MAJLIS PELANCARAN PROJEK PELEBARAN SEBAHAGIAN JALAN MASJID NEGERI DAN JALAN SCOTLAND (PAKEJ 5B), PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

BAGI MAJLIS PELANCARAN PROJEK PELEBARAN SEBAHAGIAN JALAN MASJID NEGERI DAN JALAN SCOTLAND (PAKEJ 5B), PULAU PINANG

PADA 9 FEBRUARI 2018 (JUMAAT) 9.15 PAGI

Jalan Masjid Negeri merupakan sebatang jalan utama yang menampung bilangan kenderaan yang tinggi pada setiap masa. Isipadu lalulintas di Jalan Masjid Negeri telah meningkat ke tahap di mana kesesakan lalulintas telah berlaku pada setiap hari terutamanya pada waktu puncak pagi dan petang. Kerajaan Negeri perihatin mengenai masalah lalulintas yang dialami oleh pengguna jalan raya yang sering berulang-alik di Jalan Masjid Negeri yang terpaksa menghadapi masalah kesesakan yang serius pada setiap hari.

Bagi mengatasi masalah ini, Majlis telah menyiapkan Kajian “Concept Plans for Immediate Measures to Alleviate Traffic Congestion within George Town and its Vicinity” pada Julai 2010. Kajian ini, yang dimulakan pada Jun tahun 2009, telah dijalankan untuk meneliti cara-cara mengurangkan kesesakan lalulintas dengan secepat mungkin di kawasan George Town dengan penumpuan kepada Jalan Masjid Negeri dan Jalan Ayer Itam.

Secara amnya, projek ini melibatkan penambahbaikan aliran lalulintas di Jalan Masjid Negeri yang merupakan sebahagian daripada jalan lingkaran luar George Town. Walau bagaimanapun, seiring dengan pelaksanaan projek ini, beberapa tindakan telah diambil sekaligus untuk melegakan kesesakan di jalan-jalan lain seperti Jalan Scotland, Jalan Gottlieb, Jalan Bagan Jermal dan Jalan Ayer Itam yang mengagih dan menyurai aliran lalulintas berterusan daripada Jalan Masjid Negeri.

Beberapa projek yang dikenalpasti bagi menyuraikan kesesakan di jalan-jalan lingkaran luar George Town telah siap dilaksanakan. Projek-projek tersebut adalah:
i. Menaiktaraf persimpangan Lorong Batu Lancang/Lebuhraya Thean Tek yang telah disiapkan pada bulan Julai 2011 dengan kos sebanyak RM300,000.00

ii. Menaiktaraf Jalan Ayer Itam pada bahagian persimpangan Jalan Masjid Negeri/ Jalan Ayer Itam/ Jalan Scotland yang telah disiapkan pada bulan Januari 2012 dengan kos sebanyak RM1.3 juta.

iii. Menaiktaraf Jalan Gottlieb dari Jalan Utama ke Jalan Bagan Jermal yang telah disiapkan pada Oktober 2012 dengan kos sebanyak RM3.5 juta.

iv. Menaiktaraf persimpangan Bulatan Udini dan mewujudkan pusingan ’U’ di Jalan Masjid Negeri yang telah disiapkan pada bulan April 2015 dengan kos sebanyak RM7.6 juta.

v. Melebarkan Jalan Masjid Negeri dan Jalan Scotland pada bahagian persimpangan Jalan Masjid Negeri/Jalan Ayer Itam/Jalan Scotland (fasa 2) yang telah disiapkan pada bulan Disember 2013 dengan kos sebanyak RM3.7 juta.

vi. Menaiktaraf Lorong Batu Lancang/Jalan Masjid Negeri yang telah disiapkan pada bulan Oktober 2014 dengan kos sebanyak RM3.5 juta.

vii. Melebarkan sebahagian Jalan Bagan Jermal dari simpang Jalan Mano ke simpang Jalan Burma yang telah disiapkan pada bulan Februari 2015 dengan kos sebanyak RM1.4 juta.

viii. Menaiktaraf persimpangan Lebuhraya Peel/Jalan Macalister/Jalan Residensi/Lebuhraya Codrington yang telah disiapkan pada bulan Ogos 2015 dengan kos sebanyak RM2.0 juta.

ix. Melebarkan sebahagian Jalan Masjid Negeri dan Jalan Scotland (pakej 5B) yang telah disiapkan pada bulan Disember 2017 dengan kos sebanyak RM7.8 juta.

Jumlah kos bagi projek-projek di atas adalah sebanyak RM 31.1 juta. Manakala kos bagi pengambilan tanah bagi menjalankan projek-projek ini adalah sebanyak RM14.7 juta. Jumlah kos keseluruhan yang dibelanjakan adalah sebanyak RM45.8 juta. Ini menunjukkan keprihatinan, kesungguhan dan komitmen Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang untuk menangani masalah lalulintas yang dihadapi oleh penduduk Negeri Pulau Pinang. Dengan siapnya projek-projek ini, ianya dapat meningkatkan kapasiti Jalan Masjid Negeri dan menyuraikan kesesakan di Jalan Masjid Negeri dan kawasan sekitarnya.

Projek pelebaran sebahagian Jalan Masjid Negeri dan Jalan Scotland (pakej 5B) adalah projek terakhir di Jalan Masjid Negeri untuk fasa ini. Projek ini melibatkan kos sebanyak RM7.8 juta yang bermula pada bulan November 2015 dan siap pada Disember 2017.

Pembinaan jalan ini juga akan membantu mengurangkan pencemaran udara yang dihadapi oleh penduduk serta mengurangkan stress dan belanja bahanapi (petrol) pemandu kenderaan. Setiap hari sebanyak 66,000 pengguna jalan raya akan mendapat manafaat dan adalah di dapati sebanyak 20 peratus kesesakan lalulintas dapat dikurangkan dengan perlaksanaan projek-projek ini.

Dengan ini saya melancarkan Projek Menaiktaraf Jalan Masjid Negeri dan Kawasan Sekitarnya.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang