MAJLIS MENANDATANGANI SURAT PERJANJIAN JUAL BELI ANTARA PDC & PEMBELI-PEMBELI RUMAH MAMPU MILIK JIRAN RESIDENSI, KAMPUNG JAWA, BUTTERWORTH

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI 
SEMPENA MAJLIS MENANDATANGANI SURAT PERJANJIAN 
JUAL BELI ANTARA PDC & PEMBELI-PEMBELI RUMAH MAMPU MILIK JIRAN RESIDENSI, KAMPUNG JAWA, BUTTERWORTH

23 FEBRUARI 2018 (JUMAAT), AROMA HOTEL

 

Salam pagi dan salam sejahtera.

Saya ingin mengucapkan Selamat Datang kepada anda semua untuk satu lagi peristiwa yang amat bermakna untuk menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Perjanjian Jual Beli Antara PDC dengan pembeli-pembeli Skim Perumahan Mampu Milik, Jiran Residensi, Kampung Jawa, Butterworth.

Acara hari ini menandakan satu daripada beberapa pelancaran Skim Perumahan Mampu Milik dan Rumah Awam oleh Kerajaan Negeri di kawasan pulau dan juga di kawasan Seberang, selaras dengan moto Kerajaan Negeri "Satu Rumah, Satu Keluarga".

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memulakan program Skim Perumahan Mampu Milik dan Rumah Awam dengan menyediakan tabung paling besar oleh Kerajaan Negeri di Malaysia sebanyak RM500 juta bagi pembeli kali pertama yang berasal dari Pulau Pinang. Inisiatif Kerajaan Negeri ini terbukti di mana satu majlis menandatangani perjanjian jual beli untuk perumahan mampu milik Dua Residensi, Teluk Kumbar Pulau Pinang telah diadakan pada 3 Oktober 2017 dan setakat ini (8 Februari 2018) sebanyak 254 orang pembeli telah membeli projek perumahan mampu milik Dua Residensi, Teluk Kumbar dan diikuti dengan satu lagi berita baik bahawa Sijil Perakuan Siap Dan Pematuhan (CCC) untuk perumahan mampu milik yang pertama iaitu di Bandar Cassia, Batu Kawan akan diperolehi tidak lama lagi.

Projek Jiran Residensi AHS di Kampung Jawa, Butterworth yang mana akan menyediakan 707 unit terdiri daripada 354 unit Kos Sederhana (MC) dan 353 unit Kos Sederhana Rendah (LMC) dibina di atas tanah seluas 8.84 ekar dengan kepadatan 80 unit bagi setiap ekar, dengan ruangan terbuka sebanyak 2.43 ekar.

Projek ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri dan dilaksanakan oleh PDC selaku Pengurus Projek, yang terlibat dalam reka bentuk, panggilan tender, pemantauan kemajuan kerja, pemasaran & jualan dan lain-lain.

Kos pembangunan adalah RM121.4 juta dan melalui tender terbuka, projek ini telah diberikan kepada Rekabina Utara Sdn Bhd mengikut prinsip CAT. Projek ini bermula pada 17 November 2014 dan tarikh siap dijangka pada Jun 2018. Kemajuan tapak semasa adalah 92%. Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) akan diperolehi pada suku keempat 2018.

Komponen pembangunan untuk Jiran Residensi, Kampung Jawa, Butterworth terdiri daripada: -

1 blok bangunan yang terdiri daripada dua (2) menara untuk jumlah 707 unit:

Menara A - Kos Sederhana 35 tingkat (354 unit)
-1000 kaki persegi - 204 unit @ RM250, 000) Peruntukan 1 tempat letak kereta untuk setiap unit
-850 kaki persegi - 150 unit @ RM200, 000) peruntukan 1 tempat letak kereta untuk setiap unit

Menara B - 25 tingkat Kos Sederhana Rendah (353 unit)
700 sf - 353 unit @ RM72, 500

- Tempat letak kereta Podium 4 tingkat
- 15 unit kedai / pejabat 3 tingkat
- 1 unit dewan serbaguna 
- Penaiktarafan 1 unit surau

Kemudahan lain dalam kawasan pembangunan termasuk pondok pengawal keselamatan, ruang komuniti/rekreasi, kad akses, taman permainan dan pusat pengumpulan sampah.

Perumahan mampu milik Jiran Residensi, Kampung Jawa, Butterworth akan menjadi pemangkin bagi pertumbuhan ekonomi di Butterworth dan kawasan sekitar di Seberang Perai.

Ini adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk meyediakan pembangunan yang seimbang di Pulau Pinang. Daripada RM3.1 bilion yang dibelanjakan untuk kerja-kerja infrastruktur sejak tahun 2008, RM2.3 bilion atau 77% telah dibelanjakan di Seberang Perai untuk pembangunan yang seimbang.

Ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan adalah kerajaan yang progresif dan berorientasikan komuniti yang telah banyak menyumbang kepada penyediaan perumahan yang mampu milik yang sentiasa menjadi agenda utama bagi Kerajaan Negeri.

Akan tetapi, inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang di dalam pembekalan perumahan mampu milik dalam lingkungan harga RM42,000 sehingga RM300,000 ini tidak akan dapat dinikmati oleh warga Negeri Pulau Pinang sekiranya mereka tidak memperolehi pinjaman daripada pihak bank.

Sebagai contoh, untuk Projek Perumahan Mampu Milik Suria, Bandar Cassia yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui PDC, daripada 520 unit perumahan mampu milik yang dibangunkan, Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan (Selection Process Enhancement Committee - SPEC) telah menawarkan unit-unit kepada 1,065 pemohon. Namun daripada jumlah tersebut, hanya 320 pemohon sahaja, atau 30% daripada jumlah tawaran yang dikeluarkan oleh Bahagian Perumahan sahaja yang berjaya mendapatkan pinjaman dan menandatangani Perjanjian Jual Beli.

Bagi mengatasi masalah tersebut, satu Usul Bersama di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Pembangkang Negeri Pulau Pinang juga telah dipersetujui dan ditandatangani pada 22 Februari 2017 untuk menggesa Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia untuk menangani permasalahan kadar penolakan pinjaman perumahan yang tinggi ini. Namun sehingga kini tiada mesyuarat atau perbincangan telah diaturkan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Baru-baru ini, YB Jagdeep Singh Deo selaku EXCO Perumahan telah mengutuskan surat kepada Gabenor Bank Negara Malaysia, Yang Berbahagia Tan Sri Muhammad bin Ibrahim agar satu perbincangan dapat diadakan segera untuk membincangkan perkara ini. Masalah kadar penolakan pinjaman perumahan yang tinggi khususnya di kalangan pembeli perumahan mampu milik pertama perlu ditangani dengan segera agar warga Negeri Pulau Pinang dapat benar-benar mengakses unit-unit perumahan mampu milik yang dibekalkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang ini.

Dengan kata-kata dan harapan positif ini, saya merasmikan Majlis Menandatangani Surat Perjanjian Jual Beli antara PDC dan pembeli-pembeli Jiran Residensi, Kampung Jawa, Butterworth.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang