MAJLIS PECAH TANAH PROJEK TEBATAN BANJIR SUNGAI PERMATANG RAWA

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH PROJEK TEBATAN BANJIR SUNGAI PERMATANG RAWA DI KG. TANAH LIAT, TAMAN GURU, PADANG LALANG

DAN KG. PERMATANG RAWA, DAERAH SEBERANG PERAI TENGAH, PULAU PINANG.

12.45pm@ 1 April 2018

 

 

Selamat Tengahari dan Salam Sejahtera.

Pertamanya, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berusaha Tuan Pengarah JPS Pulau Pinang di atas kesudian menjemput saya hadir untuk menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Tebatan Banjir Sg. Permatang Rawa Kg. Tanah Liat, Taman Guru, Padang Lalang dan Kg. Permatang Rawa ini. Projek Tebatan Banjir Sg. Permatang Rawa ini telahpun mendapat milikan tapak oleh pihak kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja pembinaan. Suka untuk saya maklumkan bahawa Sebanyak RM 31.7 juta peruntukan Kerajaan Negeri akan disalurkan bagi pelaksanaan Projek Tebatan Banjir Sg. Permatang Rawa ini di mana kerja pembinaannya dijangka akan mengambil masa selama 2 ½  Tahun (30 bulan).

Hadirin yang dihormati sekalian,

Pembinaan Projek Tebatan Banjir Sg. Permatang Rawa ini menjadi tanda keprihatinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan juga JPS Pulau Pinang dalam mengurangkan risiko banjir dan secara langsung meringankan beban rakyat Pulau Pinang. Saya yakin dan percaya pembinaan projek ini akan meningkatkan tahap perlindungan banjir ke tahap optimum dan membawa manfaat kepada penduduk setempat terutamanya di kawasan perumahan di Taman Guru, Kg. Tanah Liat, Padang Lalang dan Kg. Permatang Rawa di sepanjang Sg. Permatang Rawa.

Memandangkan kawasan-kawasan ini merupakan salah satu tumpuan penempatan rakyat Pulau Pinang, maka projek menaiktaraf sistem sungai ini akan mengurangkan kekerapan banjir ke tahap minimum di kawasan tadahan Sg. Permatang Rawa terutamanya di kawasan penempatan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Untuk makluman, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang dalam pelaksanaan Projek-projek Berimpak Tinggi (High Impacts) dengan jangkaan perbelanjaan sebanyak RM 150 juta dengan menggunakan Peruntukan Negeri yang melibatkan 8 panggilan tender. Projek ini merupakan salah 1 daripada 8 panggilan tender high impact ini yang telah pun mendapat milikan tapak oleh pihak Kontraktor, ABH Mega Sdn. Bhd bagi menjalankan kerja pembinaan ini. Baki 5 tender yang telah mendapat milikan tapak pada bulan Mac ini yang akan menumpukan beberapa kawasan “hotspot” banjir iaitu 2 lagi daripadanya di Daerah Seberang Perai Tengah (RTB Parit 4 & RTB Parit 5) , 1 di Daerah Seberang Perai Utara ( RTB Mak Mandin) dan 2 di Daerah Barat Daya (RTB Sg. Nipah & RTB Bayan Baru). Manakala 2 tender dijangka akan diiklankan selewat-lewatnya pada September 2018 yang melibatkan kawasan ‘hotspot” banjir masing-masing di Daerah Seberang Perai Tengah (Kolam Alma) dan  Daerah Barat Daya (Kampung Naran). 

Selain Projek-projek Berimpak Tinggi ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengenalpasti Projek-projek  Mitigasi Banjir Negeri melalui EXCO Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir. Antara projek-projek yang telah dikenalpasti dan akan dilaksanakan dengan menggunakan Peruntukan Caruman Perparitan Negeri adalah projek Jelutong Diversion bernilai RM 15 Juta yang dijangkakan milikan tapak pada April 2018. Selain itu, projek-projek lain yang telah dikenalpasti adalah Projek Tebatan Banjir Sungai Bayan Lepas dan Projek Tebatan Banjir Kampung Batu Maung di Daerah Barat Daya serta Projek Tebatan Banjir Bagan Jermal II di Daerah Timur Laut dengan anggaran kos projek masing-masing sebanyak RM 7 juta, RM 4 juta dan RM 5 Juta. Panggilan tender bagi kesemua projek ini dijangkakan akan dilaksanakan pada September 2018 dan projek ini dijangkakan akan dapat mengurangkan risiko di  kawasan “hotspot” banjir yang telah dikenalpasti. 

Hadirin yang dihormati sekalian,

JPS Pulau Pinang turut akan melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang dengan Peruntukan Persekutuan sebanyak RM 150 juta bagi mengurangkan masalah banjir (Jalan P. Ramlee, Lorong Kulit, Kampung Masjid, Jalan Dato Keramat). Kerja-kerja di tapak bagi RTB Sungai Pinang ini dijangkakan akan bermula pada tahun ini. Selain itu, JPS Pulau Pinang juga telahpun memohon peruntukan tambahan bagi beberapa projek Rancangan Tebatan Banjr yang telah dikenalpasti untuk dilaksanakan menggunakan peruntukan Persekutuan.

Akhir kata, sekali lagi saya ucapkan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa penganjur dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Majlis Pecah Tanah Projek Tebatan Banjir Sg. Permatang Rawa ini. Dengan ini, dengan sukacitanya saya merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Tebatan Banjir Sg. Permatang Rawa di Kg. Tanah Liat, Taman Guru, Padang Lalang dan Kg. Permatang, Daerah Seberang Perai Tengah.

Sekian, terima kasih.