MAJLIS PERASMIAN PROJEK MENAIKTARAF JALAN BROWN SERTA KAWASAN SEKITARNYA UNTUK MELICINKAN DAN MENINGKATKAN KESELAMATAN LALULINTAS

 UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG 

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROJEK MENAIKTARAF JALAN BROWN

SERTA KAWASAN SEKITARNYA UNTUK MELICINKAN DAN MENINGKATKAN KESELAMATAN LALULINTAS

PADA 15 MAC 2018 (KHAMIS) 9.00 PAGI

Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap masalah lalulintas yang dihadapi oleh penduduk dan berusaha menanganinya dengan pelbagai cara. Pembinaan dan menaiktaraf jalan dan persimpangan adalah salah satu cara mengurangkan masalah lalulintas. Di samping membina dan menaiktaraf jalan, perancangan dan tindakan juga diambil untuk menambahbaik sistem pengangkutan awam, mengetatkan penguatkuasaan, mengurus aliran lalulintas dengan melaksanakan sistem jalan sehala, meningkatkan kesedaran rakyat terhadap keselamatan lalulintas, memberi tumpuan kepada mod pengangkutan alternatif seperti basikal serta menambahbaik laluan pejalan kaki.

Perancangan dan tindakan jangkamasa pendek, sederhana dan panjang diambil untuk melegakan kesesakan dan melancarkan aliran lalulintas. Selain daripada projek-projek utama penyuraian lalulintas seperti pembinaan lebuhraya dan penyediaan sistem pengangkutan awam deras berkapasiti tinggi seperti LRT dan monorel, tindakan-tindakan berterusan jangkamasa pendek dan sederhana diambil untuk menambahbaik aliran lalulintas di lokasi-lokasi setempat seperti Jalan Masjid Negeri, Jalan Ayer Itam, kawasan Pulau Tikus, Jalan Macalister dan jalan-jalan lain di Pulau Pinang secara amnya dan kawasan George Town khususnya.

Isipadu aliran lalulintas di Jalan Brown telah semakin meningkat terutamanya pada waktu puncak lalulintas. Hal ini demikian kerana ramai pengguna jalan raya dari utara pulau, Jalan Tanjong Tokong, Jalan Bagan Jermal dan Jalan Mount Erskine menggunakan jalan-jalan alternatif seperti Jalan Brown, Jalan Cantonment, Jalan Perak untuk meneruskan perjalanan ke kawasan-kawasan lain. Sebahagian besar kenderaan-kenderaan ini seterusnya menggunakan Jalan Macalister dan Jalan Sepoy Lines ke Jalan Masjid Negeri dan Jalan Ayer Itam. Untuk melicinkan aliran lalulintas dan meningkatkan keselamatan di Jalan Brown, Jalan Macalister dan Jalan Sepoy Lines, MBPP telah melebarkan jalan-jalan dan persimpangan di laluan tersebut.

Projek Menaiktaraf Jalan Brown serta Kawasan Sekitarnya telah bermula pada 7 September 2016 dan telah siap pada 31 Januari 2018. Kos projek ini adalah sebanyak RM5.97 juta. Komponen utama bagi projek ini adalah melebarkan Jalan Brown yang sepanjang 900m dan menaiktaraf persimpangan-persimpangan di antara Jalan Brown dengan Jalan Utama, Jalan Tunku Abdul Rahman serta Jalan D.S. Ramanathan. Di samping itu, sistem saliran dan laluan pejalan kaki telah ditambahbaik.

Selain daripada itu, aliran lalulintas di Jalan Sepoy Lines juga ditambahbaik supaya menjadi lebih lancar dan selamat. Ini memudahkan pengguna jalan raya dari Jalan Residensi mengguna Sepoy Lines untuk menuju ke Jalan Utama. Sebahagian Jalan Macalister juga dilebarkan supaya pengguna jalan raya dari Jalan Macalister membelok kanan dengan lebih lancar ke Jalan Residensi. Tumpuan juga diberikan untuk meningkatkan keselamatan lalulintas di jalan-jalan terlibat.

Usaha MBPP dan Kerajaan Negeri untuk menangani masalah lalulintas secara berterusan dengan melaksanakan projek-projek jangka masa pendek, sederhana dan panjang telah terbukti berkesan. Kerajaan Negeri yakin dan percaya bahawa semua perancangan dan tindakan ini telah membawa manfaat kepada penduduk Pulau Pinang.

Dengan ini, saya merasmikan Projek Menaiktaraf Jalan Brown Serta Kawasan Sekitarnya.

Terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang