MAJLIS PELANCARAN MASKOT DAN “MERCHANDISE” APMG PENANG 2018

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG 
UNTUK MAJLIS PELANCARAN MASKOT DAN “MERCHANDISE” APMG PENANG 2018

19 FEBRUARI 2018

 

Salam sejahtera dan selamat petang.

Dalam masa 200 hari sahaja lagi, Pulau Pinang akan menjadi tumpuan orang ramai dari dalam dan luar negara di mana kita akan menjadi tuan rumah bagi Temasya Sukan bertaraf antarabangsa iaitu Asia Pacific Masters Games Penang 2018 yang akan berlangsung dari 7 - 15 September 2018.

Temasya APMG Penang 2018 yang bertaraf antarabangsa ini pasti akan menjadi saat kebanggaan bagi seluruh rakyat Malaysia terutamanya rakyat negeri Pulau Pinang kerana ini merupakan temasya Pelbagai Sukan Masters yang pertama yang dianjurkan di Asia.

Pada 22 Disember 2016, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menandatangani kontrak bersama International Masters Games Association (IMGA) untuk menjadi tuan rumah bagi APMG Penang 2018 dan ini merupakan cabaran yang besar bagi Pulau Pinang kerana Temasya ini akan mempertandingkan 21 jenis sukan yang berbeza.

Setakat ini, seramai 694 orang peserta telah mendaftarkan diri untuk menyertai APMG Penang 2018 sejak pendaftaran dibuka pada 28 Oktober 2017. Peserta-peserta ini terdiri daripada 32 buah negara yang berbeza dari seluruh dunia seperti Russia, Croatia, Estonia, Chile, Brazil, Guam dan banyak lagi.

Setakat ini, sukan badminton, renang dan olahraga merupakan sukan-sukan yang paling popular dengan bilangan peserta yang terbanyak. Jumlah peserta yang telah berdaftar setakat ini masih rendah berbanding jumlah sasaran yang telah ditetapkan iaitu seramai 5,000 orang peserta.

Walau bagaimanapun, saya telah diberi jaminan oleh pihak penganjur bahawa ini merupakan satu trend bagi peserta untuk mendaftar lewat bagi acara sukan. Pendaftaran untuk APMG Penang 2018 akan berakhir pada bulan Julai. Kejayaan setiap 21 sukan yang dipertandingkan adalah sangat penting untuk mengukur kejayaan keseluruhan APMG Penang 2018.

Tidak cukup bagi kita untuk hanya membawa masuk sejumlah besar peserta dari seluruh dunia tanpa memastikan para peserta mendapat layanan, pengalaman pertandingan dan kemudahan kelas pertama.

Semasa mengambil bahagian dalam Temasya ini, mereka juga akan menggunakan peluang yang ada untuk mencuba tarikan-tarikan yang terdapat di Pulau Pinang. Industri pelancongan, pengangkutan, makanan, pusat beli-belah dan hotel-hotel di negeri ini adalah antara yang akan mendapat keuntungan secara tidak langsung dari penganjuran APMG Penang 2018.

Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, nilai ekonomi daripada penganjuran Asia Pacific Masters Games untuk Pulau Pinang adalah sekurang-kurangnya RM20 juta.

Selain daripada nilai ekonomi, kebanggaan menjadi lokasi tuan rumah pertama di Asia bagi Temasya Pelbagai Sukan Masters adalah cukup untuk menggalakkan setiap rakyat Pulau Pinang untuk keluar dan menyokong acara ini.

Dengan kata-kata ini, saya merasmikan Maskot dan 'Merchandise' Kejohanan Asia Pacific Masters Games Penang 2018 (APMG Penang 2018).

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang