MAJLIS PERASMIAN PESTA BELON UDARA PANAS PULAU PINANG 2018 24 FEBRUARI 2018

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PESTA BELON UDARA PANAS PULAU PINANG 2018

24 FEBRUARI 2018 
PADANG POLO, PULAU PINANG

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat malam dan terima kasih atas kehadiran anda semua bagi menyaksikan Pesta Belon Udara Panas tahun ke-4 berturut-turut di Padang Polo ini! Pesta ini sememangnya disokong oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan sangat unik dan istimewa kerana ia kini menjadi satu-satunya Pesta Belon Udara Panas di Malaysia selepas Putrajaya menamatkan pesta sedemikian tahun lalu. Ini juga merupakan suatu cara yang lebih baik bagi kita meraikan Sambutan Tahun Baru Cina bersama keluarga dan rakan-rakan di mana terdapat pelbagai keriangan dan keterujaan untuk semua peringkat umur, dengan kemasukan adalah percuma.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang kerana sudi hadir bagi merasmikan acara pada malam ini, yang berlangsung di hadapan kediaman rasmi Yang Di-Pertua Negeri sendiri. Tepukan gemurah kepada Tuan Yang Terutama Tun.

Pesta Belon Udara Panas Pulau Pinang kali ini akan membawa sebanyak 16 belon besar dari serata dunia seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Belgium, Jerman, Brazil, Sepanyol, Taiwan, Thailand dan India. Sepanjang 2 hari ini, terdapat juga belon udara yang mempunyai bentuk seperti Yoda – bagi menarik peminat filem Star Wars; belon yang bercorak Lovebird – untuk menarik pasangan yang baru berkahwin; Little Dog – sempena zodiak Tahun Anjing berdasakan kalendar Cina dan banyak lagi.

Hanya di Pulau Pinang kita dapat menyaksikan Pesta Belon Udara di Malaysia!

Semua acara yang menarik ini telah membantu kami untuk memutuskan tagline sektor pelancongan Pulau Pinang sebagai Penang Cun atau Penang Gorgeous. Kerana di Pulau Pinang, semuanya cun (gorgeous)!

Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran Pesta Belon Udara Panas di Pulau Pinang seperti:

Penganjur :AKA Balloon Sdn Bhd
Disokong oleh :Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) 
dan Penang Global Tourism 
Penganjur bersama : TLM Event.
Penaja : IJM Land Bhd and Boost
Rakan pengangkutan : UBER & Penang Penang Hop-On Hop-Off
Rakan Kongsi : BL Thomson Sdn Bhd
Bekerjasama dengan : Tourism Malaysia

Akhir kata, saya dengan ini merasmikan Pesta Belon Udara Panas Pulau Pinang 2018! Selamat Tahun Baru Cina, Xin Nian Kuai Le.

Sekian, terima kasih.