MAJLIS PERASMIAN PUSAT TUISYEN RAKYAT, FLAT MUTIARA IDAMAN 2, JELUTONG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PUSTA TUISYEN RAKYAT,  FLAT MUTIARA IDAMAN 2, JELUTONG

 17 MAC 2018

 

Salam Bersih, Salam Harapan dan Selamat Datang kepada semua.

1) Bersyukur kita di pagi yang mulia ini kita dihimpunkan dalam satu majlis iaitu Pelancaran Tuisyen Rakyat Pulau Pinang yang saya maklum mendapat sambutan yang cukup hangat dari hampir setiap daerah di Pulau Pinang!

2) Pengerusi PEKA, YB Steven Sim mengatakan tahun ini merupakan tahun kedua Tuisyen Rakyat. Tahun lepas, hanya 3 Pusat Tuisyen Rakyat di 3 buah daerah sahaja. Tetapi pada tahun ini ianya telah diperluaskan sehingga ke setiap 5 daerah, dan apa yang lebih membanggakan, sejak bermulanya siri kedua awal tahun ini sehingga Mac 2018, sebanyak 22 buah Pusat Tuisyen Rakyat telahpun beroperasi secara percuma!

3) Dan sedang diperkembangkan lagi dengan menyasarkan pertambahan kira-kira 18 buah Pusat Tuisyen Rakyat di setiap DUN! Melengkapkan sebanyak 40 Pusat Tuisyen Rakyat secara percuma di setiap kawasan negeri Pulau Pinang. Itulah matlamat kita, inilah HARAPAN kita!

4) Pendidikan adalah begitu penting sebagai alat membangun masyarakat, kerana itu dengan mewujudkan Pusat Tuisyen Percuma membuktikan inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang begitu prihatin akan perkembangan pendidikan anak-anak Pulau Pinang.

5) Hari ini, kalau nak hantar anak-anak ke pusat tuisyen, satu matapelajaran mungkin dalam RM40. Itu baru satu subjek sahaja, jikalau lima matapelajaran, sudah RM200 sebulan! Dan hanya untuk seorang anak! Kalau lima orang anak, sudah seribu ringgit! Dan ini belum ambil kira GST yang telah banyak menambahkan beban rakyat dengan menyebabkan harba barangan naik.

6) Mujurlah, ada Pusat Tuisyen Rakyat di bawah kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dikelolakan oleh PEKA, tuan-tuan ibu ayah tak perlu membazirkan duit! Biar kerajaan negeri Pulau Pinang yang prihatin akan nasib rakyat dan masa depan anak Pulau Pinang yang usahakan! Untuk negeri kita!

TUAN-TUAN SEKALIAN,

7) Dalam usaha menyediakan prasarana pendidikan, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM75 juta dalam tahun 2018 untuk program-program STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematic). Sehingga kini, melalui program STEM di bawah kerajaan negeri telah membangunkan pelbagai jenis prasarana seperti Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Penang Tech Dome, Perpustakaan Digital Pulau Pinang, Kafe Sains Pulau Pinang dan Pesta Sains Antarabangsa Pulau Pinang. Kerajaan negeri juga telah menambah peruntukan sebanyak RM2 juta setahun untuk 3 tahun bagi menyediakan kelas pengekodan. Kini, bagi Perpustakaan Digital Pulau Pinang 2 yang baru sedang dibina dengan kos sebanyak RM10.8 juta. Semua ini untuk anak negeri Pulau Pinang.

8) Sebagai lanjutan kepada komitmen kita terhadap peningkatan sumber manusia, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga memberikan bayaran “one-off” sebanyak RM300 bagi tahun pertama kepada pelajar Pulau Pinang yang diterima masuk ke sekolah politeknik tempatan di Malaysia bermula tahun 2018. Untuk hal ini sejumlah RM2 juta telah diperuntukkan.

9) Kerajaan Negeri akan terus memberi bayaran sebanyak RM1,000 secara “one-off” kepada pelajar-pelajar Pulau Pinang yang menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan di Semenanjung Malaysia termasuk AIMST; Wawasan Open University; TAR College; dan TAR University College, dan RM1,200 kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran di Sabah dan Sarawak. Setakat ini 21,675 pelajar Pulau Pinang telah menikmatinya bersamaan dengan kos melebihi RM20 juta sejak 2008.

10) Bagi memastikan pendidikan kerohanian juga menjadi teras membangun jiwa agar terhasil generasi anak negeri yang lestari, wejak tahun 2008, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) telah memperuntukkan sebanyak RM457.05 juta berbanding hanya RM249.09 juta yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri terdahulu - iaitu peningkatan sebanyak 84%! Sejumlah RM55.3 juta juga diperuntukkan kepada 178 Sekolah Agama Rakyat di negeri ini sejak 2008, tidak termasuk lagi tanah percuma kepada SAR.

11) Inilah bukti betapa kerajaan negeri yang prihatin akan kebajikan rakyatnya, biarlah kesusahan rakyat ditanggung kerajaan negeri semata-mata untuk memberikan yang terbaik buat rakyat Pulau Pinang.

SEKIAN, TERIMA KASIH!

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang