MAJLIS PECAH TANAH PROJEK PERUMAHAN MAMPU MILIK KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH PROJEK PERUMAHAN MAMPU MILIK KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG 

22 FEBRUARI 2018 (KHAMIS) 
KAMPUNG KEPALA GAJAH,SPS PULAU PINANG

 

Salam Bersih, Salam Harapan dan Selamat Pagi.

Saya berasa amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama berhimpun dengan penduduk kampung pada pagi ini untuk Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Mampu Milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pembangunan Kampung Tersusun Yang Mengandungi 41 Unit Rumah Teres 1-Tingkat, Sebuah Pencawang TNB, Sebuah Depo Sampah Di Atas Sebahagian Lot 680 (Kampung Kepala Gajah), Lorong Sejahtera Rakyat, Mukim 1, Seberang Perai Selatan,Pulau Pinang)

Projek ini menandakan satu lagi peristiwa penting dalam pertumbuhan dan kemajuan Pulau Pinang untuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan. Pembangunan ini sekali lagi menandakan komitmen Kerajaan Negeri untuk pembangunan seimbang di Seberang Perai.

Sejak tahun 2008 hingga 2016, sebanyak 77% daripada keseluruhan Peruntukan Pembangunan Negeri, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Perbadanan Pembangunan Negeri Pulau Pinang (PDC) telah dibelanjakan untuk pembangunan kawasan Seberang Perai. Daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM3,077,152,950.39, sebanyak RM2,379,145,953.56 atau 77% daripada jumlah tersebut adalah untuk pembangunan kawasan Seberang Perai.

Pelancaran Projek Perumahan Mampu Milik ini akan menandakan satu lagi ‘game changer’ dalam meningkatkan taraf sosial ekonomi dan taraf hidup penduduk di sini. Objektif projek ini adalah untuk mentransformasikan Kampung Kepala Gajah kepada perkampungan yang lebih meriah dan moden.

Cadangan pembangunan perumahan mampu milik Kerajaan Negeri di Kampung Kepala Gajah akan merangkumi komponen berikut :-

-41 unit rumah teres 1-tingkat dengan keluasan 700 kaki persegi setiap unit 
-Sebuah pencawang TNB
-Sebuah depo sampah

Pembangunan projek ini melibatkan seluas 3.52 ekar tanah dan kepadatan seekar ialah 32 unit/ekar.

Projek ini dibangunkan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), yang merupakan agensi pembangunan utama Kerajaan Negeri dan bertanggungjawab sebagai pengurus projek. PDC bertanggungjawab untuk memanggil tender, reka bentuk dan seterusnya memantau kerja-kerja pembinaan. Jumlah Kos Pembinaan (Total Construction Cost) adalah RM4,449,880 dan Kos Pembangunan Kasar (Gross Development Cost) adalah RM5,500,000. Kos projek ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Projek ini telah diberikan kepada DV Engineering Sdn Bhd melalui tender terbuka, selaras dengan prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti & Telus). Projek ini bermula pada 25 Oktober 2017 dan dijangka siap pada 24 April 2019 (18 bulan). Kemajuan tapak semasa adalah 12.8%, manakala mengikut jadual adalah 10.7% dengan kemajuan sebanyak 2.1% (bersamaan 11 hari).

Saya dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memfokuskan pembangunan di Seberang Perai dan juga kebajikan rakyat di kawasan Seberang seperti mana yang dapat dilihat dalam projek penempatan semula baru-baru ini di mana 76 unit rumah kluster kos rendah akan dibina untuk penempatan semula Penduduk Ladang Byram. Komponen bangunan lain termasuk sekolah, kuil Hindu dan padang bola sepak.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) atas kerja-kerja yang proaktif dan komitmen yang diberikan dalam membantu Kerajaan Negeri untuk merealisasikan projek ini untuk rakyat Seberang Perai.

Dengan ucapan ini, saya merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Mampu Milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Kampung Kepala Gajah, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang).

Sekian, terima kasih.