MAJLIS PELANCARAN PROJEK PENYAMBUNGAN DAN MENAIKTARAF JALAN ZOO DARI SIMPANG JALAN AYER ITAM KE JALAN KAMPUNG PISANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
BAGI PELANCARAN PROJEK PENYAMBUNGAN DAN MENAIKTARAF JALAN ZOO DARI SIMPANG JALAN AYER ITAM KE JALAN KAMPUNG PISANG
PADA 12 FEBRUARI 2018 (ISNIN) 9.15 PAGI

 

Selamat pagi dan Salam Bersih kepada semua.

1. Jalan Ayer Itam menjadi jalan hubungan dan perantaraan yang penting bukan hanya untuk penduduk kawasan Ayer Itam malah penduduk kawasan Paya Terubong, Relau, Balik Pulau dan kawasan selatan pulau yang menggunakan Jalan Ayer Itam ke kawasan George Town dan bahagian timur pulau dan sebaliknya.

2. Oleh yang demikian, untuk kemudahan penduduk di kawasan Ayer Itam, Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk menghubungkan Jalan Zoo di antara Jalan Ayer Itam dan Jalan Kampung Pisang. Sebuah jambatan telah dibina untuk tujuan penyambungan Jalan Zoo ini. Rekabentuk jambatan telah diluluskan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan telah mengambil kira keperluan aliran sungai semasa dan masa hadapan.

3. Projek Penyambungan dan Menaiktaraf Jalan Zoo dari Jalan Ayer Itam ke Jalan Kampung Pisang telah bermula pada 29 Disember 2015 dan telah siap pada 31 Januari 2018. Kos projek ini adalah sebanyak RM13.65 juta. Jalan Zoo dari Jalan Ayer Itam ke Jalan Kampung Pisang telah dinaiktaraf sepanjang 769 meter dan sebuah jambatan sepanjang 29 meter telah dibina untuk menghubungkan jalan ini. Manakala kos bagi pengambilan tanah adalah sebanyak RM7.9 juta yang menjadi kos keseluruhan yang dibelanjakan adalah sebanyak RM21.55 juta. Projek ini mengalami sedikit kelewatan iaitu selama 7 bulan disebabkan oleh proses pengambilan tanah dan pemindahan rumah-rumah setinggan yang terlibat serta keadaan cuaca yang tidak menentu sepanjang tahun 2017.

4. Selain dari itu jalan berkembar Jalan Paya Terubong yang juga dikenali sebagai Jalan Bukit Kukus yang menelan kos sebanyak RM 275 juta sedang dibina oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang sebagai sebahagian dari perancangan Kerajaan Negeri untuk menyuraikan aliran lalulintas di kawasan Ayer Itam dan Paya Terubong.

5. Dengan penyambungan Jalan Zoo ini, bakal mengurangkan kesesakan di kawasan sekitar seperti Jalan Masjid Negeri, Jalan Scotland, Jalan Mount Erskine, Ayer Itam, Paya Terubong dan jalan-jalan utama yang lain sebanyak 20%. Setiap hari 20,000 pengguna jalan raya akan mendapat manafaat dengan penyambungan Jalan Zoo ini.

6. Dengan ini, saya melancarkan Projek Penyambungan Dan Menaiktaraf Jalan Zoo Dari Simpang Jalan Ayer Itam Ke Jalan Kampung Pisang.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang