MAJLIS PEMBERIAN INSENTIF PERKHIDMATAN KEPADA PEMANDU TEKSI DAN OPERATOR BAS SEKOLAH DI PULAU PINANG BIL 1/2018

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PEMBERIAN INSENTIF PERKHIDMATAN KEPADA PEMANDU TEKSI DAN OPERATOR BAS SEKOLAH

DI PULAU PINANG BIL 1/2018

PADA 29 JANUARI 2018

Salam Sejahtera, Salam Bersih dan Salam Ramadhan kepada semua.

Terlebih dahulu, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Bahagian Kerajaan Tempatan kerana berjaya menguruskan proses pemberian insentif sebanyak RM600 setahun buat kali pertama tahun ini yang menggabungkan pemandu teksi dan operator bas sekolah pada tahun ini. Untuk makluman, insentif teksi telah mula diberikan sejak tahun 2013 manakala kepada operator bas baru sahaja mula diberikan pada tahun lepas.

Kerajaan Negeri mengiktiraf sumbangan dan khidmat bakti pemandu-pemandu teksi kepada perkhidmatan pengangkutan awam di Pulau Pinang selama ini juga khidmat bakti operator-operator bas sekolah dalam mengambil dan mengangkut para pelajar setiap hari.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Terima kasih saya ucapkan kepada Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Negeri Pulau Pinang dan Persatuan Operator Bas Sekolah Pulau Pinang yang telah menyediakan jambatan untuk menghubungi golongan pemandu teksi dan operator bas sekolah dengan Kerajaan Negeri. Saya berharap Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Negeri Pulau Pinang dan Persatuan Operator Bas Sekolah Pulau Pinang akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk merealisasikan komitmen perkhidmatan selamat dan cemerlang kepada rakyat negeri Pulau Pinang.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi mendapatkan senarai nama pemandu teksi dan operator bas sekolah yang sah berdaftar dan menjalankan perkhidmatan di seluruh negeri Pulau Pinang.

Pada hari yang bersejarah ini, semua pemandu teksi dan operator bas sekolah yang sah berdaftar akan menerima RM300.00 setiap seorang. Jumlah keseluruhan pemandu teksi yang layak pada kali ini ialah seramai 2343 orang pemandu. Seramai 1702 orang pemandu di bahagian Pulau dan 641 orang pemandu di bahagian Seberang Perai akan menerima insentif ini.

Manakala bagi operator bas sekolah, seramai 656 operator bas sekolah dengan permit yang sah layak dengan 330 operator bas sekolah di Bahagian Pulau dan 326 operator bas di Seberang Perai. Apabila saya pergi ke Kedah baru-baru ini, ramai pemandu teksi di negeri tersebut mengeluh kepada saya bahawa ingin menukar kawasan mengundi ke Pulau Pinang supaya boleh layak menerima RM600 di bawah program insentif kepada pemandu teksi anjuran Kerajaan Negeri. Adalah diharapkan agar Kerajaan Persekutuan dapat menghulurkan bantuan yang sama seperti ini. Sekiranya mereka masih enggan, kita ubah kerajaan yang ada sekarang.

Jumlah keseluruhan insentif pada kali ini ialah sebanyak RM899,700.00 (Ringgit Malaysia Lapan Ratus Sembilan Puluh Sembilan Ribu Tujuh Ratus Sahaja).

Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 yang baru diumumkan, Pulau Pinang mengekalkan rekod cemerlang dengan mencatat lebihan/keuntungan setiap tahun dengan keuntungan sebanyak RM89.2 juta.

Ini bermakna keuntungan Kerajaan Negeri secara terkumpul sejak 2008 adalah RM667 juta berbanding dengan RM105.7 juta untuk tempoh 9 tahun yang sama sebelum 2008. Jumlah RM667 juta adalah lebih daripada jumlah RM373 juta oleh Kerajaan Negeri lama selama 50 tahun dari 1957 hingga 2007.

Rizab aset pula meningkat hampir RM1 bilion kepada RM1.83 bilion, dan hutang negeri telah berjaya dikurangkan sebanyak 90% kepada RM68 juta pada akhir 2016, iaitu jumlah hutang paling rendah di Malaysia. Jelas, 9 tahun pentadbiran Pakatan Harapan telah memperlihatkan betapa banyak boleh dilakukan berbanding 50 tahun terdahulu sebelum 2008.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati,
Tiada negeri lain di Malaysia yang menyediakan bayaran insentif sebanyak RM600 setahun kepada mana-mana pemandu teksi dan operator bas sekolah tanpa mengambil kira bangsa, agama mahupun latar belakang politik. Bayaran RM600 akan dibayar dua kali sebanyak RM300.

Selamat Menyambut Thaipusam dan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina.

Sekian, Terima Kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang