MAJLIS PERASMIAN SIAP KERJA-KERJA PENGGANTIAN LIF DI 6 BLOK GAT LEBUH MACALLUM DAN KERJA-KERJA PENAIKTARAFAN LIF PANGSAPURI PELANGI, LINTANG MACALLUM 2, PULAU PINANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN SIAP KERJA-KERJA PENGGANTIAN LIF 
DI 6 BLOK GAT LEBUH MACALLUM DAN KERJA-KERJA PENAIKTARAFAN LIF PANGSAPURI PELANGI, LINTANG MACALLUM 2, PULAU PINANG

PADA 10 FEBRUARI 2018

 

Tuan- tuan dan puan-puan sekalian

Saya berasa amat berbangga dan bersyukur kerana pada hari yang penuh bermakna ini, kita sama-sama berhimpun di sini untuk menjayakan Majlis Penyerahan Rasmi Penyiapan Kerja-kerja Penggantian Lif di enam (6) buah blok (348, 352, 354, 358, 360 & 362), Gat Lebuh Macallum dan juga kerja-kerja penaiktarafan lif di 5 blok Pangsapuri Pelangi (3, 5, 7, 9 & 11), Lintang Macallum 2, Pulau Pinang.

Kerja-kerja penggantian lif di 6 blok ini merupakan suatu projek pembaikan kritikal di mana penggantian lif yang pertama kali ini telah dilaksanakan sepenuhnya oleh PDC melalui kaedah perkongsian kos di antara PDC dan pemilik-pemilik unit melalui Perbadanan Pengurusan (MC) Blok masing-masing di Gat Lebuh Macallum. Saya ingin mengucapkan syabas kepada kesemua pihak yang telah bekerjasama untuk memastikan inisiatif ini dapat direalisasikan. 

Jumlah kos keseluruhan untuk kerja-kerja penggantian lif bagi keenam-enam blok ini adalah berjumlah RM3,563,700 di mana PDC telah menanggung kos sebanyak RM3,144,965, manakala bakinya telah dikongsi antara pemilik petak melalui enam (6) Perbadanan Pengurusan (MC) yang berjumlah sebanyak RM418,735.

Kerja-kerja penggantian lif di blok-blok 348, 352, 354, 358 dan 360 telah dijalankan oleh Shinyou Elevator Mfg Sdn Bhd. Manakala bagi blok 362, kerja-kerja penggantian lif telah dijalankan oleh Nippon Elevator Sdn Bhd. Kerja-kerja ini telah dilaksanakan secara berperingkat mulai 13 September 2016 dan telah siap sepenuhnya untuk semua lif berkenaan pada 20 November 2017.

Seperti mana yang semua sedia maklum, bangunan 6 blok Gat Lebuh Pangsapuri ini adalah pangsapuri kategori kos sederhana yang dibina oleh PDC pada tahun 1986 dan merupakan bangunan 22 tingkat dan mempunyai jumlah keseluruhan 1008 unit kediaman. Sebagai pematuhan kepada kehendak Akta Hakmilik Strata 1985, blok-blok ini telah diserahkan oleh PDC kepada Perbadanan Pengurusan (MC) untuk pengurusan dan penyelenggaraan masing-masing pada tahun 2002.

Selain daripada itu, PDC juga telah menjalankan kerja-kerja penaiktarafan lif di 5 buah blok di Pangsapuri Pelangi, Gat Lebuh Macallum. Jumlah kos keseluruhan yang terlibat untuk kerja-kerja berkenaan adalah berjumlah sebanyak RM1,025,000. Kerja-kerja ini telah bermula pada 2 Julai 2014 dan telah siap sepenuhnya pada 2 November 2015 melalui kontraktor yang dilantik oleh PDC iaitu MS Elevator Engineering Sdn Bhd. Kerja-kerja penaiktarafan lif ini melibatkan kerja-kerja “modernization”, pengujian dan pentauliahan semula unit lif yang terlibat.

Jumlah keseluruhan yang ditanggung oleh PDC bagi kedua-dua kerja penggantian dan penaiktarafan lif adalah sebanyak RM4,169,965.

Akhir kata, saya dengan ini merasmikan penyerahan penyiapan kerja-kerja penggantian lif di enam (6) buah blok iaitu Blok 348,352, 354, 358, 360 dan 362), dan kerja-kerja penaiktarafan lif di Blok 3, 5, 7, 9 & 11, Pangsapuri Taman Pelangi, Lintang Macallum 2, Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang