MAJLIS PECAH TANAH KOMPLEKS PASAR AWAM DAN PUSAT PENJAJA DI JALAN TENGGIRI, BANDAR SEBERANG JAYA

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH KOMPLEKS PASAR AWAM DAN PUSAT PENJAJA DI JALAN TENGGIRI, BANDAR SEBERANG JAYA

11 MAC 2018 10AM

 

 

Para wartawan dan hadirin sekalian

Salam Bersih dan Salam Harapan. Saya berasa amat berbesar hati pada pagi ini kerana dapat bersama-sama untuk merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Pasar Awam dan Pusat Penjaja sementara di Jalan Tenggiri, Bandar Seberang Jaya. Ia dimenangi oleh Zubicon Sdn Bhd.

Bagi memenuhi aspirasi Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat Pulau Pinang khususnya para penduduk di sekitar kawasan Bandar Seberang Jaya, Kerajaan Negeri melalui PDC telah mengiklankan Request for Proposal (RFP) untuk membangunkan semula Kompleks Pasar Awam dan Pusat Penjaja baru dan projek pembangunan bercampur di Jalan Tenggiri, Bandar Seberang Jaya.

PDC sebagai agensi pembangunan utama Kerajaan Negeri telah diberi tanggungjawab sebagai pengurus projek untuk memanggil tender, mereka bentuk dan seterusnya memantau kerja-kerja pembinaan.

Tujuan utama pembangunan semula ini mencerminkan tanggungjawab sosial dan juga komitmen Kerajaan Negeri, MPSP dan PDC dalam menyediakan persekitaran yang lebih kondusif serta mampan bagi menjamin keselesaan penduduk setempat serta mesra Orang Kurang Upaya (OKU).

Cadangan pembangunan semula Kompleks Pasar Awam dan Pusat Penjaja dan projek pembangunan bercampur ini akan melibatkan 4 plot tanah milik Kerajaan Negeri dan juga PDC dengan keluasan keseluruhan sebanyak 12.53 ekar.

Cadangan pembangunan semula Kompleks Pasar Awam dan Pusat Penjaja ini akan melibatkan proses relokasi tapak Kompleks Pasar Awam dan Pusat Penjaja sediada ke tapak baru yang berdekatan bagi memberi laluan untuk tapak Kompleks Pasar Awam dan Pusat Penjaja sediada dibangun semula.

Senarai ruang perniagaan yang akan disediakan di dalam Kompleks Pasar Awam dan Pusat Penjaja sementara ini adalah seperti berikut :

Cadangan Pembangunan Pasar Sementara 1 Tingkat:

Bil

Jenis Jualan

Bilangan Ruang Niaga (Petak)

1

Ikan

32

2

Sayur

34

3

Lembu

7

4

Kambing

2

5

Babi

10

6

Ayam

12

7

Buah-Buahan

15

8

Runcit

29

9

Barangan Am

22

10

Makanan & Minuman

90

Jumlah

253

Kerajaan Negeri juga telah mensyaratkan Zubicon Sdn Bhd untuk menyediakan ruang niaga sebanyak 220 petak di luar Pasar sementara bagi menampung keperluan peniaga/penjaja kecil sediada dan juga untuk kegunaan tapak pasar malam.

Zubicon juga telah disyaratkan oleh Kerajaan Negeri untuk menyediakan parkir yang mencukupi termasuk tempat letak kereta OKU iaitu berjumlah 250 unit bagi memberi kemudahan kepada pengunjung dan juga untuk mengelakkan kesesakan lalulintas.

Ruang perniagaan yang akan disediakan di dalam Kompleks Pasar Awam dan Pusat Penjaja kekal adalah sama seperti disebutkan tadi untuk Kompleks Pasar Awam dan Pusat Penjaja sementara.

Kerajaan Negeri juga telah mensyaratkan pemaju untuk menyediakan ruang niaga sebanyak 220 petak dikawasan luar Kompleks Pasar Awam dan Pusat Penjaja kekal bagi menampung keperluan peniaga/penjaja kecil sediada dan untuk kegunaan tapak pasar malam.

Parkir yang mencukupi akan disediakan di dalam kawasan Kompleks Pasar Awam dan Pusat Penjaja kekal di tapak berkeluasan 3.35 ekar yang terletak bersebelahan dengan tapak tersebut untuk memberi kemudahan kepada pengunjung dan mengelakkan kesesakan lalulintas.

Angaran kos pembangunan Kompleks Pasar Awam dan Pusat Penjaja kekal adalah berjumlah RM18 juta manakala anggaran kos pembangunan tapak Pasar Sementara adalah berjumlah RM1.5 juta.

Pembinaan Kompleks Pasar Awam dan Pusat Penjaja kekal akan disiapkan di dalam tempoh 2 ½ tahun dan dijangka akan siap sepenuhnya pada 2020 manakala pembinaan Pasar Sementara akan disiapkan di dalam tempoh 6 bulan dan dijangka siap pada bulan September 2018. Buat masa kini, Zubicon Sdn Bhd telah membersih tapak seluas 4.00 ekar untuk dibangunkan dengan Tapak Pasar Sementara dan juga tempat letak kereta.

Projek ini menandakan satu lagi peristiwa penting dalam pertumbuhan dan kemajuan Pulau Pinang untuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan. Pembangunan ini sekali lagi menandakan komitmen Kerajaan Negeri untuk pembangunan seimbang di Seberang Perai.

Sejak tahun 2008 hingga 2016, sebanyak 77% daripada keseluruhan Peruntukan Pembangunan Negeri, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Perbadanan Pembangunan Negeri Pulau Pinang (PDC) telah dibelanjakan untuk pembangunan kawasan Seberang Perai. Daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM3,077,152,950.39, sebanyak RM2,379,145,953.56 atau 77% daripada jumlah tersebut adalah untuk pembangunan kawasan Seberang Perai.

Saya dengan ini merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek pembangunan Kompleks Pasar Awam dan Pusat Penjaja sementara di Jalan Tenggiri, Bandar Seberang Jaya.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang