Pengenalan, pemohon perlu membawa bukti alamat permohonan; iaitu salinan bil utiliti TNB, PBA, TM atau IWK dengan nama pemohon dan alamat yang sama dengan lokasi banjir. Bil utiliti dengan nama yang berbeza daripada nama dalam permohonan wang bantuan tidak akan diterima.
4. Salinan Lesen Perniagaan (contohnya Lesen Gerai MBPP / MPSP), pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau sijil pendaftaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) yang menyatakan nama dan alamat yang sama dengan tempat banjir diperlukan bagi permohonan Perniagaan, Persatuan atau Rumah Ibadat. Nama Perniagaan, Persatuan atau Rumah Ibadat yang diisikan dalam permohonan mestilah sama dengan nama dalam dokumen sokongan dan Akaun Bank.
5. Jika hanya kenderaan rosak, pemohon perlu membawa salinan geran kenderaan dan resit pembaikian kenderaan. Nama pemohon wang bantuan kecemasan RM700 mestilah sama dengan Pemilik yang dinyatakan di atas Geran Kenderaan. Resit pembaikian kenderaan mesti ditandatangani oleh bengkel kenderaan dan mengandungi maklumat bengkel melalui letterhead atau cop syarikat.
6. Gambar kejadian jika ada.

Seperti bagi pendaftaran Nov – Dis 2017, pemohon boleh memilih agar wang bantuan dikreditkan terus ke dalam akaun bank mereka, atau memilih untuk datang sendiri ke Pejabat Daerah untuk mengambil wang bantuan pada masa dan tarikh yang akan ditetapkan. Masa dan tarikh pengambilan wang akan dimaklumkan melalui surat ke alamat pemohon.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang