MAJLIS PERASMIAN PROJEK MENAIK TARAF JEJANTAS PEJALAN KAKI DI PERSIMPANGAN JALAN PENANG/ JALAN BURMA/ JALAN DR. LIM CHWEE LEONG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROJEK MENAIK TARAF JEJANTAS PEJALAN KAKI

DI PERSIMPANGAN JALAN PENANG/ JALAN BURMA/ JALAN DR. LIM CHWEE LEONG 

16 MAC 2018 (JUMAAT)

PROJEK JEJANTAS PEJALAN KAKI PERTAMA DI PULAU PINANG YANG DIPASANG DENGAN LIF DAN 3 BUAH TANGGA BERGERAK (ESCALATOR) BERNILAI RM6 JUTA

1. Jejantas pejalan kaki di persimpangan Jalan Penang/Jalan Dr. Lim Chwee Leong/Jalan Burma telah dibina pada tahun 1993 dengan kos sebanyak RM1.25 juta.

2. MBPP telah menjalankan kaji selidik pada tahun 2013 mengenai cadangan merobohkan jejantas pejalan kaki di persimpangan Jalan Penang/Jalan Dr. Lim Chwee Leong/Jalan Burma dan menggantikannya dengan lintasan pejalan kaki berlampu isyarat. Hasil kaji selidik mendapati sebanyak 70% tidak bersetuju jejantas pejalan kaki ini dirobohkan manakala 30% lagi bersetuju untuk merobohkan jejantas pejalan kaki ini.

3. Memandangkan pandangan majoriti penduduk Pulau Pinang adalah untuk mengekalkan jejantas pejalan kaki ini, maka keputusan telah dibuat oleh Kerajaan Negeri untuk mengekalkan jejantas pejalan kaki ini dan menaik tarafnya dengan memasang lif dan tangga bergerak. Mujurlah ada Syarikat IGB Corporation yang bersedia untuk menanggung kos perbelanjaan ini sebagai projek CSR.

4. Jumlah kos menaik taraf jejantas ini adalah RM6 juta dan telah dijalankan oleh Syarikat Ensignia Construction Sdn Bhd. iaitu anak syarikat IGB Corporation Berhad. Syarikat Ensignia Construction Sdn Bhd. telah sudi menaja kerja-kerja menaik taraf jejantas ini yang berharga RM6 juta sebagai Corporate Social Responsibility (CSR). Ini bermakna kos telah meningkat 5 kali ganda sejak tahun 1993.

5. Kerja-kerja menaik taraf jejantas ini telah bermula pada hujung bulan Mei 2015 yang melibatkan pengalihan kabel-kabel utiliti, pembinaan tiga (3) buah tangga bergerak, empat (4) buah lif, pemasangan lampu jenis light-emitting diode (LED) untuk pencahayaan di kawasan jejantas, pelebaran sebahagian jalan di sudut jalan Dr. Lim Chwee Leong/Jalan Penang, menaiktaraf bumbung jejantas dan menanam pokok jenis “heliantus” di atas jejantas untuk mengindahkan kawasan jejantas ini.

6. Pemasangan tactile untuk golongan orang kurang upaya (OKU) juga telah diadakan di setiap penjuru tangga menuju ke tangga bergerak dan lif serta di atas jejantas pejalan kaki bagi memudahkan dan memberi petunjuk kepada golongan OKU yang menggunakan jejantas ini.

7. Di samping itu, MBPP juga telah memasang sebelas (11) unit kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau aktiviti-aktiviti di atas jejantas dan memastikan keselamatan orang awam yang menggunakan jejantas ini lebih terjamin.

8. Seterusnya, MBPP mempunyai perancangan untuk memanggil mana-mana pihak yang berminat untuk menjalankan dan menguruskan aktiviti di atas jejantas pejalan kaki ini. Satu tender “Request for Proposal” (RFP) akan dipanggil oleh MBPP dalam masa terdekat.

9. Saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada Syarikat Ensignia Construction Sdn Bhd dan IGB Corporation Berhad atas sumbangan penuh CSR untuk projek ini sebanyak RM6 juta. Ia membolehkan lif dan tangga bergerak pertama di Pulau Pinang dipasang di jejantas tersebut. Keselamatan orang awam akan lebih terjamin dan selamat. Dengan ini, saya merasmikan projek menaiktaraf jejantas pejalan kaki di persimpangan Jalan Penang/Jalan Burma/Jalan Dr. Lim Chwee Leon.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang