MAJLIS PELANCARAN LAMAN WEB HACKFEST MPSP 2018

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN LAMAN WEB HACKFEST MPSP 2018
 

31 MAC 2018AUDITORIUM MPSP

.............................................................................................

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kerana sudi menjemput saya hadir pada pagi ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada YDP MPSP kerana mengambil inisiatif dalam perancangan dan penganjuran program hackfest yang pertama yang dibuat oleh PBT di seluruh Malaysia.

Adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk memajukan Pulau Pinang sebagai Negeri Pintar Bertaraf Antarabangsa. Kita sekarang menuju ke arah Industri 4.0, di mana kepakaran dalam teknologi digital sangat diperlukan.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Pada masa ini, sumbangan Ekonomi Digital kepada KDNK adalah sebanyak 17.8%. Adalah menjadi hasrat kita untuk  meningkatkannya kepada 20% menjelang tahun 2020. Menurut Laporan Komuniti Global Neilsen Global 2014, terdapat lebih daripada 18 juta akaun berdaftar di laman rangkaian sosial utama, yang mencerminkan kesediaan penduduk untuk menyertai ekonomi perkongsian dan menandakan potensi pertumbuhan yang tinggi dalam sektor ini.

Sehubungan itu, di Silicon Valley, ‘Data is King'. Tetapi untuk Kerajaan Negeri pula 'Talent is Everything’.  Kita harus melahirkan modal insan yang dapat mencetuskan inovasi dan kreativiti berdasarkan teknologi baru supaya dapat memeluk Revolusi Industri 4.0. Seperti mana yang semua sedia maklum, Industri 4.0 merangkumi Analisa Data Besar (Big Data Analytics), Bidang Pengkomputeran Awan (Cloud Computing), Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence (AI)) , Robotik (Robotics), Internet of Things (IoT) dan E-Commerce dan fintech. 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang merancang untuk menggunakan Artificial Intelligence (AI) sebagai cara untuk membanteras penyebaran masalah demam denggi di negeri ini. Definasi secara mudah bagi Artificial Intelligence (AI) ini adalah, satu teknologi sains yang menggunakan komputer bagi menggantikan keupayaan intelektual manusia dalam melakukan sesuatu kerja. Komputer tersebut akan mengumpul dan menganalisis data dengan tepat. Sistem tersebut akan mengkaji dan meneliti data-data bagi mengenalpasti corak (pattern) dan membuat ramalan sesuatu data tersebut. 

Program yang dikenali sebagai CAT (Crush Aedes Totally) ini menelan perbelanjaan RM423,333.33 setahun dan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri. Sekiranya program ini berjaya, Pulau Pinang akan mendahului sekali lagi. Penang leads again! Teknologi AI ini akan mengawal aktiviti kawalan nyamuk aedes di peringkat awal sebelum ianya berlaku. Teknologi ini mampu menjangka kedatangan wabak denggi di mana-mana lokasi  sebelum ianya benar-benar berlaku. Ini bermaksud sekiranya  terdapat  wabak denggi di sesuatu kawasan, aktiviti seperti fogging dan sebagainya akan dilakukan terlebih dahulu oleh pihak berwajib.

Program ini membolehkan orang awam memberi pandangan atau idea yang kreatif bagi membantu MPSP memperbaiki mutu penyampaian perkhidmatan dengan  “Cyber Counter". 

Saya dimaklumkan juga bahawa bagi yang berjaya terutama yang mendapat hadiah utama, MPSP berminat untuk menjalinkan kerjasama untuk membangunkan konsep dan prototype yang telah diusahakan di dalam program ini. Hal ini menunjukkan bahawa MPSP jelas mendokong dasar inklusif seperti yang dijanjikan kepada penduduk Seberang Perai dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik dan tidak meminggirkan mana-mana pihak dalam membuat sesuatu perubahan.

Saya berharap program Hackfest MPSP 2018 akan menjadi permulaan yang positif dengan kerjasama yang sihat dan menjadi contoh kepada perkhidmatan awam dalam pembangunan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh perkhidmatan awam bagi menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat.

Dengan ini, saya dengan sukacita dan berbesar hati melancarkan Laman Web Hackfest MPSP.

Sekian, terima kasih.