MAJLIS PECAH TANAH PEMBINAAN STADIUM HOKI DI JALAN BETEK, SEBERANG PERAI TENGAH

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH PEMBINAAN STADIUM HOKI DI JALAN BETEK, SEBERANG PERAI TENGAH

2 April 2018 @ 9.00 pagi

 

Pulau Pinang buat masa ini hanya mempunyai satu padang hoki yang diiktiraf oleh International Hockey Federation (FIH) iaitu di Universiti Sains Malaysia (USM). 

Padang hoki di Kompleks Sukan Bertam, Seberang Perai Utara masih belum dinaik taraf sungguhpun dijanji berkali-kali oleh Kementerian Belia dan Sukan. Sememangnya janji tidak ditepati.

Pulau Pinang memerlukan sebuah pusat latihan hoki kekal untuk dijadikan pusat latihan utama skuad hoki negeri. Buat masa kini, pasukan Hoki Pulau Pinang terpaksa menggunakan kemudahan padang hoki USM dan juga padang hoki di SMK Mutiara Impian (Penang Sport School) untuk mengadakan latihan atau pertandingan.  

Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) dalam mesyuaratnya pada 2 November 2016 dan disahkan pada 10 November 2016 telah bersetuju untuk pembinaan sebuah stadium hoki di atas tanah Kerajaan Negeri dengan anggaran 6 ekar di Lot 2763, Mukim 10, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah. Pembinaan stadium hoki ini merupakan obligasi sosial Kerajaan Negeri dalam pembangunan sukan negeri. Pembinaan stadium hoki ini juga bertujuan memberi pengiktirafan kepada pasukan lelaki negeri Pulau Pinang yang berjaya memenangi pingat emas dalam Sukma Ke-18 Sarawak 2016.

Kos  keseluruhan  pembinaan stadium hoki tersebut dianggarkan berjumlah RM7.5 juta. Kerajaan Negeri telah bersetuju membiayai RM3.5 juta daripada kos tersebut, manakala bakinya dibiayai oleh AEI International Berhad. Stadium ini akan dilengkapi dengan lampu limpah (floodlights) yang diikitiraf oleh FIH dan astaka (Grandstand) yang dapat menampung lebih kurang 500 orang. Sukacita dimaklumkan bahawa pembinaan stadium hoki dijangkai siap pada hujung bulan Ogos 2018.

Secara keseluruhannya terdapat 21 buah Stadium Hoki di Malaysia yang diiktiraf of FIH, dengan pembinaan Stadium Hoki Jalan Betek, ianya bakal menjadi Stadium Hoki ke-22 yang akan mendapat pengiktirafan FIH dan juga menjadi stadium hoki yang terbaru di Malaysia apabila ianya siap kelak. Untuk Kerajaan Negeri, inilah contoh yang ditunjukkan selama 10 tahun kebelakangan ini – Janji Ditepati!