MAJLIS PECAH TANAH PROJEK PEMBANGUNAN FASA 3 TAPAK PELUPUSAN SAMPAH PULAU BURUNG

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH PROJEK PEMBANGUNAN FASA 3 TAPAK PELUPUSAN SAMPAH PULAU BURUNG

11 Mac 2018

 

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak berkepentingan yang telah menggembleng segala usaha untuk merealisasikan hasrat rakyat negeri Pulau Pinang ke arah melaksanakan projek pembangunan Fasa 3 Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung pada hari ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

Negeri Pulau Pinang menyahut cabaran untuk mewujudkan sistem pengurusan sisa pepejal bersepadu yang mesra alam dan selaras dengan initiatif Cleaner, Greener, Healthier and Safer Penang. Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung sebagai tapak pelupusan akhir sampah bagi Negeri ini adalah infrastruktur penting dalam sistem pengurusan sisa pepejal tersebut untuk menjamin kesejahteraan masyarakat namun tapak tersebut yang telah beroperasi pada Fasa 1 dan Fasa 2 telah mencapai kapasiti maksima tapak.

Projek pembangunan Fasa 3 Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung sebagai tapak pelupusan sampah sanitari mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai untuk memastikan tapak pelupusan akhir sampah akan dapat disediakan secara berterusan supaya tidak menjejaskan pengurusan sisa pepejal di Negeri ini.

Projek ini merupakan salah satu projek mustahak bagi memenuhi keperluan rakyat di Negeri ini yang melibatkan kos perbelanjaan sekitar RM103 juta yang dibiayai oleh PLB Terang Sdn Bhd, pemaju projek yang dilantik oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai. Syarikat turut dipertanggungjawabkan untuk mengendali pengoperasian projek ini sehingga tamat tempoh konsesi pada tahun 2032 yang dibiayai bersama oleh kedua-dua Majlis.

Para hadirin sekalian,

Fasa 3 Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung yang dibangunkan merupakan pelaburan Negeri untuk menyediakan salah satu insfrastruktur bagi sistem pengurusan sisa pepejal yang bersepadu. Ianya merupakan langkah penyelesaian untuk mengatasi keperluan segera masyarakat bagi pelupusan sisa pepejal. Namun demikian, Kerajaan Negeri masih berusaha menghadapi cabaran untuk mengatasi masalah pelupusan lain-lain jenis sisa seperti sisa binaan dan tanah korekan yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Negeri melalui RFP bagi rehabilitasi dan penutupan selamat Tapak Pelupusan Sampah Jelutong yang turut melibatkan pembukaan tapak pelupusan sisa binaan alternatif baru.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Setiap hari, setiap penduduk negeri Pulau Pinang membuang secara purata 1.2 kg sampah dan oleh itu sejumlah 1,800 tan sampah dikutip dari seluruh negeri untuk dilupuskan di tapak Pelupusan Pulau Burung. Pihak Berkuasa Tempatan kita iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah memperuntukan RM103.5 juta dan RM102.17 juta masing-masing dalam bajet tahun ini bagi menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Pulau Pinang merupakan negeri yang mencatat kadar kitar semula tertinggi dalam negara iaitu 38%. Kadar ini (38%) melebihi kadar kitar kitar semula nasional (21%). Bagaimanapun, Seberang Perai telah berjaya dengan satu pencapaian yang hebat di mana kadar kitar semula bagi keseluruhan Seberang Perai telah meningkat daripada 22% pada tahun 2008 kepada 42% pada tahun 2017. Saya yakin dengan pelaksanaan dasar ini, kadar  kitar semula Pulau Pinang akan meningkat lagi dan akan setanding dengan kadar kitar semula negara maju melebihi kepada 40% menjelang 2020. 

Kos pengangkutan sampah dari Stesen Pemindahan Sampah Ampang jajar ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burong menelan belanja sebanyak RM1.2 juta sebulan, manakala kos tipping fi adalah RM20.20 se tan. Disamping itu, perlu juga dikira kos tanah seluas 157 ekar yang disediakan khas sebagai tapak pelupusan. Sekiranya dasar dapat melencongkan 4% jumlah sampah daripada memasuki tapak pelupusan, dianggarkan RM2.5 juta dijimatkan setiap tahun.

Selain daripada penyediaan sistem dan infrastruktur, pelbagai usaha turut dipergiatkan oleh Kerajaan Negeri bersama-sama kedua-dua Majlis untuk mengurangkan sampah yang perlu dihantar ke tapak pelupusan seperti pelaksanaan dasar pengasingan di punca dan usaha menggalakkan penghasilan barangan upcycle.

Kita seharusnya sedar bahawa masyarakat negara maju mempunyai infrastruktur dan budaya masyarakat yang mengutamakan amalan kebersihan dalam kehidupan mereka dan berubah ke arah zero-waste society. Saya percaya bahawa Negeri Pulau Pinang mempunyai potensi untuk mencapai status masyarakat Zero-Waste pada masa hadapan.

Akhir kata, saya dengan ini merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Fasa 3 Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung.

Sekian, terima kasih.